[VIDEO] Konflik Amerika-Iran Meletus 3 Januari 2021?
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada ketika ini terdapat peningkatan mendadak aktiviti pesawat-pesawat tentera Amerika Syarikat di ruang udara Iraq susulan serangan puluhan roket terhadap bangunan kedutaan Amerika di Zon Hijau, Baghdad minggu lepas.
Puluhan pesawat-pesawat milik tentera udara Amerika terutamanya pesawat-pesawat Intelligence, Surveillance and Recon (ISR) seperti “RC-135W Rivet Joint”, Air-to Air-Refuelling (AAR) dan F-15 serta pesawat pejuang lain kini berada di ruang udara Iraq.
Serangan roket cuba ditangkis oleh sistem C-RAM yang berpandukan radar.
Bagi pesawat F-16, ia memerlukan pesawat AAR disisinya walaupun baru sejam berada di udara bagi membolehkan ia melaksanakan secara berterusan misi Close Air Support (CAS) dalam waktu konflik, yang menjelaskan kehadiran banyak pesawat AAR di ruang udara Iraq ketika ini.
Sebelum ini pesawat-pesawat ini sememangnya berada di ruang udara Iraq, cuma sejak seminggu ini kehadiran aset-aset sensitive tentera Uncle Sam ini adalah jauh lebih banyak dan tahap intensiti yang lebih tinggi, menandakan kemungkinan “sesuatu yang besar” bakal berlaku di rantau ini tidak lama lagi, dengan fokus tertumpu pada Iran.
Pesawat “Rivet Joint” dikatakan terbang hanya dua batu daripada sempadan Iran.
Peningkatan aktiviti ketenteraan ini bukan sahaja berlaku di udara tetapi di juga lautan dengan kehadiran kapal selam berkuasa nuklear “USS Georgia” di Selat Hormuz diiringi dengan dua buah kapal destroyer tentera laut Amerika Syarikat.
Kebiasaanya, lokasi operasi kapal selam adalah sesuatu yang amat dirahsiakan tetapi kali ini Pentagon bukan sahaja mengumumkan kehadiran USS Georgia tetapi juga mengeluarkan gambar ia sedang transit di Selat Hormuz.
Pentagon juga menyatakan USS Georgia dan dua buah kapal destroyer itu membawa 154 peluru berpandu kruis “Tomahawk” di antara mereka, seolah-olah memberi amaran kepada Iran.
Pihak tentera Amerika dan Iraq semakin menerima kenyataan bahawa serangan roket minggu lepas yang dianggap paling besar sejak 2010 telah dilakukan oleh militia Syiah Iraq diatas arahan pihak Kor Pengawal Revolusi Iran.
Setiausaha Luar Negara Amerika Mike Pompeo menyalahkan Iran atas serangan roket itu.
Pemerhati ketenteraan di Timur Tengah sedang memerhati penuh minat peningkatan mendadak aktiviti ketenteraan di ruang udara Iraq, apatah lagi hanya tinggal beberapa hari sebelum sambutan ulangtahun pertama pembunuhan komander Quds Force, Kor Pengawal Revolusi Iran Jeneral Qasem Soleimani pada 3 Jan 2021 ini.
Pada 3 Jan 2020, Soleimani terbunuh apabila kenderaan dinaikinya musnah selepas terkena peluru berpandu yang dilepaskan oleh drone Amerika Syarikat tidak lama selepas meninggalkan Lapangan Terbang Baghdad.
Pembunuhan komander tertinggi Kor Pengawal Revolusi Iran telah membangkitkan kemarahan pemerintah Iran yang berjanji akan membalas dendam.
Terdapat spekulasi bahawa anggota-anggota Quds Force, Kor Pengawal Revolusi Iran telah menyusup masuk ke Iraq sejak beberapa minggu lepas dalam persediaan akhir untuk melancarkan serangan balas dendam terhadap aset-aset tentera Amerika Syarikat di Iraq.
Bagaimanapun, Quds Force dikatakan akan cuba sedaya upaya menyembunyikan peranan mereka dalam serangan balas dendam sempena setahun kematian Soleimani pada 3 Januari 2021 itu dengan menggunakan proksi mereka di Iraq iaitu kumpulan militant syiah yang dikenali dengan nama “Kataib Hezbollah.”
Mereka akan berada di belakang tabir dan membiarkan anggota militia Kataib Hezbollah melakukan kerja-kerja kotor mereka.
Dengan menyembunyikan peranan mereka terutamanya daripada pemerhatian Amerika Syarikat, Kor Pengawal Revolusi Iran berharap mereka dapat mengelak konflik yang lebih besar dengan Washington.
Terdapat laporan bahawa Kor Pengawal Revolusi Iran telah memindahkan peluru berpandu dan dron ke Iraq menggunakan Pelabuhan Shalamjah di selatan Iraq untuk digunakan dalam serangan terhadap aset Amerika di Iraq.
Dalam pada itu, pemerintah tentera Iran juga mengeluarkan gambar-gambar lawatan pemimpin tertinggi Kor Revolusi Pengawal Iran melawat pengkalan tentera di pulau-pulau Tunb Besar dan Tunb Kecil yang terletak di tengah-tengah Teluk Parsi.
Lawatan ke pulau-pulau yang turut dituntut oleh UAE menurut pemerhati selalu berlaku ketika ketegangan memuncak di rantau.
So, kita tengoklah dengan penuh minat apa yang akan berlaku pada minggu akan datang ini.
Comments are closed.