Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Britain, Perancis Bantu Qatar Jaga Ruang Udara Ketika Piala Dunia

Pesawat-pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu yang bernaung di bawah 12 Skuadron dan berpengkalan di Coningby, United Kingdom itu akan dikerah ke Qatar sebagai sebahagian daripada pasukan Quick Reaction Alert (QRA) yang menjaga ruang udara negara itu ketika berlangsungnya kejohanan Piala Dunia.

0 1,554

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat-pesawat pejuang Eurofighter Typhoon milik Tentera Udara British akan dikerah ke Qatar untuk menjaga keselamatan ruang udara negara Teluk itu ketika berlangsungnya Piala Dunia 2022 pada 21 November hingga 18 Disember tahun ini.

Pesawat-pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu yang bernaung di bawah 12 Skuadron dan berpengkalan di Coningby, United Kingdom itu akan dikerah ke Qatar sebagai sebahagian daripada pasukan Quick Reaction Alert (QRA) yang menjaga ruang udara negara itu ketika berlangsungnya kejohanan Piala Dunia.

Kementerian Pertahanan British berkata, 12 Skuadron itu akan menyokong operasi anti-terrorisme menerusi operasi keselamatan ruang udara.

Typhoon

Ia juga berkata kerahan pesawat-pesawat pejuang miliknya ke Qatar juga adalah berdasarkan kepada pengalamannya ketika menjaga keselamatan ruang udara negara itu ketika penganjuran Sukan Olimpik pada 2012.

Selain pesawat-pesawat Typhoon milik Tentera Udara British, negara Teluk itu juga mengoperasikan sejumlah 24 buah pesawat pejuang buatan syarikat BAE Systems menerusi tentera udaranya serta sembilan buah pesawat pejuang Hawk.

Pada 2017 Qatar membelanjakan 6 bilion Pound untuk memperolehi 24 buah pesawat pejuang Typhoon itu yang dikategorikan sebagai pesawat pejuang generasi ke-empat.

Pengumuman tentang kerahan pesawat-pesawat pejuang Typhoon ke Qatar untuk membantu negara Arab Teluk menjaga keselamatan ruang udaranya ketika berlangsung Piala Dunia berlaku selepas lawatan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad al Thani ke Britain baru-baru ini dimana beliau telah bertemu dengan Boris Johnson.

AWACS
Pesawat E-3F AWACS milik Tentera Udara Perancis

 

Selain pesawat-pesawat pejuang Typhoon, Britain akan turut membantu daripada segi perancangan, bantuan kawalan dan pemerintahan serta kepakaran.

Selain Britain, negara Arab Teluk yang kaya-raya itu turut meminta bantuan daripada Perancis untuk mengawal ruang udaranya daripada sebarang pencerobohan serta ancaman.

Paris juga akan menghantar tenaga pakar serta sistem anti-dron “BASSALT” yang dilancar pada 2019 untuk mengesan, menjejak dan mengenalpasti pesawat-pesawat tanpa pemandu yang tidak dikenali.

Sistem “BASSALT” itu telah digunakan oleh tentera Perancis ketika negara itu menganjurkan acara antarabangsa serta di negara Afrika, Mali dalam Operasi Barkhane.

Rafale
Rafale

 

Selain dron, tentera Perancis juga akan mengerahkan sebuah pesawat E-3F Airborne Warning and Control System (AWACS) yang menggunakan sistem AN/APY-2 passive electronically scanned array radar (PESA) yang berkemampuan menjejaki lebih daripada 600 sasaran dalam jarak 400km.

Sebagaimana Britain, Qatar juga adalah antara negara pengguna peralatan ketenteraan terbesar Perancis.

Ia telah menandatangani kontrak dengan Perancis untuk memperolehi 36 buah pesawat pejuang Rafale serta 28 buah helikopter NH-90. — DSA

Comments
Loading...