Tiga Nelayan Vietnam Cedera Terkena Serpihan Tembakan Selepas Cuba Serang Anggota APMM
Kumpulan nelayan Vietnam itu bertindak ganas dan cuba menyerang anggota APMM...
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Tiga nelayan Vietnam cedera terkena serpihan tembakan selepas cuba menyerang anggota penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) kira-kira 80 batu nautika tenggara Tanjung Gelang, Pahang, pagi semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim, Datuk Amran Daud berkata, kejadian berlaku 5.25 pagi apabila anggota Maritim menghampiri bot mereka untuk menjalankan siasatan.
Kapal Maritim, KM Satria sedang melakukan rondaan apabila terserempak dengan dua bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara.
“Menyedari kehadiran kapal kami, kedua-dua bot terbabit melarikan diri dan kami mengambil masa tiga jam sebelum berjaya memintas bot terbabit.Ketika menghampiri salah sebuah bot nelayan asing terbabit untuk membuat pemeriksaan, nelayan Vietnam terbabit yang bersenjatakan parang dan objek keras bertindak menyerang anggota kami,” katanya di Kemaman.
Bagi mempertahankan diri, anggota Maritim melepaskan beberapa das tembakan amaran ke udara, namun nelayan Vietnam itu masih bertindak ganas.
Dalam situasi tegang itu katanya, anggota tiada pilihan dan terpaksa melepaskan tembakan amaran ke arah bot itu bagi menghentikan tindakan ganas nelayan terbabit, namun serpihan tembakan terkena dan mencederakan tiga nelayan termasuk tekong bot terbabit.
“Bot serta 19 awak-awak nelayan asing itu ditahan dan ditangkap sekitar jam 8.55 pagi semalam dengan keseluruhan hasil rampasan dianggarkan bernilai RM1.5 juta,” katanya.
Amran berkata, tiga nelayan yang cedera itu dibawa menaiki bot KILAT 49 pada 11.45 malam dan tiba di Jeti PPM Kuantan pada 12.15 tengah malam tadi sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan HTAF, Kuantan, untuk menerima rawatan.
“Bot yang ditahan beserta awak-awak dibawa masuk ke jeti Pangkalan Maritim Kemaman kira-kira jam 12 tengahari tadi untuk siasatan lanjut.
Comments are closed.