Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Ribuan Anggota Hezbollah Cedera Selepas Alatan Pager Mereka Meletup Digodam Israel

Pemerhati keselamatan di Lubnan menyatakan insiden hari ini merupakan “pencerobohan” terbesar dalam sistem pemerintahan, kawalan, komunikasi dan perisikan  (Command, Control, Communication and Intelligence) dialami oleh kumpulan bersenjata Hezbollah yang disokong kuat oleh Iran.

0 1,581
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sehingga 2,000 pejuang Hezbollah di Lubnan dan Syria dilaporkan mengalami kecederaan dan dikejarkan ke hospital selepas alatan pager digunakan mereka meletup secara tiba-tiba dan secara serentak selepas ia didakwa digodam oleh Israel.
Laporan awal belum disahkan menyatakan sekurang-kurangnya di antara lima hingga 10 orang terbunuh termasuk anak kepada anggota Parlimen daripada Hezbollah akibat insiden letupan alatan pager digunakan oleh anggota kumpulan itu.
Kenyataan oleh kumpulan Hezbollah pula menyatakan insiden itu berlaku kira-kira 3.30 petang (waktu tempatan).
Anggota Hezbollah menggunakan alatan pager sebagai sistem komunikasi dalaman (internal communications)  mereka dan letupan itu berlaku secara serentak di beberapa bahagian di Lubnan dan Syria.
Pemerhati keselamatan di Lubnan menyatakan insiden hari ini merupakan “pencerobohan” terbesar dalam sistem pemerintahan, kawalan, komunikasi dan perisikan  (Command, Control, Communication and Intelligence) dialami oleh kumpulan bersenjata Hezbollah yang disokong kuat oleh Iran.
Sehingga kini, Israel tidak mengakui mereka bertanggungjawab terhadap kejadian letupan alatan pager digunakan oleh anggota Hezbollah itu.
Bagaimanapun media negara Yahudi itu dan media-media lain di Lubnan mendakwa kejadian hari ini yang menyebabkan ratusan anggota Hezbollah itu cedera didalangi oleh pihak keselamatan Israel.
Media tempatan menyatakan bahawa hospital dan pusat kesihatan di beberapa bahagian di Lubnan penuh sesak dengan pejuang Hezbollah yang mendapatkan rawatan akibat kecederaan selepas insiden letupan alatan pager digunakan mereka.
Laporan awal menyatakan pihak keselamatan Israel telah menggodam alatan pager itu dan memasukan bahan letupan PETN seberat 3 gram dalam sistem alatan itu dan meletupkannya secara serentak apabila pager itu menerima kod spesifik daripada tentera Israel.
Turut dilaporkan cedera apabila alatan pager mereka meletup secara tiba-tiba adalah duta Iran ke Lubnan Motjaba Amani dan beberapa pemimpin kanan kumpulan bersenjata itu,tetapi identiti mereka tidak didedahkan.

Pager

Sumber keselamatan melaporkan kepada media-media di Lubnan bahawa alatan pager yang digunakan oleh pejuang Hezbollah terbabit diperbuat oleh syarikat Taiwan yang telah “diceroboh” oleh agensi perisikan Israel.
Hezbollah dikatakan membawa masuk ribuan alatan pager model terkini buatan syarikat telekomunikasi Taiwan itu untuk digunakan oleh anggotanya sebagai sistem komunikasi dalaman mereka.
Kumpulan bersenjata Hezbollah dikatakan melarang anggotanya menggunakan telefon bimbit kerana bimbang pihak tentera Israel akan menggunakan alatan telekomunikasi moden itu untuk menjejaki lokasi mereka.
Di atas sebab itu, Hezbollah mahu anggotanya menggunakan alatan pager yang disifatkan “ketinggalan zaman” tetapi lebih “selamat” berbanding dengan telefon bimbit. — DSA
Comments
Loading...