Lapan Tahun Tiada Pembeli, CEO Syarikat Bina Gripen “Kecewa”
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Saab Group Micael Johansson memberitahu wartawan di Sweden itu tentang “kekecewaannya” berhubung kegagalan syarikat itu menarik minat negara-negara lain untuk membeli pesawat pejuang Gripen. Kali terakhir Saab berjaya menjual Gripen adalah lapan tahun lepas.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Apa sudah jadi dengan pesawat pejuang Gripen yang dibangunkan oleh syarikat Saab Group daripada Sweden?
Baru-baru ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat terkenal Sweden itu Micael Johansson memberitahu wartawan di negara Scandinavia itu tentang “kekecewaannya” berhubung kegagalan pesawat pejuang menarik minat pembeli-pembeli selain daripada Sweden.
Bercakap kepada media negara itu di ibu pejabat Saab di Stockholm pada 26 Ogos lepas, beliau berkata pesawat pejuang Gripen gagal menepati sasarannya dalam pasaran eksport dan menyalahkan faktor-faktor politik sebagai punca disebalik kegagalan itu.

Kali terakhir pesawat pejuang Gripen berjaya memenangi persaingan membekalkan pesawat kepada negara asing adalah pada 2014 apabila ia berjaya menambat hati Brazil yang bersetuju membeli 36 buah pesawat pejuang buatan Sweden itu bernilai US$5.4 bilion.
Daripada segi prestasi dan kemampuan pesawat pejuang itu, Johansson berkata, tiada apa yang membeza Gripen dengan pesawat-pesawat pejuang yang setanding dengannya.
Pesawat pejuang Gripen ini terletak di dalam kategori pesawat pejuang ringan, dibawah sedikit daripada pesawat-pesawat pejuang yang lain seperti F-16 dan Rafale.
Gripen ini menurut para pemerhati, terletak di dalam kategori yang setanding dengan pesawat pejuang seperti Tejas daripada India dan JF-17 yang dibangunkan oleh Pakistan serta China.
Pesawat pejuang kebanggaan industri pertahanan Sweden itu menggunakan enjin F404 sebagaimana yang digunakan oleh Tejas.

Enjin F404 oleh General Electric itu pada mulanya dibangunkan untuk kegunaan pesawat F-18 Hornet, manakala pesawat JF-17 pula menggunakan enjin RD-33 yang turut digunakan untuk pesawat pejuang MiG-29.
Menurut para pemerhati, Gripen dan pesawat pejuang yang seangkatan dengannya mempunyai prestasi penerbangan yang kurang memuaskan berbanding pesawat pejuang yang lebih berat.
Comments are closed.