Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

[VIDEO] Pegawai Komunis China Ancam Lancar Serangan Senjata Nuklear Terhadap Jepun

Seruan supaya China melakukan serangan nuklear terhadap Jepun itu disuarakan oleh pegawai-pegawai Parti Komunis China di utara negara itu menerusi saluran perkongsian video tentera tempatan dikenali dengan nama “ Liu Jun Tao Lue.”

0 3,504

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pegawai-pegawai Parti Komunis China mahukan pihak tentera negara mereka melancarkan serangan nuklear terhadap Jepun jika negara Matahari Terbit itu cuba mempertahankan Taiwan daripada serangan China.

Seruan supaya China melakukan serangan nuklear terhadap Jepun itu disuarakan oleh pegawai-pegawai Parti Komunis China di utara negara itu menerusi saluran perkongsian video tentera tempatan dikenali dengan nama “ Liu Jun Tao Lue.”

Video kontroversi oleh Parti Komunis China di Baoji disiarkan pada hari Ahad lalu dan telah ditonton oleh 2 juta penonton sebelum ia ditarik balik.

Dalam video terbabit, ia meminta Jepun dikecualikan daripada dasar “no first (nuclear) use” oleh China yang bermaksud Beijing tidak akan menjadi negara pertama menggunakan senjata nuklear sekiranya konflik bersenjata berlaku dengan negara lain.

Dalam video itu, pegawai parti komunis itu mahukan tentera China tidak menggunapakai dasar itu terhadap Jepun dan melancarkan serangan senjata nuklear terhadap negara jirannya.

Ia berkata, serangan nuklear akan dilakukan terhadap Jepun walau negara itu meletakkan “seorang anggota tentera, sebuah pesawat dan sebuah kapal perang” untuk mempertahankan Taiwan.

“Kita (China) akan menjadi pihak pertama menggunakan senjata nuklear, kita akan menggunakan senjata nuklear secara berterusan sehingga Jepun menyerah kalah tanpa syarat buat kali kedua, ” kata pegawai komunis China itu yang merujuk kekalahan Jepun dalam Perang Dunia Kedua selepas bom nuklear digugurkan di bandar Hiroshima dan Nagasaki.

Pegawai Parti Komunis China itu juga mahukan tentera negara itu tidak hanya bertindak dengan senjata nuklear sekiranya Jepun mempertahankan Taiwan tetapi juga kerana Tokyo menganggu usaha-usaha penyatuan semula di antara China dengan Taiwan.

Kenyataan keras pegawai-pegawai Parti Komunis China terhadap Tokyo itu adalah susulan kenyataan oleh pegawai kerajaan Jepun bahawa mereka akan mempertahankan Taiwan jika negara pulau itu diserang oleh China.

Menteri Pertahanan Jepun, Nabuo Kishi dan timbalannya, Yasuhide Nakayama menyokong supaya Jepun terlibat membantu Taiwan jika pulau itu diserang oleh China.

Minggu lepas, Timbalan Perdana Menteri Jepun Taro Aso berkata sebarang serangan oleh China terhadap Taiwan akan turut menjejaskan Tokyo dan seterusnya memanggil usaha bersepadu untuk mempertahankan Taiwan itu.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...