Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

[VIDEO] Kapal Selam Berkuasa Nuklear British, “HMS Artful” Kini Di Korea Selatan

Kapal selam itu singgah di Busan untuk memeriksa peralatannya serta “mengisi peluru”, menurut jurucakap Kementerian Pertahanan Korea Selatan.

0 989

(DEFENCE SECURITY ASIA) —  Kapal selam berkuasa nuklear British kelas-Astute, HMS Artful yang merupakan sebahagian daripada kapal pengiring HMS Queen Elizabeth dan Carrier Strike Group 2021 (CSG21) kini berada di pangkalan Tentera Laut Korea Selatan di Busan.

Kapal selam itu singgah di Busan untuk memeriksa peralatannya serta “mengisi peluru”, menurut jurucakap Kementerian Pertahanan Korea Selatan.

Krew kapal selam berkuasa nuklear itu juga akan menjalani pemeriksan COVID-19 semasa berada di Busan.

“Kita akan memastikan segala SOP mengenai COVID-19 semasa keberadaan mereka di Busan sentiasa dipatuhi. Kita tiada perancangan untuk mengadakan aktiviti bersama,” kata jurucakap itu, Boo-seung Chan kepada pemberita.

Kapal selam HMS Artful itu singgah di Busan sementara menantikan ketibaan kapal pengangkut pesawat, HMS Queen Elizabeth dan kapal-kapal pengiringinya dalam CSG21 di pelabuhan Korea Selatan itu akhir bulan ini.

Pihak Korea Selatan dan Britain masih berbincang tentang perincian persinggahan HMS Queen Elizabeth dan CSG di Korea Selatan.

Kapal pengangkut pesawat seberat 64,000 tan dan kapal-kapal pengiring dalam CSG21 sedang dalam pelayaran ke Indo-Pasifik selama tujuh bulan.

Bermula daripada Mei lepas, HMS Queen Elizabeth dan CSG21 telah belayar ke Laut Mediterranean, Timur Tengah dan Laut Arab, Lautan Hindi, Selat Melaka dan Laut China Selatan di mana ia turut mengadakan latihan bersama dengan kapal-kapal perang negara sahabat seperti Malaysia dan Singapura.

Pada ketika ini, kapal pengangkut pesawat itu dan CSG21 sedang berada di pangkalan laut Amerika Syarikat di Guam di Pasifik Barat.

Tomahawak
Peluru berpandu Tomahawk Block IV diiringi pesawat pejuang Tomcat.

 

Selepas berehat di Guam, HMS Queen Elizabeth dan CSG21 akan mengadakan latihan dengan sekutunya di Pasifik Barat sebelum belayar ke Korea Selatan dan Jepun selepas itu, dalam fasa terakhir pelayarannya ke Indo-Pasifik.

Kementerian Pertahanan British juga merancang menempatkan dua buah kapal perondanya, HMS Spey dan HMS Tamar secara kekal di Indo-Pasifik, suatu tindakan yang menerima kecaman daripada rejim Korea Utara.

Kapal selam HMS Artful merupakan kapal selam berkuasa nuklear kelas-Astute yang ketiga dilancarkan oleh Britain.

Ia dibina oleh syarikat BAE System Submarine Solutions dan memilliki berat lebih daripada 8,000 tan.

HMS Artful dilengkapi dengan persenjataan torpedo “Spearfish” dan SLCM “Tomahawk Block IV” yang mampu membedil sasaran sehingga 1,600km jauhnya.

HMS Artful

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...