Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

UAE Tidak Akan “Hidupkan” Perjanjian Perolehan 50 Buah F-35 Dengan Amerika

Kini dengan pilihanraya presiden Amerika Syarikat akan berlangsung November ini dengan Trump sekali lagi menjadi calon parti Republikan, terdapat laporan menyatakan bahawa UAE akan menyambung semula rundingan perolehan pesawat pejuang F-35 sekiranya Trump memenangi pilihanraya presiden itu.

0 878
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Emiriah Arab Bersatu (UAE) tidak bercadang untuk menyambung semula rundingan dengan Amerika Syarikat berkenaan perolehan 50 buah pesawat pejuang generasi kelima F-35, yang sebelum ini tertangguh selepas kekalahan Donald Trump dalam pilihanraya presiden negara itu empat tahun lepas.
Kini dengan pilihanraya presiden Amerika Syarikat akan berlangsung November ini dengan Trump sekali lagi menjadi calon parti Republikan, terdapat laporan menyatakan bahawa UAE akan menyambung semula rundingan perolehan pesawat pejuang F-35 sekiranya Trump memenangi pilihanraya presiden itu.
Bagaimanapun pegawai kanan UAE menyatakan dengan lepas bahawa mereka tidak akan menyambung semula rundingan perolehan F-35 “tidak kira” sesiapa sahaja memenangi pilihanraya presiden Amerika Syarikat itu pada November kelak.
“Kedudukan kami (UAE) tidak berubah dan kami tidak menjangkakan rundingan berkenaan pesawat pejuang F-35 dibuka semula pada masa depan, tidak kira keputusan pilihanraya presiden Amerika Syarikat akan datang ini,” kata pegawai kanan UAE itu kepada agensi berita antarabangsa baru-baru ini.
Pada 2020, UAE telah menandatangani perjanjian dengan Amerika Syarikat untuk mendapatkan 50 buah pesawat pejuang F-35 buatan syarikat Lockheed Martin dan pelbagai jenis senjata lain dianggarkan bernilai US$23.3 bilion (RM93.2 bilion).
F-35
Dua buah pesawat pejuang F-35 milik Tentera Udara Diraja Australia
Selain pesawat-pesawat F-35, perjanjian antara kedua negara sekutu itu juga melibatkan perolehan 18 buah dron MQ-9B Reaper dan pelbagai peluru berpandu udara-ke-udara serta darat-ke-udara.
Bagaimanapun perjanjian pembelian 50 buah pesawat pejuang F-35, dron MQ-9 Reaper dan senjata lain oleh UAE daripada Amerika Syarikat itu digantung selepas kekalahan Trump di tangan calon parti Democrat Jo Biden dalam pilihanraya presiden.
Dengan Jo Biden menjadi Presiden Amerika Syarikat selepas mengalahkan Trump, beliau telah mengkaji semula perjanjian perolehan 50 buah pesawat pejuang F-35 oleh UAE itu di atas beberapa sebab.
Amerika dilaporkan bimbang kerana UAE mempunyai hubungan yang erat dengan China.
Syarikat telekomunikasi China, Huawei mempunyai kontrak yang besar dengan negara UAE itu dan Amerika Syarikat telah melahirkan kebimbangannya bahawa teknologi 5G syarikat China itu berupaya “menganggu” teknologi halimunan dimiliki pesawat pejuang F-35 itu.
L-15
L-15 “Hongdu”
Tidak lama selepas Trump “ditendang” keluar daripada Rumah Putih dan digantikan dengan calon Demokrat, Jo Biden, UAE membuat keputusan untuk memperolehi 80 buah pesawat pejuang Rafale buatan Perancis dalam perjanjian yang bernilai US$19 bilion (RM76 bilion).
Dan perjanjian di antara Trump dan UAE berkenaan perolehan 50 buah pesawat pejuang F-35, dron MQ-9 Reaper dan pelbagai jenis peluru berpandu tergantung sehingga kini tanpa ada penghujungnya.
Bukan sahaja UAE memperolehi 80 buah pesawat pejuang Rafale, tetapi negara Arab Teluk itu juga menjalin hubungan ketenteraan yang erat dengan China menerusi perolehan pesawat-pesawat pejuang ringan/Fighter Lead-In Trainer (FLIT) L-15 “Hongdu.”
Dan pada Julai lalu, UAE telah menghantar pesawat-pesawat pejuang Mirage milikya, dron Medium Altitude Long Endurance, pesawat A330 Multi Role Transport Tanker (MRTT), C-17 Globemaster ke China untuk mengadakan latihan bersama.
 Kesemua aset-aset Tentera Udara UAE itu berada di pangkalan udara Hotan di China itu untuk mengambil bahagian dalam latihan udara bersama dipanggil “Falcon Shield 2024”,yang dianjurkan oleh Tentera Udara China (People’s Liberation Army Air Force).
Rafale
Pesawat pejuang “Rafale” yang dibangunkan oleh syarikat aeroangkasa Perancis, Dassault Aviation.
Ia adalah tahun kedua berturut-turut Tentera Udara UAE mengambil bahagian dalam latihan udara bersama dengan China itu.
Kebimbangan Amerika Syarikat terhadap hubungan ketenteraan yang erat antara UAE dan China itu bertambah, apabila agensi perisikan Amerika pada 2022 mendedahkan bahawa China akan membina sebuah pangkalan tentera di UAE.
UAE dikatakan tidak menghiraukan bantahan Amerika terhadap pembinaan pangkalan tentera China di negara Arab Teluk. — DSA  

Comments
Loading...