Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kereta Perisai Menyamar Jadi Kren, Taiwan Siap-Sedia Hadapi Perang

0 579

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Ketika ketegangan di antara China dan Taiwan memuncak dengan senario peperangan di antara kedua-dua negara semakin nyata, tentera Taiwan telah melakukan latihan peperangan di dalam bandar.

Peperangan di dalam bandar (urban combat) adalah sesuatu yang biasa bagi mana-mana angkatan tentera terutamanya Taiwan yang sebahagian besar penempatan penduduknya adalah di dalam kawasan bandar.

Baru-baru ini, tentera Taiwan telah mengadakan “Minggu Persediaan Perang” (Combat Readiness Week) di mana tentera mengadakan latihan persediaan sekiranya mereka terpaksa berperang dengan tentera China di kawasan-kawasan bandar.

Taiwan
Kren atau kereta perisai? (sumber Twitter)

Dalam gambar-gambar yang dikeluarkan oleh Republic of China (RoC) Military News, ia menunjukkan kenderaan-kenderaan tentera negara pulau itu “menyamar” menggunakan pelbagai bahan semula jadi untuk mengelak mereka daripada dikesan.

Terdapat juga kenderaan berperisai seperti M113 yang diseliputi dengan rumput dan semak-samun di bawah jambatan.

Kereta kebal dipercayai daripada jenis M60 A3  juga diletakkan di dalam himpunan bahan-bahan pembinaan yang sudah tidak digunakan bagi tujuan penyamaran, hanya meriamnya sahaja yang jelas kelihatan.

Taiwan
Kereta perisai dengan semak-samun di bawah jambatan. (sumber Twitter)

Sementara itu kenderaan berperisai Leopard 8×8 beroda milik tentera Taiwan pula “menyamar” seperti sebuah kren, siap dengan kepingan papan atau bahan gentian berwarna warna kuning untuk menyembunyikan rupa bentuk sebenarnya.

Jika daripada pandangan kasar, ia memang kelihatan seperti sebuah kren.

Daripada satu sudut, ia seperti babak daripada filem “Transformers”.

Taiwan
Kereta kebal “menyamar” sebagai bahan buangan industri. (sumber Twitter)

Menurut kenyataan oleh Kementerian Pertahanan Taiwan yang dipetik oleh majalah pertahanan antarabangsa, Janes, unit-unit briged armor yang tidak dinyatakan telah ditugaskan untuk menggunakan bahan-bahan sedia ada dan semula jadi sebagai tujuan untuk menyembunyikan aset-aset pertahanan itu daripada pandangan musuh.

Selain briged armor, lain-lain unit tentera Taiwan yang terlibat dalam latihan itu termasuk Unit Udara yang mengoperasikan helicopter penyerang AH-64D Apache dan Blackhawk, unit peperangan kimia dan biologi.

Taiwan
Menggunaan kepingan papan atau gentian dicat kuning, kereta perisai menjadi kren. (sumber Twitter)

Kementerian Pertahanan Taiwan mengesahkan salah satu objektif latihan itu adalah untuk meningkatkan kemampuannya di dalam penyamaran, concealment, camouflage dan deception selaras dengan matlamat “berperang di mana anda berada.”

Minggu Persediaan Peperangan Tentera Taiwan itu berlangsung selama 5 hari mulai 26 Oktober lepas.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...