Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

PECAT…Pegawai Kapal Selam Amerika Terlanggar “Objek” Di Laut China Selatan

Kapal selam penyerang berkuasa nuklear kelas-Seawolf "USS Connecticut" itu terlanggar gunung dasar laut (underwater seamount) pada 2 Oktober lepas ketika sedang melaksanakan operasi tidak diumumkan di Laut China Selatan. Washington juga tidak mendedahkan lokasi insiden.

0 4,379

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tiga orang pegawai kanan tentera laut Amerika Syarikat yang bertanggungjawab mengendalikan kapal selam berkuasa nuklear “USS Connecticut (SSN-22)” bernilai US$3 bilion (RM12 bilion) yang terlanggar gunung dasar laut (underwater seamount) di Laut China Selatan pada 2 Oktober lepas telah dipecat daripada perkhidmatan tentera laut negara itu dengan serta-merta.

Keputusan pemecatan serta-merta itu dilakukan selepas selesainya satu siasatan mengenai insiden yang berlaku ketika tentera laut Amerika Syarikat dan China masing-masing sedang sibuk melakukan latihan di Laut China Selatan.

Pegawai-pegawai kanan kapal selam kelas-Seawolf “USS Connecticut” yang dipecat itu adalah CO kapal selam itu sendiri, Komander Cameron Aljilani, executive officer Lt Kmdr Patrick Cashin dan chief of the boat, Cory Rodgers.

Pemecatan ketiga-tiga mereka adalah di atas arahan Komander 7th Fleet Tentera Laut Amerika, Laksamana Karl Thomas.

“Pemecatan mereka adalah disebabkan tiada keyakinan (terhadap mereka bertiga). Keputusan yang tepat dan pematuhan kepada perancangan navigasi, perlaksanaan dan pengurusan risiko boleh mengelak insiden itu daripada berlaku,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat.

USS Connecticut
Kapal selam berkuasa nuklear kelas-Seawolf “USS Connecticut”

 

Pada ketika ini, kapal selam penyerang (attack submarine) itu sedang berada di pangkalan tentera laut Amerika Syarikat di Guam untuk menjalani kerja-kerja pembaikan sebelum kembali ke pangkalannya di Bremerton, Washington.

Tentera Laut Amerika Syarikat masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tentang jenis kerosakan yang dialami oleh kapal selam itu, walaupun maklumat mengatakan USS Connecticut itu mengalami kerosakan yang teruk terutama di bahagian depannya merosakkan tangka ballast-nya.

Kementerian Luar China telah berulang-kali meminta Amerika Syarikat menjelaskan dengan lanjut tentang insiden yang menimpa kapal selam USS Connecticut.

Amerika Syarikat sehingga kini telah gagal memberikan maklumat berkenaan insiden itu terutamanya berkenaan operasi (ketika insiden menimpa USS Connecticut), lokasi kejadian sama ada ia berlaku di perairan Zon Ekonomi Eksklusif atau perairan wilayah (territorial sea) atau insiden telah menyebabkan pencemaran marin, kesemuanya menimbulkan persoalan dan kebimbangan,” kata jurucakap Kementerian Luar China Wang Wenbin.

Jurucakap Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat John Kirby mengesahkan bahawa Washington tidak memberikan sebarang maklumat tentang insiden yang menimpa USS Connecticut kepada Beijing.

Sebelas orang krew kapal selam berkuasa nuklear kelas-Seawolf Tentera Laut Amerika Syarikat, USS Connecticut (SSN-22) mengalami kecederaan selepas kapal selam itu terlanggar suatu “objek” tidak diketahui di dasar Laut China Selatan.

Menurut jurucakap 7th Fleet Tentera Laut Amerika Syarikat, insiden tersebut berlaku pada 2 Oktober lepas ketika kapal selam terbabit sedang menjalankan operasi di kawasan perairan antarabangsa di Laut China Selatan itu.

Sejurus selepas kemalangan itu, USS Connecticut telah belayar balik ke Guam, yang merupakan pangkalan tentera laut utama Amerika Syarikat di Indo-Pasifik.

USS Connecticut
Kapal selam berkuasa nuklear kelas-Seawolf “USS Connecticut”

 

“Kapal selam terbabit berada di dalam keadaan selamat dan stabil. Janakuasa nuklear milik kapal selam USS Connecticut dan keadaan dalamannya tidak terjejas dan kekal beroperasi. Keadaan kerosakan serta keseluruhan kapal selam itu masih disiasat.”

“Tentera Laut Amerika Syarikat tidak meminta sebarang bantuan. Kemalangan itu akan disiasat,” kata pegawai Tentera Laut Amerika Syarikat.

 Insiden pelanggaran dengan “objek” tidak dikenali itu berlaku ketika kapal selam itu sedang melaksanakan operasi rutin di Laut China Selatan yang berada dalam keadaan tegang akibat tindakan agresif China dalam menuntut sebahagian besar daripada perairan strategik itu.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

 

 

 

 

Comments
Loading...