Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

TUDM Terus Guna F/A-18D Hornet, Su-30MKM Sehingga Tahun 2035, 2040

Menurut Panglima TUDM Jen Tan Sri Ackbal Abdul Samad, untuk memastikan pesawat-pesawat pejuang TUDM itu mampu beroperasi dengan berkesan sehingga tahun 2035 dan 2040,  ia akan menjalani proses penyelenggaraan khusus dan program naik taraf.

0 10,312

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat-pesawat pejuang, F/A-18D Hornet dan Sukhoi Su-30MKM akan terus berkhidmat dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sehingga tahun 2035 dan tahun 2040, sebelum ia digantikan dengan pesawat-pesawat pejuang yang baru.

Menurut Panglima TUDM Jen Tan Sri Ackbal Abdul Samad, untuk memastikan pesawat-pesawat pejuang TUDM itu mampu beroperasi dengan berkesan sehingga tahun 2035 dan 2040,  ia akan menjalani proses penyelenggaraan khusus dan program naik taraf.

“Untuk memastikan ia (F/A-18D dan Su-30MKM) meneruskan kemampuan operasinya, pesawat-pesawat F/A-18D akan menjalani program penyelenggaran dalam negara 12 tahun (Local Planned Maintenance 12 years – LPM12Y) pada tahun ini.”

“Bagi pesawat Su-30MKM, ia sedang menjalani program Service Life Extension Programme (SLEP) dan program Mid-Life Upgrade (MLU) yang akan memastikan perkhidmatannya sehingga tahun 2040 dan selepas daripada itu,” kata beliau dalam temuramah dengan majalah pertahanan berbahasa Inggeris, Asian Defence Journal (ADJ)  keluaran Julai-Ogos.

TUDM memiliki lapan buah pesawat pejuang F/A-18D dan 18 buah Su-30MKM.

TUDM
Pesawat F/A-18 TUDM.

 

Menurut Panglima TUDM itu lagi, program perolehan pesawat baru bagi menggantikan F/A-18D Hornet akan dilakukan pada Rancangan Malaysia Ke-14 (RMK-14) tahun 2030-2035, manakala perolehan pesawat baru untuk menggantikan Su-30MKM pula akan dilakukan pada RMK-15 (2036-2040).

Sekurang-kurangnya diantara 15 tahun hingga 20 tahun lagi sebelum kita melihat pesawat-pesawat MRCA (multi-role combat aircraft) yang baru untuk memasuki perkhidmatan TUDM.

Sementara itu, kita terus menggunakan lapan buah F/A-18D Hornet dan 18 buah Su-30MKM untuk menjaga ruang udara negara, sementara proses perolehan 18 buah pesawat pejuang ringan/Fighter Lead-In Trainer (LCA/FLIT) sedang berjalan.

Su-30MKM

Di dalam temuramah dengan majalah pertahanan itu, Ackbal juga ditanya mengenai pesawat-pesawat F/A-18 C/D milik Tentera Udara Kuwait yang telah pun ditamatkan perkhidmatannya oleh negara Timur Tengah itu selepas ia membeli pesawat pejuang MRCA baru.

Pihak TUDM katanya, telah pun menghantar surat bagi menyatakan hasratnya untuk memperolehi pesawat-pesawat F/A-18 C/D Tentera Udara Kuwait kepada Panglima Angkatan Tentera Kuwait.

“Kita (TUDM dan Tentera Udara Kuwait) masih berunding dan masih menunggu reaksi balas daripada mereka (Kuwait),” kata Panglima TUDM.

Mengenai tawaran alat-alat ganti pesawat pejuang Hornet daripada Tentera Udara Australia,  beliau berkata, TUDM dan RAAF (Royal Australian Air Force) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenainya.

TUDM kata beliau, telah mula menerima komponen dan alat ganti pesawat Hornet bermula daripada awal tahun 2020.

TUDM
Pesawat F/A-18 TUDM

 

DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...