Poland Mula Terima FA-50, Hanya Lapan Bulan Selepas Kontrak Ditandatangani
Lapan bulan selepas kontrak ditandatangani pada Sept 2022, Poland akan mula menerima 12 buah pesawat FA-50GF (Gap Filler) daripada Korea Aerospace Industries (KAI) untuk menggantikan pesawat-pesawat MiG-29 dan Su-22 negara Eropah itu yang telah dibersarakan (atau “disedekahkan” kepada Ukraine). Menjelang akhir tahun ini, Poland akan menerima kesemua 12 pesawat pejuang FA-50GF itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Hanya dalam tempoh lapan bulan selepas menandatangani perjanjian perolehan 48 buah pesawat FA-50, Poland beberapa hari lalu diumumkan akan mula menerima pesawat pejuang ringan itu daripada syarikat pembuatnya, Korea Aerospace Industries (KAI).
Poland menandatangani perjanjian dengan Korea Selatan pada September tahun lepas untuk memperolehi 48 buah pesawat pejuang ringan FA-50.
Dan lapan bulan selepas kontrak ditandatangani, Poland akan mula menerima 12 buah pesawat FA-50GF (Gap Filler) daripada KAI untuk menggantikan pesawat-pesawat MiG-29 negara Eropah itu yang telah dibersarakan (atau “disedekahkan” kepada Ukraine).
Menjelang akhir tahun ini, Poland akan menerima kesemua 12 pesawat pejuang FA-50GF itu.
Pada 7 Jun lepas, satu majlis roll-out pesawat pejuang FA-50GF milik Tentera Udara Poland telah diadakan di Sacheon, kira-kira 300km daripada Seoul yang menempatkan ibu pejabat syarikat KAI, yang turut dihadiri oleh Menteri Pertahanan Korea Selatan dan Poland.
Media-media Korea Selatan menyifatkan majlis roll-out pesawat FA-50GF milik Poland itu sebagai “amat menakjubkan” kerana tempoh yang amat pendek – iaitu lapan bulan – sejak kontrak ditandatangani pada September 2022 kepada tempoh roll-out pertama pesawat FA-50GF itu.
Menteri Pertahanan Poland Mariusz Blaszczak berkata penyerahan pesawat FA-50GF milik tentera udara negara itu yang amat cepat amat membantu negara Eropah itu dalam meningkatkan kemampuan pertahanannya.
“Terima kasih terhadap kepantasan penyerahan FA-50GF, Poland kini melengkapkan pertahanannya dengan strategi ketenteraan dan merealisasikan pemodenan pertahanan negara. Saya tidak sabar untuk melihat pesawat FA-50GF terbang di dalam ruang udara Poland,” kata beliau.
Poland bercadang membersarakan keseluruhan pesawat-pesawat buatan Russia, MiG-29 dan Su-22 miliknya dan menggantikannya dengan pesawat pejuang FA-50GF dan FA-50PL buatan KAI.
Negara Eropah itu juga telah menyatakan minatnya untuk memperolehi pesawat pejuang generasi 4.5 KF-21 “Boramae” yang sedang dibangunkan oleh KAI pada ketika ini.
Selain 12 buah varian pesawat FA-50GF yang akan mula dihantarnya ke Poland mula sekarang hingga akhir tahun ini, KAI dijangka akan mula menghantar pula varian pesawat pejuang ringan yang lebih canggih iaitu FA-50PL bermula pada pertengahan 2025.
Poland akan menerima 36 FA-50PL yang merupakan varian FA-50 Block 20 sebagaimana yang bakal dioperasikan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Pada LIMA ’23 Kementerian Pertahanan menandatangani perjanjian dengan KAI untuk memperolehi 18 buah pesawat FA-50 Block 20, dengan TUDM dijangka menerima kumpulan pertama empat buah pesawat pertama pada Oktober 2026.
TUDM dijangka menerima 14 buah pesawat pejuang FA-50 Block 20 atau FA-50M yang berikutnya secara berperingkat selepas itu.
Hanya Malaysia dan Poland sahaja yang menggunakan varian FA-50 Block 20, yang merupakan varian pesawat FA-50 yang paling berkemampuan berbanding varian-varian pesawat pejuang ringan itu yang lain.
Varian FA-50 Block 20 yang bakal digunakan oleh Malaysia dan Poland bakal dinaiktaraf dengan radar AESA jenis PhantomStrike oleh Raytheon, pod air-to-air refueling, kemampuan untuk melancarkan peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) dan peluru berpandu udara-ke-darat serta bom-bom pintar. — DSA
DOWNLOAD APPS DEFENCE SECURITY ASIA
Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com