Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat Pejuang Tanpa Pemandu, “Kizilelma” Akan Lebih Baik Dari F-35

Selepas “dibuang” dan dihalang daripada membeli F-35, Turki bukan sahaja telah membangunkan program pembangunan pesawat generasi kelimanya sendiri iaitu, TF-X yang bakal melakukan penerbangan sulungnya pada akhir tahun ini, tetapi ia juga bakal memiliki pesawat pejuang tanpa pemandunya sendiri (unmanned fighter jet) dinamakan "Kizilelma."

0 4,370

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada 2019 Turki telah dikeluarkan daripada program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima, F-35 selepas ia meneruskan hasratnya membeli sistem pertahanan udara buatan Russia, S-400.

Tindakan Amerika Syarikat mengeluarkan Turki daripada program pembangunan pesawat pejuang F-35 itu juga menamatkan hasrat negara Mediterranean itu untuk memperolehi 100 buah pesawat pejuang yang dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin.

Ankara telah pun membayar wang pendahuluan untuk memperolehi pesawat-pesawat pejuang F-35 itu, tetapi impiannya untuk memiliki F-35 tidak kesampaian.

Selepas “dibuang” dan dihalang daripada membeli F-35, Turki bukan sahaja telah membangunkan program pembangunan pesawat generasi kelimanya sendiri iaitu, TF-X yang bakal melakukan penerbangan sulungnya pada akhir tahun ini, tetapi ia juga bakal memiliki pesawat pejuang tanpa pemandunya sendiri (unmanned fighter jet).

Dinamakan “Kizilelma”, pesawat pejuang tanpa pemandu itu yang dibangunkan oleh syarikat Baykar Makina telah pun melakukan penerbangan sulungnya pada 14 Disember tahun lepas.

Kizilelma

Syarikat Baykar Makina adalah syarikat Turki yang bertanggungjawab membangunkan pesawat tanpa pemandu “Bayraktar TB2” yang keberkesanan penggunaannya telah mengubah perjalanan konflik-konflik daripada Syria,Libya hinggalah ke Nagorno-Karabakh.

Ketua Pegawai Teknologi Baykar Selcuk Bayraktar melahirkan keyakinan bahawa pesawat pejuang supersonik tanpa pemandu “Kizilelma” yang sedang dibangunkan oleh syarikatnya akan mengatasi pesawat pejuang F-35 dan mencabar pesawat-pesawat pejuang yang lain.

“Kita merancang untuk menghasilkan versi supersonic “Kizilelma” yang akan merevolusikan industri penerbangan. Ia boleh digunakan dalam pertempuran udara-ke-udara. Mungkin selepas penerbangan sulungnya, adalah salah untuk membandingkannya dengan pesawat lain yang digunakan oleh negara lain.”

“Bagaimanapun adalah pembangunannya (Kizilelma) telah lengkap, ia akan mengatasi pesawat pejuang F-35 di dalam beberapa aspek,” katanya sebagaimana dilaporkan oleh media-media tempatan baru-baru ini.

Menurutnya, “Kizilelma” adalah pesawat pejuang generasi kelima sebagaimana F-35 tetapi berlainan dengan pesawat buatan Amerika Syarikat, ia tidak mempunyai juruterbang.

Kizilelma

Menurut Baykar Makina, pesawat pejuang tanpa pemandu itu berkeupayaan melaksanakan pelbagai misi dan operasi termasuk Close Air Support (CAS), serangan peluru berpandu, Suppression of Enemy Air Defenses (SEAD) dan Destruction of Enemy Air Defenses (DEAD).

Buat masa ini, “Kizilelma” yang dilengkapi dengan sebuah enjin Ivchenko-Progress buatan Ukraine berkemampuan berada di udara selama lima jam dan terbang 800km sejam atau Mach 0.64, menjadikan ia sebuah pesawat pejuang tanpa pemandu yang sub-sonik.

Bagaimanapun, apabila dilengkapkan dengan dua enjin berkuasa tinggi untuk menjadi varian supersonik, pesawat pejuang tanpa pemandu Turki itu mampu membawa pelbagai jenis bom dan peluru berpandu seberat 1,500kg.

FA-50
Peluru berpandu SOM (Stand-Off Missile) yang dibangunkan oleh firma Roketsan.

 

“Kizilelma” yang akan dilengkapi dengan radar AESA buatan tempatan itu juga akan membawa peluru berpandu udara-ke-udara buatan tempatan, “Bozdogan” dan “Gozdogan”,  keluarga bom-bom pintar micro “MAM” serta peluru berpandu kruis “SOM-J” yang berkemampuan membedil sasaran darat sejauh 250km.

Pesawat pejuang tanpa pemandu Turki itu juga direka untuk berlepas dan mendarat daripada landasan yang pendek, bagi membolehkan ia beroperasi daripada kapal Amphibious Assault Ship “Anadolu” milik Tentera Laut Turki yang sedang menjalani ujian laut pada ketika ini.

Sebelum ini, Turki merancang mengoperasi pesawat-pesawat F-35B miliknya daripada atas dek kapal “Anadolu” tetapi nampaknya tempat F-35 itu kini akan diambilalih oleh “Kizilelma” selepas Ankara “ditendang keluar” daripada program pesawat itu oleh Washington.

“Anadolu” bakal muncu sebagai kapal pengangkut pesawat tanpa pemandu yang pertama di dunia. — DSA

Apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

 

 

 

Comments
Loading...