Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Sempadan Bocor, “Pengkhianatan” Terhadap Keselamatan Negara

491

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Insiden-insiden sebegini sudah menjadi seperti rutin di negara kita – sekumpulan anggota penguatkuasa yang ditugaskan mengawal perkara yang sensitif berkaitan keselamatan negara ditahan atas dakwaan terlibat dengan rasuah.

Ia adalah perkara yang amat membimbangkan kerana ia membabitkan “pengkhianatan” terhadap keselamatan negara.

Terbaru melibatkan sekumpulan anggota Jabatan Imigresen yang diamanahkan untuk menjaga pintu sempadan negara, untuk mengekang kemasukan warga asing yang “bermasalah” daripada memasuki negara ini.

Dengan sikap yang “rambang mata” dengan duit dan kemewahan, memang tidak mengejutkanlah jika sempadan-sempadan kita sememangnya telah “bocor” dan elemen-elemen daripada “penjenayah sehinggalah kepada pengganas antarabangsa” memang mudah untuk keluar-masuk ke negara kita ini.

Imigresen
Antara anggota Imigresen yang ditahan oleh SPRM . (foto internet)

Kita berbelanja berbillion ringgit untuk membeli peralataan pertahanan bagi menjaga keselamatan dan sempadan negara pun tidak membawa sebarang erti jika mereka yang dipertanggungjawab untuk menjaganya dengan mudah ditundukkan oleh pujuk rayu dan wang ringgit.

Setakat hari ini, seramai 50 orang telah ditahan iaitu 28 pegawai Imigresen, 17 ejen pekerja asing dan lima orang awam.

Admin yakin lebih ramai yang akan ditahan tidak lama, membuktikan betapa seriusnya pengkhianatan terhadap sempadan-sempadan negara dan seterusnya keselamatan negara serta rakyat negara ini.

Imigresen
Berapa nilai Rolls Royce Phantom ini?

Seperti biasa, anggota penguatkuasa ini ditabur dengan duit dan kemewahan untuk melakukan “pengkhianatan” terhadap negara.

Bayangkan, media-media tempatan melaporkan seorang anggota Jabatan Imigresen berpangkat KP19 boleh menggunakan empat buat kereta mewah iaitu Roll Royce Phantom, Mustang, Range Rover dan Audi.

Dengan pendapatan yang diperolehinya sebagai anggota perkhidmatan awam, sudah pasti ia adalah diluar kemampuan beliau.

Imigresen
Foto oleh Bernama

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menemui kereta-kereta mewah itu juga terkejut. (semua orang juga terkejut)

Menurut sumber yang dipetik oleh media tempatan, siasatan mendapati kereta mewah itu didaftarkan atas nama dua warga China dipercayai ejen pekerja asing China yang beroperasi di Malaysia dan dua ejen lelaki tempatan.

SPRM telah mengenal pasti identiti keempat-empat warga China dan rakyat tempatan terbabit dan sedang mengesan kesemuanya.

Menurut sumber juga, salah seorang ejen tempatan membantu menyimpan kenderaan-kenderaan mewah yang digunakan oleh anggota imigresen sebagai balasan upah untuk membuat setting kaunter di KLIA2.

Imigreen
Foto oleh Bernama.

Pengaturan (setting) kaunter khas itu bertujuan membantu meloloskan pekerja asing atau pelawat asing masuk dengan mudah ke Malaysia.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Norazlan Mohd Razali ketika dihubungi oleh media tempatan tidak menolak lebih ramai lagi akan ditangkap.

Siasatan katanya akan dijalankan di bawah Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.

Imigresen
Antara kereta mewah yang dirampas. (foto internet)

Op Selat tertumpu kepada siasatan siasatan berhubung kes sindiket rasuah urusan cop palsu di pintu masuk antarabangsa negara dan operasi semalam menyaksikan empat termasuk seorang pegawai imigresen ditahan bagi membantu siasatan.

Selain itu wang tunai lebih RM800,000, 26 kereta mewah dan empat buah motosikal berkuasa tinggi telah dirampas yang mana nilainya tidak termasuk rumah, tanah, barangan kemas dan sebagainya, menurut media tempatan.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments are closed.