Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(Video) Armenia Guna Peluru Berpandu “Tochka-U”

0 533

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Video menunjukkan pelancaran peluru berpandu taktikal “Tochka-U” oleh tentera Armenia terhadap kedudukan tentera dan bandar utama Azerbaijan beberapa hari lepas mula tersebar hari ini.

Peluru berpandu terbabit buatan Russia yang dipanggil “Scarab-B” oleh pihak NATO dan dilancarkan oleh tentera Armenia itu mempunyai jarak di antara 70km hingga 180km.

Di dalam video pendek yang dirakam menggunakan telefon bimbit itu menunjukkan tentera-tentera Armenia bersorak kegembiraan sejurus selepas peluru berpandu itu dilancarkan daripada kenderaan pengangkutnya.

Lokasi pelancaran tidak dapat dipastikan walaupun terdapat dakwaan ia telah dilancarkan daripada dalam kawasan Armenia.

Rakaman video menunjukkan pelancaran peluru berpandu taktikal “Tochka-U” oleh tentera Armenia terhadap kedudukan dan bandar Azerbaijan.. (kredit Defensionem-The War Bible)

Sebelum ini Kementerian Pertahanan Azerbaijan mendakwa Armenia telah melancarkan beberapa peluru berpandu taktikal “Tochka-U” terhadap bandar kedua terbesarnya iaitu Ganja, yang juga menempatkan pengkalan tentera udaranya.

Ia juga mendakwa tiga daripada peluru berpandu yang dilancarkan oleh Armenia itu gagal meletup.

Kementerian Pertahanan Armenia telah menafikan dakwaan penggunaan peluru berpandu “Tochka-U” terhadap Azerbaijan.

Tochka U
Peluru berpandu taktikal “Tochka U”, sebagaimana digunakan oleh tentera Armenia. (sumber internet)

Bagaimanapun penyebaran video pelancaran “Tochka-U” oleh tentera Armenia itu membuktikan dakwaan oleh Azerbaijan itu mempunyai asasnya.

Beberapa hari lepas, bandar kedua terbesar di Azerbaijan itu dihujan dengan serangan artilleri, roket dan peluru berpandu taktikal milik Armenia.

Serangan itu menyebabkan kemusnahan besar di kawasan penempatan awam di bandar Ganja itu dan membunuh orang awam.

Gambar-gambar kemusnahan kawasan penempatan awam akibat serangan oleh pihak Armenia itu tersebar luas di media-media sosial.

Kemusnahan

Kemusnahan
Serangan peluru berpandu “Tochka U” telah menyebabkan kemusnahan besar-besaran di bandar Ganja. (sumber internet)

Serangan oleh pihak Armenia itu dipercayai berlaku sejurus selepas pihak Azerbaijan melakukan serangan terhadap kedudukan tentera dan awam di bandar Stepanakert, iaitu ibu negara “Republik Artsakh” sebagaimana di dakwa oleh Armenia.

Republik Artsakh dengan Nagorno Karabakh adalah kawasan yang sama, cuma penduduk Armenia memanggilnya Republik Artsakh selepas mengisytiharkan kemerdekaannya pada awal 1990-an.

Ia bagaimanapun tidak diiktiraf oleh mana-mana negara di dunia ini.

Rocket
Salah satu roket dipercayai dilancar dari sistem pelancar roket berganda “Smerch” yang gagal meletup ditemui dikawasan penempatan awam di bandar Ganja. (sumber internet)

Sebelum ini, media sosial juga dihujani dengan pelbagai rakaman penggunaan peluru berpandu taktikal “LORA” atau “Long Range Attack” buatan Israel terhadap kedudukan tentera Azerbaijan.

Penggunaan “LORA” itu adalah pertama kali di medan peperangan.

Tentera Azerbaijan dipercayai menggunakan “LORA” untuk memusnahkan sebuah jambatan di bandar miliki Armenia.

Pada ketika ini, tentera Armenia dan Azerbaijan sedang bertempur hebat bagi merebutkan wilayah Nagorno Karabakh.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...