Timbalan Panglima TUDM Lihat Lebih Dekat Su-57E, Dron Berani Mati LANCET di Aero India 2025
Semasa di Aero India 2025 itu, beliau tidak melepaskan peluang untuk melihat dengan lebih dekat varian eksport pesawat pejuang generasi kelima Russia, Su-57E yang mengambil bahagian pada pameran aeroangkasa itu buat pertama kali dan juga dron berani mati LANCET yang terkenal pada ketika ini.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Timbalan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Lt Jen Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris telah menghadiri Pameran Udara Aero India 2025 yang berlangsung baru-baru ini Pangkalan Tentera Udara Yelahanka, Bengaluru di India.
Semasa di Aero India 2025 itu, beliau tidak melepaskan peluang untuk melihat dengan lebih dekat varian eksport pesawat pejuang generasi kelima Russia, Su-57E yang mengambil bahagian pada pameran aeroangkasa itu buat pertama kali.
Beliau turut diberikan peluang untuk melaksanakan penerbangan Su-57E menerusi simulator pesawat pejuang itu ketika melawat reruai ROSOBORONEXPORT.
“Timbalan Panglima Tentera Udara berpeluang melaksanakan penerbangan simulator SU-57E dan tinjauan ke pesawat tersebut bagi melihat dengan lebih dekat kecanggihan persenjataan dan teknologi yang digunakan secara fizikal, ” menurut kenyataan media sosial dikeluarkan oleh TUDM.
Pada pameran Air Show China 2024 Nov tahun lepas di Zhuhai, China Panglima TUDM Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan turut berpeluang melihat dengan lebih dekat varian eksport pesawat pejuang Su-57E.
Menerusi gambar-gambar yang dikeluarkan oleh akaun media sosial TUDM itu, Timbalan Panglima TUDM turut berpeluang melihat dengan lebih dekat dron berani mati (Kamikaze Drone) LANCET yang dibangunkan oleh syarikat ZALA AERO daripada Russia.


Berkemungkinan besar dron berani mati LANCET yang dilihat oleh beliau itu adalah varian eksportnya dikenali LANCET-E yang didedahkan pada umum buat pertama kalinya pada pada Army 2024 International Military-Technical Forum di Moscow pada Ogos tahun lepas.
Dron berani mati LANCET itu telah dibangunkan oleh syarikat ZALA Aero, yang merupakan anak syarikat kepada Kalashnikov Concern,anak syarikat kepada Kalashnikov yang bertanggungjawab membangunkan senjata api AK-47 yang terkenal di seluruh dunia.
Varian eksport sistem dron berani mati itu, Lancet-E terdiri daripada Z-16-E dron pemantau (reconnaissance drone) dan dua buah dron berani mati, 51-E dan 52-E yang memiliki ciri-ciri berlainan terutamanya melibatkan jarak dan maximum take-off weight (MTOW).
“Penampilan varian eksport LANCET-E pada Army 2024 menandakan permulaan bagi ROSOBORONEXPORT dan kempen pemasaran global untuk sistem persenjataan yang canggih ini.”
“Sistem persenjataan ini telah menunjukkan keberkesanannya pada medan peperangan dan kemampuan untuk menangani pelbagai jenis sasaran daripada kesemua jenis kereta perisai dan kubu-kubu serta sasaran darat,” menurut kenyataan oleh Ketua Pengarah ROSOBORONEXPORT Alexander Mikheev kepada Defence Security Asia tahun lepas.
Selain melihat dengan lebih dekat pesawat pejuang Su-57E termasuk kokpitnya pada Aero India 2025, Timbalan Panglima TUDM itu mengadakan lawatan ke beberapa reruai syarikat pempamer termasuk United Aircraft Corp (UAC), SAMTEL, ROSOBORONEXPORT, Hindustan Aeronautics Ltd (HAL) dan ADANI LTD.


Semasa melawat ke reruai syarikat pempamer, Timbalan Panglima TUDM itu turut mengambil peluang menjemput syarikat-syarikat terbabit untuk menyertai LIMA’25 yang dijadualkan berlangsung dari 20 hingga 24 Mei 2025 di Pulau Langkawi.
Menurut kenyataan media sosial TUDM itu lagi, penglibatan Timbalan Panglima TUDM dalam Aero India 2025 menjadi platform terbaik bagi TUDM untuk memperkukuh hubungan strategik pertahanan di peringkat antarabangsa.
Tahun ini, Aero India 2025 telah menghimpunkan lebih daripada 150 syarikat antarabangsa serta dihadiri wakil pertahanan dari kira-kira 30 negara dengan tema “The Runway to a Billion Opportunities.”
Timbalan Panglima TUDM turut menghadiri Defence Minister’s Conclave bertemakan “BRIDGE (Building Resilience through International Defence & Global Engagements)” yang menekankan kepentingan kerjasama antara negara dalam sektor pertahanan.
Selain itu, beliau turut menyertai Air Chiefs’ Roundtable yang juga merupakan antara acara utama dalam pameran udara tersebut yang membincangkan isu-isu semasa berkenaan keselamatan dan pertahanan.

