Radar “Anti-Halimunan” China Menanti F-35, F-22 Amerika
Juruterbang pesawat-pesawat pejuang seperti F-22 Raptor dan F-35 Joint Strike Fighter Tentera Udara Amerika Syarikat dan sekutunya perlu lebih berhati-hati selepas ini, berikutan dakwaan Beijing bahawa ia telah membangunkan sistem radar yang khusus serta berketepatan tinggi dalam mengesan pesawat-pesawat serta dron halimunan.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Mungkin kerana bimbang dengan peningkatan penerbangan “provokatif” pesawat-pesawat halimunan Amerika Syarikat dan negara sekutunya berhampiran sempadannya, China dilaporkan telah membangunkan sistem radar “anti halimunan” yang mempunyai kemampuan mengesan kehadiran pesawat-pesawat pejuang dan dron halimunan itu.
Juruterbang pesawat pejuang seperti F-22 Raptor dan F-35 Joint Strike Fighter Tentera Udara Amerika Syarikat dan sekutunya perlu lebih berhati-hati selepas ini, berikutan dakwaan Beijing bahawa ia telah membangunkan sistem radar yang khusus serta berketepatan tinggi dalam mengesan pesawat-pesawat serta dron halimunan.
Dibangunkan oleh China Electronics Technology Group Corporation (CETC), radar “anti-halimunan” itu dinamakan “YLC-8E” dan ia menggunakan teknologi elektro-magnetik untuk mengesan kedudukan pesawat-pesawat atau dron walaupun “tuan punya diri” merasakan ia beroperasi di dalam mode halimunan.

CETC memanggil “YLC-8E” sebagai radar perisikan generasi ke-4 dan mendakwa tahap pengesanan pesawat-pesawat halimunan oleh radar itu mencapai sehingga 95 peratus.
Dikatakan radar anti halimunan yang dibangunkan oleh syarikat berteknologi tinggi milik kerajaan China ini mempunyai keupayaan untuk mengesan pesawat atau dron kombat, halimunan atau tidak pada jarak 500km manakala peluru berpandu pula adalah pada jarak 700km.
Beberapa bulan lepas, seorang pegawai kanan Tentera Udara Amerika Syarikat mengakui bahawa pesawat pejuang halimunannya, F-35 pernah bertembung sekurang-kurangnya sekali dengan pesawat pejuang generasi kelima China, J-20 “Mighty Dragon” di Laut Timur China.
Ia menandakan pertembungan buat pertama kali di antara kedua-dua pesawat pejuang generasi kelima daripada negara seteru dan ia menunjukkan Amerika Syarikat serta sekutunya mengerahkan pesawat-pesawat halimunan ke kawasan perairan berhampiran sempadan maritim China.
Pengakuan tentang pertembungan di antara dua buah pesawat termoden dan halimunan kedua-dua negara itu dibuat oleh Komander US Pacific Forces, US Air Force Jeneral Kenneth Wilscbach dalam satu perbincangan di Mitchell Institute for Aerospace Studies.

Penganalisis tentera China mengatakan radar YLC-8E yang dibangunkan oleh CETC merupakan radar anti halimunan pertama di dunia menggunakan sistem UHF (Ultra High Frequency) dan dipromosikan sebagai antara radar ulung yang berkemampuan untuk mengesan pesawat-pesawat halimunan seperti F-22 dan F-35.
Media nasionalis China, “Global Times” yang dimiliki oleh Parti Komunis China mendakwa radar anti-halimunan “YLC-8E” terbabit boleh mengesan pesawat halimunan seperti F-22 dan F-35 serta pesawat-pesawat lain daripada jarak jauh dengan ketepatan yang tinggi.
Comments are closed.