Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

18 Dis 1989, Tragedi NURI Di Sungai Lundu…Al-Fatihah

0 5,491

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Semalam Panglima Tentera Udara Malaysia (TUDM) Jen Tan Sri Ackbal Abdul Samad telah mengumumkan penamatan khidmat helikopter NURI.

Dan semalam jugalah merupakan ulangtahun ke-31 insiden kemalangan membabitkan helikopter NURI yang tidak mungkin luput dalam memori Angkatan Tentera Malaysia.

nuri

Page Facebook Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengimbau kembali kejadian malang yang berlaku pada 18 Disember 1989 apabila sebuah helikopter NURI milik TUDM telah terhempas akibat cuaca buruk.

Admin memetik semula apa yang ditulis oleh page FB ATM supaya kita semua tidak melupakan pengorbanan pahlawan-pahlawan kita dalam mempertahankan negara. Insiden berlaku di muara Sungai Lundu, berhampiran Kampung Kuala Bandang, kira-kira 60 kilometer ke barat laut Kuching.

Nuri

Di dalam kejadian ini, kesemua krew dan penumpang termasuk juruterbang yang terdiri daripada 12 pegawai dan 4 anggota lain-lain pangkat telah terkorban termasuk Mej Jen Dato’ Mustaffa bin Awang yang merupakan Panglima 1 Divisyen dan Brig Jen Dato’ Hasbullah bin Hj. Yusof yang pada ketika itu adalah Panglima 3 Briged.

Turut terkorban dalam insiden itu adalah Lt Kol Hj. Mohd. Johari bin Selan yang merupakan Pegawai Memerintah 5 RRD, Lt Kol Tunku Abdul Aziz bin Tunku Osman iaitu Pegawai Memerintah 13 RAMD, Lt Kol Mustaffa Kamal bin Mohd Yusof, Pegawai Staf 1 Operasi, 1 Divisyen dan Mej Kamaruddin bin Abdul Rashid.

Nuri
Grafik/Gambar kredit Page Facebook Angkatan Tentera Malaysia.

Mangsa-mangsa lain adalah:

  • Kapt Mohd Fauzi bin Awas TUDM, Juruterbang
  • Kapt Zaimi bin Mohd Isroh, Pembantu Juruterbang
  • Kapt Tajul Ariffin bin Mohd Jahi
  • Lt Raja Roslan bin Raja Mahmood
  • Lt Muzaini bin Mustaffa
  • Lt Zulkifli bin Abu Samah
  • Sjn Udara Koey Hong Chien
  • Sjn Ramli bin Kachong
  • Sjn Mohd Yaziz bin Idris
  • Kpl Remli bin Baharom

Allahyarham Mejar Jeneral Datuk Mustaffa Awang dan mereka yang terlibat sedang dalam penerbangan ke Kem Sematan untuk menghadiri dan menyempurnakan Majlis Penutupan Kursus Risik Tempur yang diadakan di kem berkenaan.

Penerbangan tersebut pada mulanya telah ditangguhkan kira-kira satu jam atas faktor cuaca yang tidak mengizinkan sebelum dibenarkan berlepas.

Nuri

Ketika helikopter berkenaan berada di daerah Kg Kuala Bandung, 60 km dari Kuching, cuaca berubah dengan hujan lebat di samping angin kencang yang membuatkannya terhempas.

Berdasarkan rekod kenyataan rasmi Kementerian Pertahanan, helikopter berkenaan terputus hubungan dengan menara kawalan selepas 15 minit berlepas.

TUDM ketika itu telah melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di mana dua pesawat Alouette diaturgerakkan dalam operasi SAR berkenaan.

Nuri

“Al-fatihah untuk mereka yang terkorban……semoga mereka ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman” – Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj. Affendi bin Buang TUDM, Panglima Angkatan Tentera.

— kredit berita Page Facebook Angkatan Tentera Malaysia

Comments
Loading...