Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Gambar Satelit Tunjuk China Duduki Lebih Banyak Ciri Maritim Di Laut China Selatan

Menurut pemerhati, walaupun China telah bertindak membangunkan ciri-ciri maritim di Laut China Selatan sebelum ini sehingga menjadikannya pangkalan tentera dengan kemudahan jeti dan landasan kapal terbang, namun ini adalah kali pertama Beijing bertindak membangunkan ciri-ciri maritim yang ia tidak duduki di perairan strategik itu.

0 1,638

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Gambar-gambar satelit yang diambil baru-baru ini menunjukkan bahawa China telah menduduki beberapa buah ciri maritim di Laut China Selatan dan bertindak menambaknya, dipercayai sebahagian daripada usaha untuk mengukuhkan lagi tuntutannya terhadap perairan yang amat kritikal terhadap perdagangan dunia.

Setakat ini tiada bukti menunjukkan China mahu membangunkan ciri-ciri maritim yang didudukinya untuk tujuan ketenteraan.

Menurut laporan berita oleh Bloomberg, bot-bot nelayan yang bertindak sebagai militia maritim China dikesan melaksanakan kerja-kerja pembinaan di empat buah ciri maritim yang terletak di Kepulauan Spratly, Laut China Selatan.

Gambar-gambar satelit menunjukkan saiz ciri-ciri maritim terbabit meningkat sehingga 10 kali ganda di dalam beberapa tahun kebelakangan ini, akibat kerja-kerja pembinaan oleh Beijing.

Kerja-kerja pembinaan dan penambakan laut oleh militia China itu dikesan berlaku di Terumbu Karang Eldad (Eldad Reef) yang terletak di utara Kepulauan Spratly dan Lankiam Cay yang juga dikenali sebagai Pulau Panata oleh Filipina.

Coast Guard
Kapal Pengawal Pantai China

 

Selain itu, militia maritim China juga dikesan melakukan kerja-kerja pembinaan di Terumbu Karang Whitsun dan Sandy Cay sehingga membuatkan sebahagian daripada kawasan ciri-ciri maritim itu yang sebelum ini berada di bawah paras laut kini berada di atas paras permukaan air.

Menurut pemerhati, walaupun China telah bertindak membangunkan ciri-ciri maritim di Laut China Selatan sebelum ini sehingga menjadikannya pangkalan tentera dengan kemudahan jeti dan landasan kapal terbang, namun ini adalah kali pertama Beijing bertindak membangunkan ciri-ciri maritim yang ia tidak duduki di perairan strategik itu.

Di bawah “Nine Dash Line”, China mendakwa 80 peratus daripada keluasan Laut China Selatan itu adalah miliknya berdasarkan kepada peta pada tahun 1947.

China
China dan Nine Dash Line yang didakwa sebagai miliknya.

 

Berdasarkan Nine Dash Line itu, Beijing mendakwa ia memiliki kedaulatan untuk membina apa-apa sahaja struktur di dalam apa yang dikatakan sebagai wilayahnya.

Ditanya mengenai dakwaan yang dikemukakan menerusi laporan oleh agensi berita Bloomberg itu,  Kementerian Luar China di Beijing menafikannya dan mengatakan bahawa laporan itu hanyalah spekulasi.

Dalam tempoh 10 tahun, China telah menambak ribuan ekar kawasan di ciri-ciri maritim yang dikuasainya di Kepulauan Spratly dan menjadikannya pangkalan-pangkalan tentera serta melengkapkannya dengan pelabuhan, landasan kapal terbang dan infrastruktur ketenteraan yang lain.

Minyak
Gambar Kapal Pengawal Pantai China berhampiran pelantar minyak dan gas Malaysia di perairan Sarawak. (ehsan pembaca Defence Security Asia)

 

Terdapat ciri-ciri maritim yang diduduki oleh China di Kepulauan Spratly itu hanya terletak kira-kira 500km daripada Sabah.

Amerika Syarikat berulangkali mengkritik tindakan China di Laut China Selatan dan bertindak mencabar Beijing dengan melakukan operasi Freedom of Navigation.

Setiausaha Pertahanan negara itu Lloyd Austin mengatakan bahawa Washington sedang membangunkan kekuatan tentera yang lebih ampuh di rantau Indo-Pasifik dalam usahanya menghalang dominasi China di rantau itu. — DSA

apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

 

 

Comments
Loading...