Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

[VIDEO] Ujian Getir Tim Penilai ATM Menanti Kenderaan “MILDEF HMAV4x4”

0 704

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Semalam syarikat 100 peratus milik Bumiputera, MILDEF International Technologies (MILDEF) telah menampilkan kenderaan High Mobility Armoured Vehicle 4X4 atau “HMAV4x4” yang nampaknya telah menggembirakan banyak pihak. (termasuk admin)

Ini kerana HMAV4x4 itu adalah rekaan tempatan dengan peratusan local component yang tinggi pada tahap 70 peratus.

 

Kemunculan HMAV4x4 semalam kata omputih boleh diibaratkan sebagai “a shot in the arm” bagi industri pertahanan tempatan, selepas kita sudah menunggu terlalu lama untuk kehadiran satu produk daripada industri pertahanan dalam negara.

Ya, perjalanan bagi HMAV4x4 dan MILDEF masih jauh sebelum ia diterima sebagai salah satu aset di dalam Angkatan Tentera Malaysia. Selepas ini, sebagaimana diberitahu oleh pihak pengurusan MILDEF semalam, HMAV4x4 akan melalui tempoh yang getir kerana ia akan menjalani ujian oleh tim penilai ATM.

MILDEF
Kenderaan High Mobility Armoured Vehicle keluaran syarikat MILDEF.

MILDEF berharap HMAV4x4 dapat menggantikan kenderaan perisai Condor yang sudah berusia tetapi masih digunakan oleh ATM. (masih ada 300 unit Condor di dalam pegangan ATM).

Dalam proses ujian oleh tim penilai ATM, HMAV4x4 akan melalui pelbagai bentuk ujian yang dirangka oleh ATM sendiri untuk memastikan kenderaan keluaran MILDEF ini benar-benar berkemampuan dan menepati kriteria yang ditetapkan oleh ATM.

Proses ujian oleh tim penilai ATM ini adalah proses yang rutin sebelum mana-mana produk itu diterimapakai  oleh ATM, sebagaimana yang dilalui oleh sebagai contohnya, kereta kebal Pendekar PT-91M, Lipan Bara, Gempita AV8 dan lain-lain.

Ia adalah proses yang standard dan suatu kemestian yang perlu dilalui oleh syarikat pembekal.

MILDEF
Ketua Pegawai Eksekutif MILDEF, Datuk Mohd Nizam Kasa. (gambar MILDEF)

Pada ketika proses penilaian inilah, kenderaan HMAV4x4 ini akan “dilenjan” secukup-cukupnya oleh tim penilai ATM untuk memastikan ia benar-benar berkemampuan dalam menempuh segala cabaran dan mengharungi segala bentuk muka bumi di negara ini.

Admin pasti, untuk HMAV4x4 diterima dalam keluarga ATM, ia perlu “come out tops” dalam segala bentuk ujian yang digariskan oleh tim penilai ATM.

Ya, benar daripada segi rekabentuk, kita akui HMAV4x4 memang cantik dan setanding dengan rekabentuk kenderaan High Mobility atau MRAP keluaran syarikat-syarikat luar negara, tetapi ia tidak mencukupi.

ATM tidak membeli aset-asetnya dengan hanya bersandarkan kepada rekabentuk atau “rupanya.”

Kita bukan di dalam pertandingan ratu cantik (beauty pageant), di mana kita menilai bagaimana ratu cantik memakai baju tidur, bikini atau catwalk. Itu semua kosmetik.

MILDEF
Bahagian tempat duduk penumpang kenderaan HMAV4x4 (gambar MILDEF)

Apa yang kita mahukan adalah, aset itu bukan sahaja memiliki rekabentuk yang menarik, tetapi apa yang lebih penting adalah kemampuan sebenarnya ketika beraksi di medan yang sepatutnya.

Namun daripada apa yang didedahkan oleh MILDEF semalam, HMAV4x4 memang berkemampuan tinggi dengan enjin Caterpilar turbo diesel 6.6 liter yang memberikan kekuatan 330 kuasa kuda, nisbah kuasa ke berat 23.57 kuasa kuada/tan, kelajuan 110kmsj antaranya.

Ia juga menggunakan Central Tyre Inflation System untuk mengurangkan dan menaikkan tekanan udara tayar, berkemampuan beroperasi dari suhu serendah -21 darjah Celsius hingga 49 darjah Celsius.

HMAV4x4 yang mempunyai berat kasar 14 tan dan berat tanpa muatan 11 tan ini mempunyai kadar perlindungan Stanag 4569 A2 dan Stanag 4569 LA2/L2B.

Ia juga boleh dilengkapi dengan Remote Control Weapon System , semalam kita lihat ia dilengkapi dengan mesingan berat 12.7mm tetapi sebenarnya ia boleh beroperasi dengan sistem peluru berpandu anti kereta kebal dan peluru berpandu pertahanan udara.

HMAV4x4 juga boleh digunakan oleh pasukan polis dan agensi keselamatan yang lain.

MILDEF
Pintu belakang kenderaan HMAV4x4 (gambar kredit MILDEF)

Daripada atas kertas, apa yang ditonjolkan oleh HMAV4x4  yang dihasilkan oleh 100 tenaga kerja tempatan adalah amat menarik. So promising with big potential.

Apa yang perlu dilakukan kini adalah membuktikan ia adalah kenderaan bermobiliti tinggi yang benar-benar hebat di medan ujian oleh tim penilai ATM kelak, di mana admin dan rakyat Malaysia sekalian amat yakin ia mampu melakukannya.

Dalam masa yang sama juga, admin harap kerajaan dan Kementerian Pertahanan membuka mata dengan syarikat-syarikat seperti MILDEF ini. Ini adalah syarikat yang sanggup membelanjakan jutaan ringgit daripada koceknya sendiri untuk menghasilkan HMAV4x4.

Tiada bantuan daripada pihak kerajaan untuk menghasilkan HMAV4x4 ini, so hargailah mereka.

Jika ada apa-apa isu, kedua-dua pihak (MILDEF dan kerajaan) boleh “sit down together” dan selesaikan apa-apa permasalahan kerana bagi kita semua, apa yang penting adalah syarikat dan industri pertahanan tempatan perlu ke depan.

Zaman pergantungan 100 peratus kepada negara luar dalam memenuhi keperluan pertahanan tempatan sepatutnya sudah lama berakhir, tetapi tidak tahulah dimana silap kita.

Jika kita mahu menjadi seperti Turki atau negara-negara lain yang berdikari dalam keperluan pertahanan mereka, maka ini adalah jalannya dan syarikat-syarikat seperti MILDEF, DEFTECH, SCS dan lain-lain lagi adalah “resipinya”.

Jangan biarkan mereka “terkubur” …

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...