Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

[VIDEO] Pertempuran Sengit Tentera Afghanistan, Taliban Di Spin Boldak

Pertempuran sengit itu dilaporkan masih berterusan walaupun terdapat berita mengatakan Taliban berjaya menawan pekan itu daripada tentera Afghanistan, manakala berita lain pula mendakwa tentera negara itu berjaya merampas kembali Spin Boldak daripada kumpulan militant itu.

0 1,777

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Kebangsaan Afghanistan dan anggota Taliban dilaporkan terlibat dalam pertempuran sengit untuk merebut pekan Spin Boldak yang merupakan pintu masuk-keluar yang penting di sempadan Afghanistan dan Pakistan.

Pertempuran sengit itu dilaporkan masih berterusan walaupun terdapat berita mengatakan Taliban berjaya menawan pekan itu daripada tentera Afghanistan, manakala berita lain pula mendakwa tentera negara itu berjaya merampas kembali Spin Boldak daripada kumpulan militant itu.

Penduduk tempatan mengatakan pertempuran sengit di jalanraya-jalanraya terutamanya di kawasan bazar di Spin Boldak sedang berlaku antara tentera Afghanistan dan kumpulan Taliban, dengan bilangan kematian dan kecederaan dikalangan anggota kedua-dua pihak adalah tinggi.

Pintu masuk Spin Boldak-Chaman merupakan pekan laluan amat penting daripada segi ekonomi terutamanya daripada segi perdagangan keluar-masuk barangan keperluan di kawasan selatan Afghanistan.

Pemerhati konflik di Afghanistan mengatakan penguasaan terhadap Spin Boldak amat penting kepada Taliban kerana ia membolehkan kumpulan militan itu menjana sumber kewangannya dengan mengenaikan cukai terhadap ribuan kenderaan yang keluar-masuk ke Afghanistan menggunakan laluan di Spin Boldak.

 

Selain itu terdapat juga dakwaan mengatakan penguasaan terhadap pintu masuk Spin Boldak itu  penting kerana sebahagian besar daripada bekalan senjata Taliban diperolehi daripada Pakistan dengan pekan itu menjadi antara laluan utamanya.

Keadaan menjadi lebih hangat apabila Naib Presiden Afghanistan Amrullah Salleh mengatakan bahawa Pakistan telah memberikan bantuan serangan udara terhadap militan Taliban dalam serangan mereka terhadap tentera kebangsaan Afghanistan tetapi tuduhan itu dinafikan oleh pentadbiran di Islamabad.

Pihak tentera Pakistan menurut Amrullah juga mengancam akan menembak jatuh mana-mana helikopter atau pesawat tentera Afghanistan sekiranya mereka terbang di dalam jarak 10km daripada pekan Spin Boldak itu.

Nampaknya, dakwaan bahawa militant Taliban itu adalah produk “ciptaan” agensi perisikan Pakistan “ISI” masih berkumandang dengan kuat.

Sementara itu, agensi berita antarabangsa, Reuters melaporkan bahawa salah seorang jurugambarnya dikenali sebagai, Danish Siddiqui terbunuh ketika mengikuti operasi bersama-sama unit komando tentera Afghanistan di Spin Boldak.

Jurugambar
Jurugambar Reuters, Danish Sidiqui yang terbunuh ketika bertugas di Afghanistan.

 

Berita mengenai apa yang berlaku di Spin Boldak menyusul laporan mengatakan bahawa Taliban semakin menghampiri kawasan yang dikuasai oleh warlord Jeneral Abdul Rashid Dostum di bahagian utara Afghanistan.

Taliban juga dikatakan telah berjaya menguasai beberapa pos kawalan tentera di pintu masuk Afghanisatan dengan negara jirannya di bahagian utara negara itu.

Terdapat laporan mengatakan bahawa Taliban kini menguasai 85 peratus daripada negara itu, mengambil kesempatan daripada pengunduran tentera Amerika Syarikat daripada negara itu.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...