Turkiye Mahu Peroleh Varian Terkini Pesawat Pejuang Eurofighter Typhoon (Tranche 4)
Turkiye mahu memperolehi 40 buah varian terkini pesawat pejuang Eurofighter Typhoon Tranche 4 yang dilengkapi dengan radar AESA "CAPTOR E". Ia dikatakan adalah pesawat pejuang termoden Eropah yang boleh berkhidmat sehingga ke tahun 2060.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Turkiye memulakan perbincangan untuk memperolehi 40 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon selepas permohonannya untuk mendapatkan varian terkini pesawat pejuang F-16 Block 70 mungkin tidak dilayan oleh Amerika Syarikat.
Menteri Pertahanan Turkiye Yasar Guler berkata, Turkiye sedang berunding dengan Britain dan Sepanyol tentang pembelian pesawat pejuang Typhoon itu, walaupun Jerman agak keberatan untuk menjualnya kepada Ankara.
Turkiye yang merupakan anggota NATO dilaporkan mahu membeli varian terkini pesawat pejuang Typhoon dan perkara itu telah dibincangkan dalam pertemuan di antara Guler dengan rakan sejawatannya daripada Britain, Grant Schapps yang berada di ibu negara, Ankara beberapa hari lalu.
Varian terkini pesawat pejuang Typhoon dipanggil Tranche 4 dan dilengkapi dengan radar AESA “CAPTOR E”. Ia dikatakan adalah pesawat pejuang termoden Eropah yang boleh berkhidmat sehingga ke tahun 2060.
Jerman dikatakan telah memesan 38 buah pesawat pejuang Typhoon Tranche 4.
Pada 2021, Turkiye mengemukakan permohonan kepada Amerika Syarikat untuk membeli 40 buah pesawat pejuang F-16 Block 70 dan 80 kit pemodenan pesawat F-16 yang dianggarkan bernilai US$20 bilion (RM80 bilion).
Presiden Jo Biden menyokong permohonan Turkiye untuk membeli pesawat F-16 dan kit permodenan itu tetapi beberapa anggota kongres negara itu membantah cadangan oleh Ankara itu berhubung rekod hak asasi manusia negara Mediterranean itu serta keengganannya menyokong permohonan Sweden untuk menjadi anggota NATO.
“Tentera Udara Turkiye memerlukan pesawat-pesawat pejuang yang baru.Pilihan pertama kami adalah F-16 tetapi memandangkan kemungkinan kita tidak mendapat reaksi positif, maka pesawat pejuang Eurofighter Typhoon adalah alternatif terbaik kepada F-16,” menurut sumber kepada agensi berita antarabangsa, Reuters.
Sumber itu juga melahirkan keyakinan bahawa Britain akan membantu dalam menyakinkan Jerman supaya bersetuju dengan cadangan Turkiye untuk memperolehi pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu.
Jerman dikatakan enggan meluluskan penjualan pesawat pejuang Typhoon itu kepada Turkiye kerana “bengang” dengan kritikan-kritikan keras negara Mediterranean itu terhadap tindakan ketenteraan Israel di Semenanjung Gaza.
Canselor Jerman Olaf Scholz bertindak balas terhadap Turkiye dengan menghalang hasrat Ankara untuk membeli 40 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon.
“Canselor dijangka tidak akan membenarkan penjualan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon,” menurut seorang pegawai kanan Jerman kepada media antarabangsa.
Berikutan serangan ganas dan kejam Israel terhadap Gaza yang sehingga kini yang telah mengorbankan lebih daripada 14,000 penduduknya terutama kanak-kanak dan wanita, Turkiye telah mengutuk Tel Aviv termasuk memanggilnya “negara pengganas.”
Turkiye juga enggan mengelar Hamas sebagai organisasi pengganas, sebagai dilakukan oleh negara-negara Eropah dan negara anggota NATO yang lain.
Tindakan kerajaan pimpinan Erdogan itu tidak disenangi oleh Jerman yang merupakan penyokong kuat kepada Israel dan tindakan ketenteraannya terhadap Hamas.
Turkiye bagaimanapun telah menyatakan dengan jelas kepada Jerman bahawa ia mempunyai “pilihan lain” sekira cadangannya untuk membeli 40 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon ditolak oleh Berlin.
“Turkiye mempunyai pilihan lain sekiranya Jerman menghalang penjualan pesawat pejuang Typhoon (kepada Turkiye), ” kata Presiden Turkiye Recep Tayyep Erdogan dalam sidang media bersama Canselor Jerman Olaf Scholz baru-baru ini.
Presiden Turkiye itu menyatakan dengan jelas bahawa Jerman bukanlah satu-satunya negara di dunia yang menghasilkan pesawat pejuang dan ia mempunyai alternatif lain sekiranya permohonannya untuk memperolehi pesawat pejuang Typhoon itu ditolak.
Pesawat pejuang Typhoon itu diperbuat oleh konsortium syarikat-syarikat Eropah yang berpangkalan di empat buah negara iaitu United Kingdom, Jerman, Itali dan Sepanyol.
Penjualan pesawat pejuang itu memerlukan persetujuan daripada keempat-empat negara Eropah yang menghasilkannya.
Turkiye mahu memperolehi pesawat pejuang Eurofighter Typhoon bagi menggantikan pesawat pejuang F-4 Phantom miliknya yang telah berusia dan mesti digantikan dengan segera.
Ia perlu bertindak dengan pantas untuk menggantikan pesawat-pesawat pejuangnya yang telah berusia terutamanya selepas dikeluarkan daripada program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima, F-35 oleh Amerika Syarikat.
Ankara dikeluarkan daripada program pembangunan pesawat pejuang F-35 oleh Amerika Syarikat selepas ia meneruskan hasratnya untuk memperolehi sistem pertahanan udara S-400 “Triumf” buatan Russia.
Bagi menampung keperluan bagi pesawat-pesawat pejuang moden, Turkiye telah memulakan pembangunan pesawat pejuang generasi kelimanya sendiri yang dipanggil “KAAN”, tetapi ia dijangka akan hanya beroperasi pada tahun 2028-2029. — DSA
DEFENCE SECURITY ASIA APPS
To advertise contact: [email protected]
Comments are closed.