KD Todak TLDM Selamatkan Mangsa Bot Karam Akibat Ombak Kuat
KD Todak yang sedang melaksanakan Operasi Sinar Samudera di sekitar Teluk Marudu, di Sabah telah menemui mangsa terapung di posisi sekitar 4 batu nautika (bn) timur Bandar Kudat dalam keadaan melambai-lambai ke arah kapal untuk mendapatkan pertolongan.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal peronda milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD TODAK telah menyelamatkan seorang nelayan yang terdampar di laut selepas bot yang dinaikinya karam akibat ombak kuat dua hari lepas.
Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) dalam satu kenyataan berkata KD Todak yang sedang melaksanakan Operasi Sinar Samudera di sekitar Teluk Marudu, di Sabah telah menemui mangsa terapung di posisi sekitar 4 batu nautika (bn) timur Bandar Kudat dalam keadaan melambai-lambai ke arah kapal untuk mendapatkan pertolongan.
“Mangsa merupakan warga tempatan yang dikenali Radmay Asmadul Bakar memaklumkan dalam perjalanan pulang ke rumah setelah menghantar anak perempuannya ke asrama di Sekolah Menengah Kebangsaan Telaga, Pitas,
“Namun, bot yang dinaikinya mengalami kebocoran akibat hentaman ombak yang kuat. Mangsa telah berusaha menyelamatkan diri dengan berenang ke daratan berhampiran pada jarang 4 bn kurang lebih sejam sehingga ditemui oleh KD Todak,” kata kenyataan itu.
Menurut MAWILLA 2 LAGI, mangsa yang berada dalam keadaan lemah telah berjaya diselamatkan dan diberikan rawatan awal, makanan serta pakaian sewajarnya oleh krew kapal.
Pump bot mangsa yang hampir karam juga ditunda ke kawasan selamat oleh KD Todak.
“Mangsa telah dibawa ke Pelabuhan Kudat dan seterusnya insiden dirujuk kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) DM 16 Kudat untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan.
MAWILLA 2 mengingatkan seluruh warga maritim supaya sentiasa meningkatkan kewaspadaan akan keselamatan diri, penumpang dan harta benda semasa berada di laut terutamanya ketika musim monsun ini bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini berlaku.
KD Todak menurut kenyataan akan meneruskan penugasaan Operasi Sinar Samudera setelah selesai merujuk mangsa kepada pihak APMM. — DSA
JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE
Comments are closed.