Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Perang Proksi Saudi–Iran, Risiko Gangguan Berpanjangan Bekalan Minyak, Tenaga Dunia

0 523

Oleh Jim Kari

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Dua hari lepas, pemberontak Houthi dari Yaman (yang merupakan proksi Iran) melancarkan satu lagi serangan ke atas aset penting minyak dan gas Arab Saudi.

Kali ini, mereka melancarkan peluru berpandu untuk membedil loji terminal agihan pukal simpanan produk minyak (petroleum products distribution plant terminal) milik syarikat minyak kebangsaan Arab Saudi iaitu Saudi Aramco (Aramco) di Jeddah.

Mujur peluru berpandu itu hanya berjaya membedil bahagian tepi bumbung salah satu tangka simpanan minyak diesel di loji tersebut yang menyebabkan lubang sebesar dua meter dan kebakaran tahap sederhana yang berjaya dipadamkan oleh pasukan bomba Aramco dalam masa 40 minit.

Laporan mengatakan serangan pemberontak Houthi terhadap loji tanki Aramco itu menggunakan peluru berpandu kruis/UAV Quds-1, yang menurut pakar-pakar pertahanan antarabangsa diperbuat oleh pengganas Houthi berdasarkan kepada rekabentuk peluru berpandu kruis “Soumar” buatan industri pertahanan Iran atau KH-55 buatan Russia dengan beberapa pengubahsuaian.

Quds-1
Peluru berpandu kruis/UAV “Quds-1” buatan pemberontak Houthi. (foto internet)

Pihak Kementerian Tenaga Arab Saudi dan Aramco mengesahkan bahawa serangan tersebut tiada impak ke atas bekalan minyak dan tenaga kepada pelanggan-pelanggan Aramco di seluruh dunia.

Malah tiada kecederaaan di kalangan kakitangan di loji tersebut dan tiada kemusnahan yang mampu melumpuhkan operasi Aramco.

Loji di Jeddah itu ada 13 tangki simpanan, berbanding dengan serangan berskala besar oleh pengganas Houthi yang melumpuhkan operasi Aramco di loji minyak dan gas Abqaiq dan Khurais pada September 2019, serangan kali ini ibarat luka kecil di lutut akibat jatuh basikal.

Namun cemas juga kerana terminal tersebut mengagihkan 120,000 tong produk minyak sehari.

Serangan pada September 2019 telah menyebabkan separuh daripada output minyak Arab Saudi terjejas (5.7 juta tong sehari) daripada 11.4 juta tong sehari output minyak Arab Saudi kendalian Aramco  yang merupakan 5% dari bekalan minyak dunia.

Aramco
Tangki minyak milik syarikat Saudi Aramco. (foto internet)

Ia merupakan titik hitam dalam sejarah Aramco ketika itu yang sedang dalam persiapan untuk saham terbitan awam (IPO) bagi menyenaraikan 2% daripada sahamnya di Bursa Saham Saudi (Tadawul).

Sejak serangan tersebut, pemberontak Houthi (yang acapkali dituduh oleh Arab Saudi dan sekutu Teluk sebagai proksi Iran), telah melancarkan beberapa lagi serangan ke atas aset Aramco dan juga ke sasaran awam di bandar-bandar utama seperti Riyadh, Jeddah dan Jazan.

Namun ia berjaya dipatahkan oleh angkatan tentera Saudi menggunakan sistem anti-peluru berpandu yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat.

Untuk pembaca-pembaca yang mungkin tak berapa arif tentang perkara ni, Arab Saudi dan sekutu Teluknya (Bahrain, Emiriyah Arab Bersatu, Kuwait, Oman dan juga Mesir) telah melancarkan perang ke atas Yaman pada tahun 2015 sebab pemberontak Houthi di Yaman telah menjatuhan Presiden Abdrabbuh Mansur Hadi itu yang pro-Saudi.

Houthi
Pemberontak Houthi di Yemen yang disokong oleh Iran. (foto internet)

Pengganas Houthi ini adalah golongan Syiah yang berpaksikan Iran manakala Arab Saudi dan sekutunya adalah Sunni, sama macam Malaysia.

Perang ini yang diberikan kod Operation Decisive Storm dianggap ramai penganalisis geo-politik sebagai Perang Proksi antara Saudi dan Iran kerana pengganas Houthi disokong oleh Iran – musuh ketat Arab Saudi di seberang Teluk Parsi.

Ia merupakan manifestasi Putera Mahkota Saudi Mohammad Bin Salman (MBS) untuk menunjukkan “who’s the boss” di rantau Teluk yang sering bergolak dari dulu lagi.

Bagi kita di Malaysia dan seluruh dunia, mungkin kita tidak berapa sedar bahana atau repercussion sekiranya perang ini berlarutan.

Salman
Putera Mahkota Arab Saudi Mohamad bin Salman. (foto internet)

Kita akan terkena tempiasnya sekira bekalan minyak dan gas dari Saudi terputus.

Ini semua tidak mustahil sekiranya pengganas Houthi terus menerus melancarkan serangan ke atas aset-aset strategik minyak dan gas Saudi.

Yang pasti, antara negara yang mengikuti perkembangan di Yaman dengan serius ialah Amerika Syarikat.

Secara tradisi, Saudi adalah pengeluar minyak mentah terbesar di dunia manakala Amerika adalah pengguna minyak mentah terbesar di dunia.

F-15
Pesawat F-15 Tentera Udara Diraja Saudi. (foto internet)

Walaupun situasi ini sudah berubah sejak Amerika mengenalpasti rizab minyak dan gas baru di Permian Basin di Texas dan New Mexico yang melonjakkan kedudukan AS sebagai pengeluar minyak nombor satu dunia, mereka tetap perlukan minyak dari Arab Saudi sebab rizab milik Saudi adalah minyak mentah conventional yang melimpah ruah dan senang di carigali dan dikeluarkan.

Rizab baru Amerika dari Permian Basin adalah shale oil dan shale gas yang lebih sukar dicarigali dan dikeluarkan, membabitkan kos pengeluaran berlipat ganda berbanding kos pengeluaran di Saudi.

Maka sebab itulah Amerika masih mengekalkan pangkalan-pangkalan strategik ketenteraan di sekitar rantau Teluk seperti Pangkalan Laut Armada Kelima (5th Fleet) Tentera Laut Amerika di Bahrain (yang sangat hampir dengan Dhahran, Arab Saudi iaitu ibu pejabat Aramco); Pangkalan Udara Al Udeid di Qatar; dan Pangkalan Udara Al-Dhafra di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu.

Kesemua pangkalan-pangkalan ini mampu “scramble” jet-jet pejuang Tentera Udara dan Tentera Laut Amerika untuk melindungi kepentingan Arab Saudi dalam masa kurang 20 minit sekiranya perlu.

US 5th Fleet
Kapal-kapal perang Amerika Syarikat daripada 5th Fleet berpengkalan di Bahrain. (foto internet)
Manama
Pengkalan 5th Fleet Amerika Syarikat terletak di Bahrain.

Apapun, perang ini sebenarnya tidak menguntungkan sesiapa.

Ramai juga yang berpendapat, Saudi yang cari penyakit dengan “menjolok sarang tebuan.”

Yang untung Amerika juga, di mana ada konflik, di situ ada peluang untuk Uncle Sam jual senjata…

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

 

 

 

 

 

 

Comments
Loading...