MAWILUD 2 Laksana Latihan Operasi Pesawat Pejuang Libat Anak Kapal F/A-18D TUDM
Objektif utama latihan bertujuan untuk menguji perlaksanaan dan pengoperasian pesawat pejuang di Pangkalan Udara Kuching.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Markas Wilayah Udara (MAWILUD) 2 telah melaksanakan latihan koordinasi pengoperasian pesawat pejuang melibatkan anak kapal pesawat F/A-18D Hornet, anggota Bomba TUDM dan juga anggota dari Airfield Fire Rescue Services (AFRS) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di Pangkalan Udara Kuching.
Menurut kenyataan oleh TUDM menerusi media sosialnya, objektif utama latihan ini bertujuan untuk menguji perlaksanaan dan pengoperasian pesawat pejuang di pangkalan udara tersebut.
Latihan ini juga bagi menguji kesiagaan dan kecekapan anggota Bomba TUDM dan AFRS dalam melaksanakan tugas menyelamat sekiranya berlaku kecemasan yang melibatkan pesawat pejuang di PU Kuching dan juga LTAK.
Selain itu, perlaksanaan latihan ini juga mampu memberi pendedahan kepada Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM) Kuching bagi pengoperasian pesawat pejuang di lapangan terbang tersebut.
Latihan ini terdiri daripada dua fasa, iaitu fasa kelas teori dan fasa latihan praktikal.
Bagi fasa kelas teori, kelas Pengoperasian Pesawat Pejuang telah diberikan oleh Mej Teh Horng Chien TUDM, PS 2 Pejuang/Maritim MAWILUD 2.
Manakala fasa latihan praktikal yang mana melibatkan pesawat F/A-18D Hornet telah diberikan oleh Mej Muhamad Luqman bin Mohamad Aziz TUDM.
Dalam fasa latihan praktikal, anggota penyelamat TUDM dan AFRS diberikan senario dimana pesawat mengalami kemalangan dan juruterbang berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Justeru, anggota penyelamat telah didedahkan dengan tatacara pengendalian “canopy” pesawat secara automatik dan manual, cara mematikan beberapa suis utama dan seterusnya adalah bagaimana untuk memastikan pesawat dalam keadaan selamat sebelum proses mengeluarkan juruterbang daripada pesawat.
Dengan pelaksanaan latihan sebegini, secara tidak langsung mampu memastikan setiap anggota penyelamat dalam keadaan siap siaga dan mampu melaksanakan tugas dengan mengikut setiap SOP sekiranya berlaku kejadian yang sebenar.
Selain itu, latihan ini juga dilihat sebagai satu platform yang dapat meningkatkan kerjasama dalam tugas menyelamat antara TUDM dan agensi luar melibatkan kebakaran serta pendaratan kecemasan pesawat di lapangan terbang dengan lebih efektif dan efisien. — DSA
DOWNLOAD APPS DEFENCE SECURITY ASIA
Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: [email protected]
Comments are closed.