Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

[VIDEO] Kapal Destroyer Type-45 British “HMS Defender” Sudah Berada Di Singapura

Sebelum itu, kapal bantuan replenishment oiler RFA Tidespring (A136) yang merupakan sebahagian daripada CSG21 juga dikesan belayar di Selat Melaka menuju ke Singapura.

0 1,777

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal destroyer Type-45 Tentera Laut British “HMS Defender” dikesan berada di perairan Singapura hari ini menanti ketibaan Carrier Strike Group 2021 (CSG21) yang diketuai oleh kapal pengangkut pesawat, HMS Queen Elizabeth seberat 67,000 tan ke republik itu.

Sebelum itu, kapal bantuan replenishment oiler RFA Tidespring (A136) yang merupakan sebahagian daripada CSG21 juga dikesan belayar di Selat Melaka menuju ke Singapura.

Jikalau kita masih ingat,  HMS Defender ini adalah kapal yang sama yang terlibat dalam insiden mencemaskan dengan kapal-kapal dan pesawat pejuang Russia di perairan Crimea di Laut Hitam beberapa minggu lepas.

Kapal HMS Defender yang merupakan “air defence destroyer” kelas-Daring  ini bukan calang-calang punya kapal kerana ia memiliki radar berkuasa tinggi yang mampu mengesan pesawat musuh sehingga 400km dan menjejaki 1000 sasaran dalam satu-satu masa.

Selain membawa peluru berpandu anti-kapal “Harpoon,” kapal seberat 9,800 tan (full displacement) itu juga dilengkapi dengan sistem pertahanan udara Aster-15, Aster-30 dan Sea Viper (bakal diganti dengan Sea Ceptor)

Pada ketika ini, CSG21 dan kapal pengangkut pesawat HMS Queen Elizabeth sedang berada di Bay Of Bengal mengadakan latihan dengan kapal-kapal perang Tentera Laut India yang dijangka berakhir hari ini.

Latihan dinamakan “Konkan” itu adalah untuk mengeratkan lagi kerjasama dan interoperabiliti di antara kedua-dua tentera laut itu.

Selepas berakhirnya Latihan Konkan itu hari ini, maka HMS Queen Elizabeth dan CSG21 akan memulakan pelayaran memasuki Selat Melaka dan ianya boleh berlaku pada bila-bila masa ketika ini.

HMS Defender
HMS Defender di Selat Melaka (kredit Nick)

 

CSG21 yang diketuai oleh HMS Queen Elizabeth itu diiringi oleh 10 buah kapal lain termasuk daripada Tentera Laut Amerika Syarikat dan Tentera Laut Belanda, dua buah kapal selam kelas-Astute.

Kapal pengangkut pesawat terbesar British itu juga membawa kira-kira 20 buah pesawat pejuang F-35B Lightning milik pasukan Marines Amerika Syarikat serta kira-kira 4,000 anggota tentera.

Sementara itu laporan juga mengatakan bahawa Amerika Syarikat telah menempatkan tiga buah kapal destroyer di Laut China Selatan pada ketika ini, ketika HMS Queen Elizabeth sedang menuju ke perairan yang didakwa China sebagai miliknya.

Ketiga-tiga buah kapal destroyer Amerika Syarikat itu adalah USS Kidd (DDG-100), USS Benfold (DDG-65) dan USS Pinckney (DDG-91).

HMS Queen Elizabeth
Kapal HMS Queen Elizabeth bersama kapal-kapal Tentera Laut India.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...