Israel Tolak Permintaan Ukraine Bekalkan “Iron Dome”, Bimbang Jatuh Ke Tangan Iran
“Saya merasakan adalah amat penting untuk kita memahami bahawa kita bimbang akan kemungkinan sistem (Iron Dome) yang kita berikan kepada Ukraine akan jatuh ke tangan Iran dan ia akan di-‘reverse-engineer’ untuk digunakan terhadap kita pula." -- Perdana Menteri Israel
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Israel menolak permintaan supaya ia membekalkan sistem pertahanan udara “Iron Dome” kepada Ukraine, berikutan kebimbangan tentang kemungkinan sistem itu jatuh ke tangan Iran dan kemudiannya digunakan terhadap negara Yahudi itu.
Bercakap dalam satu temuramah dengan Wall Street Journal, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata, sistem peluru berpandu anti-kereta kebal digunakan oleh anggota Hezbollah di Lubnan telah ditiru daripada sistem buatan negara-negara Barat.
“Saya merasakan adalah amat penting untuk kita memahami bahawa kita bimbang akan kemungkinan sistem yang kita berikan kepada Ukraine akan jatuh ke tangan Iran dan ia akan di-‘reverse-engineer’ untuk digunakan terhadap kita,” kata beliau.

Menurut beliau, di antara sebab mengapa Israel tidak berhadapan dengan jumlah kematian yang besar walau terpaksa berhadapan dengan serangan 20,000 roket adalah kerana sistem pertahanan udara “Iron Dome” berjaya memintas roket-roket itu daripada menghujani bandar-bandar berkepadatan tinggi.
“Sekiranya, sistem (Iron Dome) itu jatuh ke tangan Iran, maka jutaan rakyat Israel tidak mempunyai perlindungan lagi dan akan berhadapan dengan bahaya,” katanya.
Sistem pertahanan udara “Iron Dome” dibangunkan oleh firma pertahanan Israel, Rafael Advanced Defense Systems.
Walaupun begitu kata Netanyahu, Tel Aviv tetap memberikan bantuan kepada Kiev di dalam bentuk sistem amaran serangan roket dan dron.
“Kita juga membantu Ukraine. Kita membantu mereka di dalam pertahanan awam, sistem amaran yang mencegah menyuruh separuh daripada rakyat negara itu untuk pergi ke pusat-pusat perlindungan sekiranya berhadapan dengan serangan peluru berpandu,” kata Netanyahu.
Israel dikatakan enggan membekalkan sistem pertahanan udara “Iron Dome” itu kerana ia mahu mengekalkan hubungan baiknya dengan Russia.
Hubungan baik dengan Moscow itu perlu bagi membolehkan Israel terus menggunakan ruang udara Syria yang kini dikuasai oleh tentera Russia untuk melakukan serangan udara terhadap kedudukan kumpulan-kumpulan bersenjata yang disokong oleh Iran.
Comments are closed.