Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

[VIDEO] Pesawat Pejuang Israel Serang “Kepentingan Iran” Di Syria

0 569

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat-pesawat pejuang Israel menceroboh ruang udara Syria beberapa jam lalu untuk mengebom beberapa sasaran di Damsyik yang dipercayai dikuasai oleh anggota Kor Pengawal Revolusi Iran dan kumpulan-kumpulan militan yang bersekutu dengannya.

Menurut pemerhati tempatan, sasaran jet-jet pejuang Israel itu adalah lokasi-lokasi penyimpanan peluru berpandu Iran di ibu kota Syria itu.

Unit-unit sistem pertahanan udara tentera Syria turut melancarkan peluru-peluru berpandu anti-pesawat terhadap pesawat-pesawat pejuang Israel yang menyerang Damsyik itu, tetapi sehingga kini tiada laporan mengatakan pesawat negara Yahudi itu berjaya ditembak jatuh.

Laporan mengatakan serangan pesawat-pesawat pejuang Israel itu berjaya memusnahkan pusat-pusat penyimpanan senjata milik Kor Pengawal Revolusi Iran dan kumpulan-kumpulan militant bersekutunya di Pangkalan Mezzeh di Damsyik yang berada dibawah kawasan pemerintahan Divisyen Armor ke-4 Tentera Syria.

Syria
Gambar menunjukkan tentera Syria melancarkan peluru berpandu pertahanan udara untuk menembak jatuh pesawat Israel.

Terdapat gambar-gambar menunjukkan cahaya terang menerangi bandar Damsyik akibat kebakaran di kawasan pusat penyimpanan peluru berpandu itu sejurus selepas serangan jet pejuang Israel.

Sejak dua bulan lepas, tentera Israel telah meningkatkan serangan terhadap kemudahabn-kemudahan penyimpanan senjata milik Iran di dalam Syria.

Sementara itu media rasmi kerajaan Syria mengatakan sistem pertahanan udaranya berjaya menangani serangan udara Israel dengan menembak jatuh peluru-peluru berpandu yang dilancarkan oleh Israel.

Laporan mengatakan serangan udara Israel itu tertumpu ke atas bandar Kiswa, kira-kira 14km di selatan Damsyik yang sememangnya diketahui dikuasai oleh militant bersekutu dengan Iran.

Saksi mengatakan, mereka mendengar letupan-letupan kuat datang daripada kawasan selatan Damsyik, yang menjadi kubu kuat kumpulan-kumpulan militant pro-Iran.

Peningkatan serangan udara Israel terhadap Syria sejak kebelakangan ini merupakan respons Tel Aviv terhadap tindakan Iran yang mahu menjadikan negara Timur Tengah itu sebagai “Lubnan Kedua” dimana kumpulan militant pro-Iran memiliki pengaruh dan kuasa ketenteraan yang kuat, hasil bantuan daripada Teheran.

Israel tidak mahu melihat kumpulan-kumpulan pro-Iran di Syria mengikut jejak Hezbollah yang kini diibaratkan sebagai pemerintah de-facto Lubnan, hasil bantuan kewangan dan persenjataan daripada Iran.

Syria
Gambar diambil oleh penduduk menunjukkan kebakaran besar di satu lokasi sejurus selepas serangan udara Israel di Damsyik malam tadi.

 

 

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...