Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

20 Daripada 31 Buah Kereta Kebal M1A1 Abrams Dibekal Amerika Pada Ukraine Telah Musnah

Kemusnahan terbaru kereta kebal M1A1 Abrams yang dioperasikan oleh tentera Ukraine itu dilaporkan berlaku di wilayah Kursk, Russia ketika tentera Ukraine menceroboh wilayah Russia itu yang terletak berhampiran sempadan kedua-dua negara itu.

0 9,079

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Laporan terkini daripada konfik di antara Russia-Ukraine mendakwa sebanyak 20 buah daripada 31 buah kereta kebal M1A1 Abrams buatan Amerika Syarikat yang dibekalkan kepada Ukraine, telah pun musnah.

Kemusnahan terbaru kereta kebal M1A1 Abrams yang dioperasikan oleh tentera Ukraine itu dilaporkan berlaku di wilayah Kursk, Russia ketika tentera Ukraine menceroboh wilayah Russia itu yang terletak berhampiran sempadan kedua-dua negara itu.

Pihak Russia mendakwa terdapat video menunjukkan kemusnahan kereta kebal kebangsaan Amerika Syarikat itu, yang disebabkan oleh bedilan sistem peluru berpandu anti-kereta kebal “Kornet” di wilayah Kursk.

Penganalisis ketenteraan Russia mendakwa 20 buah kereta kebal M1A1 Russia yang musnah itu berlaku di dalam tempoh enam bulan pada tahun ini, tidak lama selepas kereta kebal Amerika Syarikat itu mula dikerahkan ke medan peperangan.

Buat masa ini, sebagaimana dinyatakan oleh penganalisis tentera Russia, majoriti daripada 20 buah kereta kebal M1A1SA Abrams buatan Amerika Syarikat yang telah musnah di Ukraine adalah disebabkan oleh bedilan-bedilan dron FPV (First Person Viev) pihak Russia dan juga dron berani mati “Lancet.”

Abrams

Kemusnahan dialami kereta-kereta kebal buatan Barat di medan peperangan di Ukraine telah membuatkan penganalisis ketenteraan Barat mempersoalkan sama ada kereta kebal masih mempunyai peranan dalam era peperangan masa kini dan masa depan.

Begitu kuat penangan kemusnahan kereta-kereta kebal Barat di Ukraine sehingga mereka mempersoalkan masa depan sistem persenjataan mereka sendiri, sama ada masih ada keperluan angkatan tentera memiliki kereta kebal.

Disebabkan “tidak tahan” dibedil oleh dron-dron Russia, maka Ukraine beberapa bulan lalu telah mengeluarkan arahan diatas permintaan Washington untuk mengeluarkan kereta-kereta kebal M1A1 SA Abrams itu daripada medan-medan pertempuran.

Dua orang pegawai tentera Amerika Syarikat memberitahu agensi berita The Associated Press bahawa kereta-kereta kebal M1A1 Abrams diderma oleh Amerika Syarikat itu tidak boleh beroperasi di medan peperangan tanpa dikesan dan dibedil dengan kejam oleh dron-dron tentera Russia.

Dron-dron pemantau dan berani mati Russia telah membuatkan usaha Ukraine untuk melindungi kereta kebal Abrams itu menjadi amat sukar kerana ia menjadikan usaha Russia untuk mengesan dan memburu kereta-kereta kebal Amerika Syarikar itu amat mudah.

Lancet
Dron berani mati “Lancet”

 

Disebabkan ancaman berleluasa dron-dron pemantau dan berani mati Russia bermakna “tiada ada kawasan terbuka dan luas di mana kereta kebal Abrams itu boleh bergerak tanpa dikesan,”kata pegawai tentera.

Kereta-kereta kebal Abrams itu “dikeluarkan” daripada medan pertempuran manakala Amerika Syarikat akan bekerjasama dengan Ukraine untuk mengubahsuai taktik, kata Timbalan Ketua Staf Tentera Amerika Syarikat Laksamana Christopher Grady yang muncul sebagai pegawai tentera negara itu yang ketiga mengesahkan “nasib” tentang kereta kebal Abrams di Ukraine itu.

Konflik Ukraine-Russia diperakui sebagai konflik yang paling banyak melihat penggunaan dron atau aset tanpa pemandu — sama ada dron-dron FPV, dron berani mati, dron ISR, Unmanned Surface Vessel (USV) dan pelbagai lagi.

Amerika Syarikat membekalkan 31 buah kereta kebal Abrams berharga US$10 juta (RM45 juta) setiap sebuah kepada Ukraine pada tahun lepas bagi membantu tenteranya menangani serangan armor oleh pihak Russia.

Pada awal Mac lepas, kereta kebal M1A1 Abrams pertama dioperasikan oleh Ukraine telah disahkan musnah dipercayai akibat bedilan dron berani mati “Lancet” tentera Russia di kawasan pertempuran di Avdiivka.

Maklumat-maklumat menyatakan bahawa kereta kebal M1A1 Abrams pertama dimusnahkan oleh Russia itu pada mulanya telah dibedil oleh dron berani mati “Lancet” tentera Russia dan sebelum dibedil buat kali kedua oleh Rocket Propelled Grenade (RPG).

Abrams
Tentera Russia bergambar dengan kereta kebal Abrams yang telah musnah.

 

Seawal September tahun lepas pegawai tentera Ukraine telah memberikan amaran bahawa kereta kebal buatan Amerika Syarikat seberat 70 tan itu mungkin tidak akan “bertahan lama” di medan peperangan.

Apatah, kereta kebal Abrams yang dibekalkan kepada Ukraine adalah varian M1A1 yang dianggap telah “berusia” serta tidak dilengkapi dengan armor “depleted uranium” serta kemampuan terhad berbanding varian terkininya, M1A2.

Menurut laporan oleh stesen televisyen terkenal yang berpangkalan di Amerika Syarikat, CNN pada 29 Mei 2024, krew-krew Ukraine yang mengendalikan kereta kebal M1A1 Abrams itu menyifatkannya sebagai kereta kebal yang dibelenggu dengan pelbagai isu dan masalah. 

Antara yang menjadi bahan kritikan krew-krew Ukraine yang mengendalikan kereta kebal M1A1 Abrams itu adalah masalah teknikal (technical glitches) seperti kegagalan sistem elektronik kereta kebal itu berfungsi akibat pemeluwapan (condensation atau kondensasi).

Satu lagi masalah kritikal yang disuarakan oleh krew-krew kereta kebal Abrams Ukraine adalah tentang armornya yang disifatkan oleh mereka “tidak mencukupi” untuk beraksi di medan-medan peperangan moden.

Abrams

“Armornya tidak mencukupi pada ketika ini. Ia tidak melindungi krew kereta kebal. Ketika ini adalah zaman peperangan dron. Apabila kereta kebal bergerak, musuh akan cuba membedilnya dengan dron-dron,” kata seorang krew kereta kebal Abrams tentera Ukraine dengan callsign “Joker” kepada stesen televisyen Amerika Syarikat, CNN.

Rakannya, dengan callsign “Dnipro” pula berkata, mereka adalah sasaran utama tentera Russia dan “tanpa perlindungan (armor yang mencukupi), krew tidak akan selamat di medan peperangan.

Bagi penganalisis tentera Russia pula, mereka menyifatkan kereta kebal Abrams yang dibekalkan kepada Ukraine oleh Amerika Syarikat tidak lebih hanya “tin kosong”. — DSA

Comments
Loading...