Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Jerman “Tiada Alasan” Tidak Mahu Jual Eurofighter Typhoon Pada Turkiye

Jerman enggan meluluskan penjualan pesawat pejuang Typhoon itu kepada Turkiye kerana “bengang” dengan kritikan-kritikan keras negara Mediterranean itu terhadap tindakan ketenteraan Israel di Semenanjung Gaza.

0 7,995

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Turkiye telah melemparkan bidasan yang keras kepada Jerman berikutan keengganan negara itu memberikan kebenaran kepadanya untuk membeli pesawat pejuang Eurofighter Typhoon, walaupun kedua-dua negara itu merupakan anggota perikatan ketenteraan NATO.

Menteri Pertahanannya Yasar Guler dilaporkan mengkritik layanan yang diterima Ankara daripada Berlin, walaupun kedua-dua negara sepatutnya menjadi sekutu kerana menjadi negara anggota NATO.

“Kami adalah negara anggota NATO, tetapi sebuah negara anggota NATO yang lain telah menghalang usaha kami untuk membeli pesawat pejuang itu (Typhoon).”

“Sepatutnya tidak ada alasan bagi sebuah negara yang dianggap sebagai sekutu untuk berkata, ‘Saya tidak akan menjual pesawat itu kepada anda’,” kata beliau dalam temuramah dengan stesen televisyen swasta NTV.

Jerman enggan meluluskan penjualan pesawat pejuang Typhoon itu kepada Turkiye kerana “bengang” dengan kritikan-kritikan keras negara Mediterranean itu terhadap tindakan ketenteraan Israel di Semenanjung Gaza.

Typhoon

Canselor Jerman Olaf Scholz yang “bengang” dengan kritikan keras Turkiye terhadap Israel telah bertindak balas dengan menghalang hasrat Ankara untuk membeli 40 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon.

“Canselor dijangka tidak akan membenarkan penjualan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon,” menurut seorang pegawai kanan Jerman.

Pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu dibangunkan oleh konsortium empat buah negara Eropah, Britain, Jerman, Sepanyol dan Itali. Sebarang penjualan pesawat pejuang itu memerlukakn persetujuan keempat-empat buah negara itu.

Bulan lepas, Turkiye menyatakan bahawa ia telah memulakan perbincangan untuk memperolehi 40 buah varian terkini pesawat pejuang Eurofighter Typhoon dikenali dengan nama “Tranche 4.”

Bagaimanapun halangan daripada Jerman itu berkemungkinan besar akan membantutkan hasrat Turkiye untuk memiliki pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu.

Presiden Turkiye Recep Tayyep Erdogan telah menyatakan dengan jelas kepada Jerman bahawa ia mempunyai “pilihan lain” sekiranya cadangan negara itu untuk memperolehi 40 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon ditolak oleh Berlin.

Turkiye
Presiden Erdogan dan Canselor Jerman Olaf Scholz.

 

“Turkiye mempunyai pilihan lain sekiranya Jerman menghalang penjualan pesawat pejuang Typhoon (kepada Turkiye), ” kata Presiden Turkiye Recep Tayyep Erdogan dalam sidang media bersama Canselor Jerman Olaf Scholz baru-baru ini.

Presiden Turkiye itu menyatakan dengan jelas bahawa Jerman bukanlah satu-satunya negara di dunia yang menghasilkan pesawat pejuang dan ia mempunyai alternatif lain sekiranya permohonannya untuk memperolehi pesawat pejuang Typhoon itu ditolak.

Ankara memohon untuk membeli Eurofighter Typhoon selepas permohonannya untuk mendapatkan varian terkini pesawat pejuang F-16 Block 70 berhadapan dengan pelbagai rintangan daripada kongres Amerika Syarikat.

Dilengkapi dengan radar AESA “CAPTOR E”, Eurofighter Typhoon Tranche 4 dikatakan adalah varian pesawat pejuang termoden Eropah yang boleh berkhidmat sehingga ke tahun 2060. 

Jerman dikatakan telah memesan 38 buah pesawat pejuang Typhoon Tranche 4.

Pada 2021, Turkiye mengemukakan permohonan kepada Amerika Syarikat untuk membeli 40 buah pesawat pejuang F-16 Block 70 dan 80 kit pemodenan pesawat F-16 yang dianggarkan bernilai US$20 bilion (RM80 bilion).

Presiden Jo Biden menyokong permohonan Turkiye untuk membeli pesawat F-16 dan kit permodenan itu tetapi beberapa anggota kongres negara itu membantah cadangan oleh Ankara itu berhubung rekod hak asasi manusia negara Mediterranean itu serta keengganannya menyokong permohonan Sweden untuk menjadi anggota NATO.

Typhoon

“Tentera Udara Turkiye memerlukan pesawat-pesawat pejuang yang baru.Pilihan pertama kami adalah F-16 tetapi memandangkan kemungkinan kita tidak mendapat reaksi positif, maka pesawat pejuang Eurofighter Typhoon adalah alternatif terbaik kepada F-16,” menurut sumber kepada agensi berita antarabangsa, Reuters.

Turkiye juga mahu memperolehi pesawat pejuang Eurofighter Typhoon bagi menggantikan pesawat pejuang F-4 Phantom miliknya yang telah berusia dan mesti digantikan dengan segera.

Ia perlu bertindak dengan pantas untuk menggantikan pesawat-pesawat pejuangnya yang telah berusia terutamanya selepas dikeluarkan daripada program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima, F-35 oleh Amerika Syarikat.

Ankara dikeluarkan daripada program pembangunan pesawat pejuang F-35 oleh Amerika Syarikat selepas ia meneruskan hasratnya untuk memperolehi sistem pertahanan udara S-400 “Triumf” buatan Russia.

Bagi menampung keperluan bagi pesawat-pesawat pejuang moden, Turkiye telah memulakan pembangunan pesawat pejuang generasi kelimanya sendiri yang dipanggil “KAAN”, tetapi ia dijangka akan hanya beroperasi pada tahun 2028-2029. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

To advertise contact: lulwabyadah@gmail.com

Comments
Loading...