China “Arah” Kemboja Bantah Lokasi Latihan Solidity ASEAN (ENatuna)???
Jurucakap Angkatan Tentera Kemboja Mejar Jeneral Thong Solimo berkata negara itu tidak bersetuju untuk mengadakan latihan tentera oleh negara-negara ASEAN itu di kawasan perairan berhampiran Pulau Natuna di Laut China Selatan.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Seperti sudah dijangkakan, Kemboja berkemungkinan di atas “arahan” China telah membantah lokasi Latihan Solidity ASEAN (ENatuna) atau Asec01N pada September depan, yang dicadang Indonesia diadakan di kawasan perairan berhampiran Pulau Natuna miliknya di Laut China Selatan.
Jurucakap Angkatan Tentera Kemboja Mejar Jeneral Thong Solimo berkata negara itu tidak bersetuju untuk mengadakan latihan tentera oleh negara-negara ASEAN itu di kawasan perairan berhampiran Pulau Natuna di Laut China Selatan.
“Selepas menerima jemputan daripada Panglima Angkatan Tentera Indonesia, kita akan mengerahkan kumpulan kerja untuk mengkaji latihan tentera bersama itu.”
“Selepas selesai kajian itu, Angkatan Tentera Kemboja akan memohon supaya Kementerian Pertahanan Kemboja untuk memutuskannya,” kata beliau sebagaimana dipetik oleh media negara itu, Khmer Times.
Laporan di dalam akhbar itu bagaimanapun tidak menyatakan sebab mengapa Kemboja membantah pemilihan perairan di Pulau Natuna di Laut China Selatan sebagai lokasi latihan.
Selepas berakhirnya mesyuarat panglima angkatan tentera ASEAN di Bali baru-baru ini, Panglima Angkatan Tentera Indonesia Laksamana Yudo Margono mengatakan bahawa Latihan Solidity ASEAN (ENatuna) atau Asec01N disertai 11 negara anggota termasuk Timor Leste akan diadakan pada September depan.
Menurut Margono, latihan itu akan menumpukan kepada keselamatan, penyelamatan maritim serta perkhidmatan sosial melibatkan tentera darat, tentera laut dan tentera udara angkatan tentera ASEAN.
Latihan itu tidak termasuk operasi tempur, menurut Margono.
ASEAN dianggotai Indonesia, Thailand, Malaysia, Singapura, Brunei, Filipina, Vietnam, Laos, Kemboja dan Myanmar.
Indonesia memegang jawatan pengerusi ASEAN pada tahun ini.
Timor-Leste juga dijangka mengambil bahagian dalam latihan itu ketika negara itu berusaha untuk menyertai ASEAN dalam tempoh terdekat.
Margono menyatakan bahawa latihan tentera membabitkan negara-negara ASEAN September itu akan diadakan di perairan berhampiran Pulau Natuna miliknya di Laut China Selatan.
Indonesia secara unilateral memanggil kawasan perairan itu sebagai Laut Natuna Utara yang terletak di dalam kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) miliknya di Laut China Selatan, yang terkenal sebagai kawasan yang kaya dengan sumber minyak dan gas.
Sejak beberapa tahun lepas, China telah menghantar kapal-kapal pengawal pantainya untuk memasuki kawasan perairan ZEE milik Indonesia di Laut China Selatan berhampiran Pulau Natuna itu, dipercayai untuk menganggu operasi minyak dan gas yang sedang dijalankan oleh beberapa syarikat.
Walaupun Indonesia turut menghantar kapal-kapal penguatkuasannya untuk memantau kehadiran kapal-kapal pengawal pantai China serta mengemukakan nota diplomatik tetapi ia tidak diendahkan oleh Beijing.
China mendakwa lebih 80 peratus daripada keluasan Laut China Selatan itu sebagai haknya — termasuk kawasan-kawasan perairan ZEE Malaysia seperti di Beting Patinggi Ali dan Pulau Natuna milik Indonesia yang sememangnya diakui sebagai kaya dengan sumber minyak dan gas.
Beijing dan Phnom Penh mempunyai hubungan yang amat rapat, dengan China muncul sebagai rakan dagangan serta pelabur terbesar di Kemboja sejak beberapa tahun yang lepas.
Kini kerajaan China “menggunakan” sekutu rapatnya iaitu Kemboja untuk menghalang ASEAN daripada melaksanakan latihan tentera bersama di kawasan perairan berhampiran Pulau Natuna milik Indonesia di Laut China Selatan.
Sebelum ini, China dikatakan akan membantu Kemboja memoden dan menaiktaraf pangkalan tentera laut negara itu di lokasi strategik Ream, sekaligus memberikan Beijing akses kepada pangkalan tentera laut itu yang berhadapan dengan Laut China Selatan dan Teluk Siam. — DSA
DOWNLOAD APPS DEFENCE SECURITY ASIA
Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com