Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

[VIDEO] Israel “Hilang Kawalan” Bandar Lod, “Perang Saudara” Antara Penduduk Arab Israel Dan Yahudi

Datuk bandar Lod Yair Revivo berkata demikian selepas mengumumkan darurat di bandar itu yang mempunyai kira-kira 30 peratus penduduk Arab.

0 5,763

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Datuk Bandar Lod, sebuah bandar yang terletak berhampiran dengan Tel Aviv telah mengisytiharkan bahawa beliau telah “kehilangan kawalan” terhadap bandar itu yang kini berada di dalam keadaan “perang saudara” di antara penduduk Yahudi dengan Arab Israel.

Datuk bandar itu Yair Revivo berkata demikian selepas mengumumkan darurat di bandar itu yang mempunyai kira-kira 30 peratus penduduk Arab.

“Perang Saudara telah meletus di Lod,” kata Revivo, sambil Perdana Menteri Benjamin Netanyahu melawat bandar Lod dan mengatakan bahawa beliau bersedia mengumumkan perintah berkurung di Lod jika perlu.

Terdapat laporan mengatakan banyak kereta serta kuil-kuil Yahudi telah di bakar oleh penunjuk perasaan di bandar itu akibat tidak berpuashati dengan kematian seorang warga Arab Israel sehari sebelum itu.

Premis-premis perniagaan di bandar Lod turut dilaporkan dibakar oleh penunjuk perasaan, manakala ada juga laporan mengatakan penduduk Yahudi di bandar itu membaling batu terhadap kenderaan dipandu penduduk Arab.

 

Pihak berkuasa Israel telah menghantar anggota polis tambahan ke bandar Lod tetapi telah disambut dengan lebih banyak pertempuran dengan penunjuk perasaan yang terdiri daripada warga Arab Israel.

Sehingga kini, media Israel mengatakan 12 penduduk bandar itu cedera dalam pertempuran dengan pihak berkuasa.

Kesemua insiden rusuhan dan keganasan di bandar Lod ini berlaku ketika ibu negara Israel, Tel Aviv dan bandar-bandar di tengah negara itu diserang dengan ratusan roket oleh pejuang-pejuang Palestin daripada Semenanjung Gaza.

Ia adalah serangan terburuk dalam sejarah konflik Arab-Israel, mengejutkan ramai pihak di Israel terutamanya terhadap kemampuan roket pejuang-pejuang Palestin serta kebolehan sistem pertahanan mereka sendiri terutamanya sistem pertahanan udara “Iron Dome” dalam menangani serangan itu.

Sehingga kini lima penduduk Israel disahkan terbunuh dalam serangan roket pejuang Palestin, manakala puluhan yang lain cedera.

Bandar Lod
Sebuah kuil Yahudi (synagogue) terbakar di bandar Lod berhampiran Tel Aviv.

 

Israel turut melancarkan serangan terhadap Gaza yang sehingga kini telah mengorbankan 34 nyawa termasuk 10 orang kanak-kanak manakala 220 orang lain cedera.

Pejuang Palestin mengatakan ia telah melancarkan lebih daripada 130 roket ke arah bandar-bandar tengah Israel termasuk Tel Aviv.

Konflik terkini antara pejuang Palestin dan Israel berpunca daripada keganasan polis Israel terhadap penduduk Arab yang menunaikan solat Terawih di Masjid Al-Aqsa, selain pengusiran penduduk Palestin yang telah tinggal sejak berdekad lamanya di Sheikh Jarrah oleh mahkamah negara itu.

Tel Aviv
Kemusnahan di Tel Aviv akibat serangan roket pejuang Palestin semalam.

 

 

DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...