Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Tentera Russia Cuba Tembak Jatuh Dron MQ-9 “Reaper” Amerika Di Syria

Walaupun sistem pertahanan udara Pantsir-S1 milik Russia itu gagal menembak jatuh dron MQ-9 Reaper milik Amerika Syarikat yang sedang beroperasi di utara Syria, namun insiden itu menunjukkan "perseteruan" yang semakin tegang di antara Moscow dan Washington yang memiliki ketumbukan tentera di negara Arab itu.

3,611

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada 27 November tahun lepas, unit pertahanan udara Russia yang beroperasi di Syria telah cuba menembak jatuh sebuah dron milik Amerika Syarikat “MQ-9 Reaper” menggunakan sistem pertahanan udara “Pantsir-S1”.

Bagaimanapun percubaan oleh tentera Russia untuk menembak jatuh dron Amerika itu gagal selepas tembakan peluru berpandu itu gagal mengenai sasarannya.

Insiden cubaan menembak jatuh dron milik Amerika oleh sistem pertahanan udara Russia di Syria itu terkandung dalam dokumen rahsia tentera negara yang telah didedahkan oleh anggota tenteranya sendiri baru-baru ini dan dilaporkan oleh media terkenal negara itu, Washington Post.

Pantsir S-1
Sistem pertahanan udara “Pantsir” Russia.

 

Pegawai tinggi tentera Amerika Syarikat kemudiannya mengesahkan mengenai insiden yang berlaku di Syria itu.

“Kita boleh mengesahkan bahawa sistem pertahanan udara SA-22 telah melancarkan peluru berpandu terhadap dron MQ-9 Reaper milik Amerika Syarikat pada 27 November 2022,” kata jurucakap Central Command Tentera Amerika Syarikat (CENTCOM).

Beliau juga mengatakan bahawa tentera Amerika Syarikat telah menghubungi tentera Russia berkenaan insiden itu.

Sistem pertahanan udara Pantsir-S1 juga dikenali sebagai SA-22 oleh pihak NATO.

Dokumen rahsia yang didedahkan itu menunjukkan bahawa sistem pertahanan udara Pantsir-S1 itu telah dilancarkan daripada pangkalan udara Qamishili yang terletak di utara Syria.

Pantsir

Tentera Russia telah beroperasi secara aktif di sekitar Qamishili sejak beberapa tahun dan “pertembungan” di antara tentera Russia dan Amerika Syarikat di kawasan itu dilaporkan pernah berlaku sebelum ini.  

Sistem pertahanan udara Pantsir S-1 merupakan sistem bergerak menggunakan lori dan dilengkapi dengan peluru berpandu darat-ke-udara serta dua meriam otomatik 30mm.

Ia boleh menggunakan radar yang terdapat pada lori terbabit atau penderia infra-merah untuk mengesan dan menjejaki pelbagai ancaman.

Sistem pertahanan udara Pantsir-S1 itu direkabentuk untuk menangani ancaman jarak rendah (point defense) seperti pesawat, helikopter, dron, peluru berpandu kruis dan pelbagai peluru termasuk roket.

Pihak tentera Russia dan Syria telah mengoperasikan sistem Pantsir S-1 ini di beberapa lokasi di Syria dengan rekod prestasinya sebagaimana dinyatakan oleh penganalisis pertahanan antarabangsa sebagai bercampur-campur.

MQ-9
Dron MQ-9 Reaper oleh General Atomics.

 

Walauapapun, insiden di utara Syria itu bukanlah kali pertama dron Amerika Syarikat telah cuba ditembak jatuh.

Pada 2019, Kor Pengawal Revolusi Iran telah berjaya berjaya menembak jatuh dron RQ-4 yang diopearasikan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat yang sedang terbang di ruang udara antarabangsa di Selat Hormuz.

Kumpulan bersenjata di Libya yang diketuai oleh panglima perang Jen Khalifa Haftar juga dilaporkan telah menembak jatuh sekurang-kurangnya dua buah dron MQ-9 Reaper milik Amerika Syarikat itu di negara Afrika Utara beberapa tahun lepas.

Kejayaan kumpulan bersenjata Libya itu menembak jatuh dron MQ-9 Reaper itu bagaimanapun dipercayai mendapat bantuan teknikal daripada kontraktor keselamatan Russia, Wagner Group yang menyokongnya.

Dalam insiden yang berlaku baru-baru ini di Laut Hitam yang memarakkan perseteruan antara Moscow dan Washington, pesawat pejuang Su-27 Russia telah bertindak memintas dan didakwa telah dengan sengaja “melanggar” kipas dron MQ-9  Reaper itu sehingga menyebabkan ia terhempas di Laut Hitam.

Russia
Rakaman pesawat Su-27 Russia ketika ia menghampiri dron MQ-9 Reaper milik Amerika Syarikat di Laut Hitam baru-baru ini.

 

Pihak tentera Amerika Syarikat mengecam tindakan pesawat pejuang Russia itu dan mendakwa ia melakukan penerbangan secara “tidak selamat” sehingga menyebabkan dron itu terhempas.

Ketika terhempas dron itu dipercayai sedang melakukan misi Intelligence, Surveillance and Reconnaisance (ISR).

Dron MQ-9 Reaper yang dibangunkan oleh syarikat General Atomics, memiliki panjang sayap sepanjang 20 meter manakala keseluruhan pesawat itu panjangnya adalah 36 meter.

Dron itu memiliki berat 2.2 tan apabila tidak membawa apa-apa muatan. — DSA

Apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: [email protected]

 

 

Comments are closed.