Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Lagi Cubaan PATI Myanmar Masuki Negara ini Digagal Anggota Tentera

0 539

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) di bawah formasi Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) telah berjaya menangkap lapan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Myanmar yang cuba memasuki negara ini melalui jalan yang tidak sah.

Kejadian tersebut berlaku di sektor OP BENTENG di Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (6 Bgd) pada 15 Januari lepas.

ATM
Telefon bimbit yang dirampas oleh anggota tentera daripada PATI warga Myanmar itu. (gambar kredit Tentera Darat Malaysia)

Menurut kenyataan tentera darat, pada jam 12.30 pagi, anggota bertugas yang sedang melakukan rondaan telah mengesan kehadiran kelibat beberapa orang sedang cuba memasuki negara ini melalui pagar sempadan negara Malaysia-Thailand.

Anggota bertugas telah bertindak menahan kesemua mereka dan hasil soalsiasat mendapati mereka adalah PATI warga Myanmar. Kesemua PATI tersebut terdiri daripada lapan orang lelaki berusia antara 20 tahun hingga 45 tahun manakala nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM 9,257.20 melibatkan wang tunai serta telefon bimbit.

atm
Anggota ATM berkawal di sempadan Malaysia-Thailand.

Kesemua PATI ditahan dan dibawa ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan selanjutnya.

TDM sentiasa komited, fokus dan mempunyai tahap kesiagaan yang tinggi dalam menganalisa persekitaran dan mengawal sempadan negara daripada sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan, pencerobohan dan penyusupan.

Pengawasan dikawasan sempadan negara amat penting dalam menghadapi gelombang ketiga penularan wabak Covid-19 dan selaras dengan Tonggak Ke-2 Perintah Ulung Panglima Tentera Darat iaitu Meningkatkan Keutuhan Organisasi TDM.

SUMBER: SEL PERHUBUNGAN RAYA, MARKAS DIVISYEN KEDUA INFANTRI MALAYSIA MENERUSI PAGE FACEBOOK TENTERA DARAT MALAYSIA

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...