Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

10 Ribu Anggota Tentera Israel Terbunuh dan Cedera Sejak Konflik di Gaza Tercetus

“Tentera Darat Israel mengalami kekurangan 10,000 anggota tentera yang terbunuh atau tercedera akibat kempen ketenteraan berpanjangan di Semenanjung Gaza,” menurut akhbar terkenal Israel, Yediot Ahronoth itu dan dipetik oleh agensi-agensi media antarabangsa.

0 1,049

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Media Israel mendakwa sekurang-kurangnya 10,000 anggota tenteranya terbunuh dan tercedera sejak konflik di Semenanjung Gaza tercetus pada Oktober tahun lepas.

Akhbar Israel, Yediot Ahronoth dalam laporannya berkata, 1,000 anggota tentera negara Yahudi itu dipindahkan ke Jabatan Rehabilititasi Kementerian Pertahanan setiap bulan akibat kecederaan dialami mereka semasa bertempur di Semenanjung Gaza.

“Tentera Darat Israel mengalami kekurangan 10,000 anggota tentera yang terbunuh atau tercedera akibat kempen ketenteraan berpanjangan di Semenanjung Gaza,” menurut akhbar terkenal Israel itu dan dipetik oleh agensi-agensi media antarabangsa.

Akhbar itu yang menemuramah seorang ibu anggota tentera Israel menyatakan bahawa apa yang berlaku kepada tentera Israel pada ketika ini, tidak pernah berlaku di dalam sejarah negara itu sebelum ini.

Bilangan anggota tentera Israel yang mengalami kecederaan akibat konflik di Semenanjung Gaza mencecah 20,000 orang, sekiranya ia turut meliputi anggota tentera Yahudi itu yang mengalami gangguan mental atau “post-traumatic stress disorder” (PTSD).

Israel

Perkara itu didedahkan oleh ketua Organisasi Anggota Veteran Israel Edan Kleiman awal tahun ini.

Beliau yang turut mengalami kecederaan ketika bertugas di Gaza pada 1990-an memberitahu Associated Press bahawa beliau tidak pernah melihat intensiti peperangan di Gaza sebagaimana yang dialami oleh tentera Israel pada ketika ini.

“Kita perlu memulihkan anggota tentera ini. Pihak berkuasa Israel tidak sedar tentang keseriusan masalah yang dihadapi pada ketika ini,” kata beliau sambil menambah bahawa menjangkakan akan lebih ramai anggota tentera Israel cedera selepas ini akibat konflik di Gaza pada ketika ini.

Sementera itu bulan lepas,  akhbar berbahasa Hebrew Israel “Maariv” melaporkan bahawa kira-kira 500 buah kenderaan perisai milik tentera Israel mengalami kerosakan akibat dibedil oleh pejuang Palestin sejak konflik di Semenanjung Gaza tercetus pada Oktober pada tahun lepas.

Akhbar Israel itu berkata bahawa beberapa dozen daripada kenderaan perisai itu yang rosak tidak boleh diperbaiki lagi dan dilupuskan daripada perkhidmatan angkatan tentera negara itu.

Akhbar Maariv Israel itu juga melaporkan bahawa anggota tenteranya yang bertanggungjawab memindahkan kenderaan-kenderaan itu ke Semenanjung Gaza berada di dalam keadaan yang tertekan daripada segi fizikal dan mental.

Israel

“Sekiranya anggota tentera Israel itu dipanggil untuk berperang di selatan  Lubnan, mereka akan berada di sana (selatan  Lubnan) tetapi mereka tidak akan berada di dalam keadaan yang baik,” kata akhbar itu

 Sementara itu, sekumpulan 30 orang pemimpin tentera Israel dipanggil “General Staff Forum” menyatakan bahawa tentera Israel kini berhadapan dengan pelbagai kekurangan selepas bertempur dengan pejuang Hamas selama kira-kira sembilan bulan sejak bulan Oktober tahun lepas.

Tentera Israel kini berhadapan dengan masalah kekurangan peluru, alat-alat ganti untuk kereta kebal, jentolak dan kereta perisai, berbanding dengan keadaan sebelum ini.

Kebanyakkan kereta-kereta kebal Israel yang bertugas di Semenanjug Gaza tidak membawa jumlah peluru yang mencukupi kerana angkatan tentera negara itu mahu menjimatkan peluru kereta kebal untuk peperangan dengan Hezbollah, menurut dua anggota tentera Israel yang dipetik oleh New York Times itu. — DSA

Comments
Loading...