Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Bekas Ketua Pengarah Perisikan, Dua Pegawai Kanan ATM Dituduh Rasuah

0 938

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Admin sebenarnya malas nak tulis berita macam ni kerana ia hanya memburukkan imej Angkatan Tentera Malaysia yang kita semua sayangi, tetapi admin tulis jugaklah dengan harapan ia dapat memberi pengajaran kepada yang lain dan supaya perkara seperti ini tidak berulang pada masa depan.

Lagipun ini hanya tuduhan dan mereka belum didapati bersalah sehingga mahkamah mensabitkan kesalahan mereka.

“Innocent until proven Guilty.”

Hari ini, bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Lt Jen Datuk Sheikh Moksin Sheikh Hassan serta dua lagi pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur.

Menurut laporan oleh Bernama, ketiga-tiga mereka dituduh atas 17 pertuduhan kerana menerima dan meminta suapan daripada sebuah syarikat kontraktor berhubung beberapa projek di Kementerian Pertahanan (Kementah).

Sheikh Moksin, 59; Lt Kol Che Ahmad Idris, 54 dan Brig Jen Mohammed Feizol Anuar Ayob, 50, masing-masing mengaku tidak bersalah.

Rasuah
Sheikh Mokhsin ketika bersama bekas Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong. (sumber internet)

Kesemua pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

Ketika kejadian, Che Ahmad yang merupakan Ketua Cawangan Peperangan Siber Strategik, Bahagian Staf Perisikan Pertahanan, Kementah didakwa atas satu pertuduhan meminta suapan RM500,000, satu pertuduhan setuju terima suapan RM500,000 dan tiga pertuduhan menerima suapan RM105,000 daripada Pengarah Urusan Syarikat FEHM Entity Sdn Bhd (FEHM Entity) Elias Jemadi Tajudin.

Ia adalah sebagai dorongan bagi melantik syarikat tersebut secara rundingan terus bagi perkhidmatan senggaraan untuk bahagiannya di Kementah.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Kompleks Perumahan Tun Osman Jewa, Kementah, di Kuala Lumpur antara September 2019 dan 7 April 2020.

Rasuah
Gambar sumber internet.

Mohammed Feizol Anuar yang merupakan penasihat ketenteraan Menteri Pertahanan semasa kejadian, didakwa atas lima pertuduhan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan tersebut di parkir Masjid Khalid Al-Walid, Kementah; parkir Dorsett Residences Sri Hartamas; di hadapan syarikat FEHM Entity, Wangsa Maju dan Persiaran Bukit Melawati, Bukit Melawati di sini, antara 30 Okt 2019 dan 24 Jun 2020.

Sheikh Mokhsin pula didakwa atas satu pertuduhan meminta suapan RM1 juta, satu pertuduhan setuju terima suapan RM1 juta dan empat pertuduhan menerima suapan berjumlah RM266,000 daripada Elias Jemadi.

Ia adalah sebagai dorongan untuk meluluskan cadangan pelantikan syarikat tersebut secara rundingan terus bagi perkhidmatan senggaraan di bahagiannya di Kementah.

Rasuah

Pesara tentera itu dituduh melakukan perbuatan tersebut di Havana Club, Hotel Concorde; Pejabat Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Kementah dan HairDoc Medical Publica, Solaris Dutamas, di Kuala Lumpur antara 20 Jun 2019 dan 5 Jun 2020.

Sheikh Mokhsin juga didakwa atas satu lagi pertuduhan menerima suapan wang tunai RM50,000 kerana melantik Syarikat Malvus Sense Sdn Bhd bagi melaksanakan perolehan, perbekalan, penghantaran, latihan dan pentauliahan bagi dua sistem khas kepada bahagiannya di pejabatnya, pada 2.30 petang, 26 Jun 2020.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...