Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Boleh Ucapkan Selamat Tinggal Pada Pesawat F/A-18 Hornet Milik Kuwait

Kerja-kerja penyelenggaraan dan naiktaraf pesawat Hornet Kuwait itu berkemungkinan membawa maksud bahawa negara Timur Tengah itu belum lagi bersedia untuk "berpisah" dengan pesawat-pesawat Hornet miliknya sama ada kepada Malaysia atau pihak-pihak lain.

0 19,185

(DEFENCE SECURITY ASIA) – – Niat Kementerian Pertahanan dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk memiliki pesawat pejuang F/A-18 Hornet milik Kuwait nampaknya sudah boleh dilupakan berikutan tindakan terkini oleh negara Timur Tengah itu.

Baru-baru ini Kuwait telah memohon kepada Amerika Syarikat untuk menyelenggara dan menaiktaraf pesawat Hornet miliknya bernilai US$1.8 bilion.

Permohonan itu adalah kerana penghantaran pesawat-pesawat pejuang F/A-18E/F Super Hornet yang dibeli oleh Kuwait berhadapan dengan kelewatan, memaksa ia menyelenggara dan menaiktaraf pesawat Hornet sedia-ada miliknya.

Kuwait
F/A-18 milik Tentera Udara Kuwait

 

Kuwait bercadang terus menggunakan pesawat Hornetnya, selagi ia belum lagi menerima pesawat pejuang Super Hornet yang dibelinya.

Tiga hari lepas, Jabatan Negara Amerika Syarikat mengumumkan ia telah meluluskan kemungkinan Foreign Military Sales (FMS) kepada kerajaan Kuwait kerja-kerja kejuruteraan dan penyelenggaraan bernilai US$1.8 bilion.

Kelulusan daripada Kongres Amerika Syarikat diperlukan untuk memastikan urusniaga dengan kerajaan Kuwait berjalan dengan lancar.

Kerja-kerja kejuruteraan itu termasuklah menaiktaraf perisian, naiktaraf komponen enjin, pembaikan alatganti enjin dan pesawat dan lain-lain.

Kerja-kerja penyelenggaraan dan naiktaraf pesawat Hornet Kuwait itu berkemungkinan membawa maksud bahawa negara Timur Tengah itu belum lagi bersedia untuk “berpisah” dengan pesawat-pesawat Hornet miliknya sama ada kepada Malaysia atau pihak-pihak lain.

Ia kerana penghantaran pesawat pejuang Super Hornet yang dipesannya daripada Amerika Syarikat itu berdepan dengan kelewatan.

Hornet
Salah satu daripada 33 buah pesawat pejuang F/A-18C/D Hornet Tentera Udara Kuwait.

 

Pada Mac lalu, Kementerian Pertahanan menyatakan bahawa ia masih menaruh harapan untuk memiliki pesawat-pesawat pejuang terpakai F/A-18C/D terpakai milik Kuwait, tetapi hasratnya terbantut akibat ketiadaan komitmen daripada kerajaan negara Timur Tengah itu. 

Bercakap di Parlimen, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, kementeriannya serta Menteri Pertahanan terdahulu telah menulis surat sebanyak tiga kali kepada kerajaan Kuwait menyatakan hasrat negara untuk memperolehi pesawat-pesawat pejuang terpakai F/A-18C/D milik negara Arab itu.

Kini kita sudah tahu bahawa Kuwait tidak membalas surat kita adalah kerana mereka sememangnya tidak mempunyai niat untuk melepaskan pesawat-pesawat Hornetnya.

Mohamad Hasan yang lebih dikenali dengan panggilan “Tok Mat” berkata, walaupun pesawat-pesawat F/A-18C/D milik Kuwait itu adalah terpakai tetapi ia masih boleh digunakan kerana “flying hours” (jam penerbangannya) masih rendah dan telah dinaiktaraf.

Malaysia merancang untuk membeli pesawat-pesawat F/A-18 C/D Hornet Tentera Udara Kuwait sebagai satu langkah “stop-gap measures” (langkah sementara) sebelum Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilengkapi dengan membeli pesawat (MRCA yang baru.

Hornet
Pesawat F/A-18 E/F Super Hornet

 

Tentera Udara Kuwait memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan pesawat-pesawat F/A-18 C/D miliknya selepas ia memperolehi pesawat-pesawat F/A-18 E/F Super Hornet serta Eurofighter Typhoon.

Untuk menggantikan pesawat F/A-18C/D miliknya,  Kuwait telah memperolehi sebanyak 28 buah pesawat Super Hornet yang terdiri daripada 22 buah pesawat satu tempat duduk F/A-18E dan enam buah pesawat F/A-18F Super Hornet yang bakal beroperasi daripada Pangkalan Udara Ahmed al-Jaber.

Selain pesawat-pesawat pejuang Super Hornet, Kuwait turut membeli 28 buah  pesawat Eurofighter Typhoon yang dibangunkan oleh BAE Systems yang dianggarkan bernilai US$8.7 bilion.

Pada 2021, Timbalan Menteri Pertahanan pada ketika itu Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata Kementerian Pertahanan merancang mengadakan rundingan dengan Kuwait untuk memperolehi 33 buah pesawat pejuang Hornet milik negara Timur Tengah secara “lock, stock and barrel.”

Hornet
Pesawat F/A-18D Hornet Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). (pix credit to owner)

 

“Perolehan yang dirancang adalah berbentuk Lock, Stock and Barrel  (lengkap) sebanyak 33 buah Pesawat F/A-18 C/D Tentera Udara Kuwait,

“Kerajaan Kuwait dijangka akan melucut tauliahkan pesawat F/A-18C/D setelah menerima dan mengoperasikan pesawat terbaharu F/A-18E/F (Super Hornet) dari  Amerika Syarikat,” kata Ikmal.

Menurut beliau, pesawat pejuang F/A-18C/D  yang dioperasikan oleh Tentera Udara Kuwait itu masih dalam keadaan baik dan mempunyai waktu jam operasi yang rendah berbanding F/A-18D yang dioperasikan oleh TUDM. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

 

Comments
Loading...