Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

K’jaan Turkiye Tahan, Buru 131 Suspek Terlibat Bina Bangunan Runtuh

Tidak dapat dinafikan bahawa gempa bumi yang melanda Turkiye pada kekuatan 7.8 skala Richter adalah kuat, tetapi mangsa, pakar dan rakyat negara itu menyalahkan antaranya pelanggaran peraturan dan kod pembinaan bangunan, rasuah,salah-guna kuasa dan lain-lain kerana memburukkan lagi kemusnahan.

0 1,061

(DEFENCE SECURITY ASIA)—Pihak berkuasa Turkiye telah menahan atau mengeluarkan waran tangkap terhadap 130 orang didakwa terlibat dalam pembinaan bangunan-bangunan yang runtuh dan memerangkap penghuni akibat kejadian gempa bumi di negara itu yang sehingga kini telah mengorbankan hampir 25,000 orang.

Pasukan penyelamat di Turkiye masih mengeluarkan mangsa-mangsa yang masih hidup daripada runtuhan-runtuhan bangunan, hampir seminggu selepas kejadian gempa bumi itu berlaku.

Menurut akhbar Turki, Daily Sabah, kerajaan Turki berikrar bahawa mereka akan menyiasat secara terperinci sesiapa sahaja yang didakwa bertanggungjawab atas keruntuhan bangunan-bangunan terbabit.

Naib Presiden, Fuat Oktay berkata pihak berkuasa negara itu telah mengenalpasti 131 suspek kerana disyaki bertanggungjawab atas keruntuhan 6,400 bangunan di 10 buah wilayah Turki yang terjejas dengan kejadian gempa bumi itu yang turut melibatkan beberapa wilayah di utara Syria.

“Arahan penahanan telah dikeluarkan (oleh pihak berkuasa) terhadap 113 individu,” menurut beliau kepada pemberita di Ankara.

Turkiye

“Kita akan menyiasat perkara ini secara terperinci sehingga kita mencapai keadilan, terutamanya terhadap bangunan-bangunan yang mengalami kerosakan teruk sehingga menyebabkan kematian dan kecederaberikan,” katanya.

Menteri Keadilan Turki Bekir Bozdağ juga berikrar untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang bertanggungjawab dan pihak pendakwa telah mula mengumpul sampel-sampel bahan yang digunakan dalam pembinaan bangunan sebagai bukti.

Tidak dapat dinafikan bahawa gempa bumi yang melanda Turkiye pada kekuatan 7.8 skala Richter adalah kuat, tetapi mangsa, pakar dan rakyat negara itu menyalahkan antaranya pelanggaran peraturan dan kod pembinaan, rasuah,salah-guna kuasa dan lain-lain kerana memburukkan lagi kemusnahan.

Oktay juga mengatakan bahawa Kementerian Keadilan telah menubuhkan Biro Siasatan Jenayah Gempa Bumi di kawasan gempa bumi untuk menyiasat kematian dan kecederaan.

Sementara itu Menteri Alam Sekitar Turki Murat Kurum berkata hampir 25,000 bangunan runtuh atau rosak teruk akibat kejadian gempa bumi, berdasarkan kepada bancian terhadap lebih daripada 170,000 bangunan.

Arkitek
Mehmet Yasar Coskun ketika ditangkap pihak berkuasa Turkiye di lapangan terbang Istanbul ketika cuba meninggalkan negara untuk ke Montenegro bersama sejumlah besar wang tunai.

 

Semalam, Defence Security Asia melaporkan bahawa ketua arkitek sebuah projek apartment mewah di Hatay di Turkiye yang runtuh ketika negara itu dilanda gempa bumi, telah ditahan oleh pihak berkuasa di sebuah lapangan terbang Istanbul ketika beliau cuba meninggalkan negara itu untuk ke Montenegro.

Pihak berkuasa Turkiye dilaporkan turut merampas sejumlah besar wang tunai bersama-sama Mehmet Yasar Coskun yang juga merupakan pemilik syarikat “Antis Yapi” yang membina bangunan apartment mewah dinamakan  “Renaissance Residence” di Hatay, Turkiye itu.

Syarikat “Antis Yapi” yang membina apartment itu dimiliki oleh Mehmet bersama-sama jurutera sivil Huseyin Yalcin Coskun.

Arkitek
Bangunan apartment mewah “Renaissance Residence” di Hatay runtuh, menyebabkan kira-kira 1,000 penghuninya dikhuatiri terbunuh.

 

“Renaissance Residence” yang terdiri daripada 250 buah apartment, runtuh selepas kawasan Hatay itu dilanda gempa bumi, menyebabkan kira-kira 1,000 penghuni tertimbus dalam runtuhan bangunan dan dikhuatiri terbunuh.

Renaissance Residence setinggi 12 tingkat merupakan antara apartmen paling eksklusif di Hatay, menampilkan 249 unit apartment dengan antara dua dan lima bilik tidur setiap satu, kolam renang, gelanggang sukan, dan khidmat penyambut tetamu.

Ia turut diiklankan sebagai bangunan yang dibuat mengikut “standard pembinaan tertinggi.” — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

 

Comments
Loading...