Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

KPN Mahu Empat Penyeludup Warga Thailand Diekstradisi Ke Malaysia

0 470

(DEFENCE SECURITY ASIA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuat permohonan rasmi kepada Polis Diraja Thailand (RTP) supaya mengekstradisi empat orang penyeludup ketum warga Thailand yang ditahan oleh negara jiran itu ke Malaysia.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, keempat-empat penyeludup ketum warga Thai itu yang terlibat dalam insiden tembak-menembak di sempadan Malaysia-Thailand semalam sehingga menyebabkan kematian Koperal Baharuddin Ramli akan diadili di Malaysia.

“Kita sedang berunding dan akan mengutuskan permohonan secara rasmi kepada pihak Royal Thai Police supaya keempat yang ditahan di Thailand itu dapat diserahkan kepada kita untuk diadili,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri upacara persemadian mendiang Koperal Baharuddin Ramli yang terbunuh dalam insiden tembak-menembak dengan kumpulan penyeludup ketum dan ubat batuk seramai 13 orang di kawasan belukar sempadan Malaysia-Thailand kira-kira 3 pagi semalam.

sempadan
Dua penyeludup (duduk) selepas ditangkap oleh anggota VAT69 dan PGA selepas insiden berbalas tembak di kawasan sempadan semalam. (foto internet)

Mendiang meninggalkan seorang isteri dan tiga anak.

Ketua Polis Negara itu turut mengumumkan penahanan dua lagi warga Thailand kira-kira 7 pagi tadi di kawasan sempadan Malaysia-Thailand, yang membawa bilangan yang ditangkap oleh polis Malaysia dan Thailand setakat ini kepada lapan orang.

thailand
Salah seorang penyeludup yang ditangkap oleh anggota komando VAT 69 dan PGA dalam operasi “sweeping” di kawasan sempadan. (foto media sosial)

Upacara persemadian mendiang  Koperal Baharuddin Ramli berumur 54 tahun itu diadakan dengan penuh adat-istiadat kepolisan di Tanah Perkuburan Orang Asli Kampung Sungai Sampo di Jempol, Negeri Sembilan di sini.

Rakan setugas mendiang iaitu, Koperal Norihan Tari mengalami kecederaan parah dalam kejadian tembak-menembak itu dan kini sedang menerima rawatan di hospital.

Kpl Baharuddin
Mendiang Koperal Baharuddin Ramli. (foto kredit FB Friends of PDRM)

Sejurus selepas kejadian tembak-menembak di sempadan Thailand itu awal pagi semalam, pihak polis negara jiran telah menangkap tiga penyeludup ketum ketika mereka sedang mendapatkan rawatan di Hospital Hatyai.

Ketiga-tiga mereka mengalami kecederaan akibat ditembak oleh anggota PGA itu.

Rakan mereka yang membantu membawa ketiga-tiga penyeludup ke hospital turut ditahan oleh polis Thailand untuk membantu siasatan.

Sempadan
Salah seorang penyeludup (tangan berbalut) yang ditahan oleh pihak berkuasa Thailand. (foto media Thailand)

Sementara itu anggota VAT69 dan PGA telah menahan dua penyeludup ketum yang tidak sempat melarikan diri dalam operasi “sweeping” berhampiran lokasi kejadian sejurus selepas berlakunya insiden tembak-menembak itu semalam.

Sementara itu, 18 lelaki termasuk warga Thailand yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden berbalas tembakan antara anggota PGA dengan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand semalam direman bermula hari ini.

mahkamah
Beberapa individu daripada 18 kesemuanya yang ditahan reman oleh mahkamah di Perlis hari ini berhubung kes tembakan di sempadan Malaysia-Thailand semalam.

Tiga warga Thailand direman selama tujuh hari sehingga 1 Disember manakala 15 warga tempatan pula direman selama empat hari sehingga 28 November.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Majistret Kangar, Monica Joseph Gaisah.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...