Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat Pejuang Su-30MKM Dinaiktaraf Guna Sistem, Komponen Buatan India??

Menurut laporan media pertahanan India, di bawah persetujuan itu, pesawat-pesawat pejuang Su-30MKM milik TUDM akan diselenggara dan dinaiktaraf dengan sistem-sistem serta komponen buatan syarikat pertahanan India.

0 7,357
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Malaysia dan India dilaporkan telah bersetuju untuk menjalin kerjasama terutamanya dalam membabitkan penyelenggaraan dan menaiktaraf pesawat pejuang Su-30MKM yang dioperasikan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Menurut laporan media pertahanan India, di bawah persetujuan itu, pesawat-pesawat pejuang Su-30MKM milik TUDM akan diselenggara dan dinaiktaraf dengan sistem-sistem serta komponen buatan syarikat pertahanan India.
Dilaporkan juga bahawa TUDM sedang memerhati dengan rapat usaha-usaha yang dijalankan oleh Tentera Udara India (IAF) dalam menaiktaraf pesawat-pesawat pejuang Su-30MKI miliknya sendiri.
Media pertahanan India terbabit menyatakan bahawa pada ketika ini negara itu telah pun membekalkan alat-alat ganti pesawat pejuang Su-30 yang dihasilkannya termasuk tayar pesawat untuk kegunaan pesawat-pesawat pejuang Su-30MKM yang digunakan oleh TUDM.
Ia juga berkata bahawa kerjasama pertahanan yang lebih erat di antara kedua-dua negara itu akan memperkukuhkan lagi usaha untuk mengekalkan keamanan di rantau.
SU-30MKM
Su-30MKM milik TUDM
Baru-baru ini, media pertahanan India juga melaporkan bahawa TUDM telah menunjukkan minat yang mendalam untuk memperolehi peluru berpandu “BrahMos” keluaran India untuk digunakan oleh pesawat-pesawat pejuangSu-30MKM miliknya.
Media pertahanan India yang tidak menyatakan sumber kepada laporannya itu berkata, peluru berpandu BrahMos yang menarik minat TUDM untuk digunakan pesawat-pesawat pejuang Su-30MKM miliknya itu adalah dalam varian Air Launched Cruise Missile (ALCM).
Laporan media sebelum ini menyatakan bahawa India akan mula menaiktaraf dan memodenkan pesawat-pesawat pejuang Su-30MKI miliknya dengan beberapa teknologi baru yang dibangunkan oleh industri pertahanan tempatan.
Ia adalah sebahagian daripada usaha berterusan India untuk meningkatkan kemampuan pesawat pejuang utamanya kepada varian yang disebutnya sebagai “Super Sukhoi.”
Program menaiktaraf pesawat pejuang Su-30MKI India itu akan dilaksanakan oleh syarikat Hindustan Aeronautics Ltd (HAL) yang dijangka menelan belanja US$7.5 bilion (RM33.7 bilion), dengan kesemua kerja dilakukan dalam negara.
Su-30MKI
Pesawat Sukhoi Su-30MKI milik India
Tentera India merupakan pengguna pesawat Su-30 terbesar di luar Russia dengan sebahagian besar daripada 272 buah pesawat pejuang Su-30MKI digunakannnya pada ketika ini telah dibina secara berlesen oleh syarikat tempatan, Hindustan Aeronautics Limited (HAL).
Inisiatif menaiktaraf kemampuan pesawat-pesawat pejuang utama Tentera Udara India itu dijangka bermula pada tahun 2026, bertujuan memastikan Su-30MKI itu dilengkapi dengan teknologi dan kemampuan yang selari dengan perubahan lanskap peperangan masa kini.
Menurut laporan media tempatan, di antara 80 hingga 100 buah pesawat pejuang Su-30MKI akan dinaiktaraf pada fasa pertama program itu, sebelum ianya meliputi keseluruhan pesawat pejuang itu yang dimiliki oleh Tentera Udara India.
Menurut sumber yang memaklumkan kepada media tempatan India, usah-usaha menaiktaraf itu akan meliputi melengkapkan pesawat pejuang itu dengan kemampuan Beyond Visual Range (BVR), kemampuan sistem peperangan elektronik yang baru dan radar AESA.
Radar AESA yang bakal digunakan oleh pesawat Su-30MKI selepas program menaiktaraf itu itu adalah varian radar AESA tempatan,“Uttam” yang sedang dibangunkan untuk pesawat Tejas Mk1A.
Sukhoi
Pesawat pejuang Su-30MKI milik India
Radar AESA “Uttam”itu dibangunkan sendiri oleh agensi pertahanan kerajaan India,  Defence Research and Development Organisation (DRDO).
Menurut media pertahanan India, radar AESA yang bakal dilengkapkan pada Su-30MKI itu akan mempunyai modul Transmit and Receive (TR) yang lebih besar bagi keupayaan menjejaki dan mengesan sasaran yang lebih jauh dan lebih kecil.
Selain radar AESA, program menaiktaraf pesawat Su-30MKI India itu juga akan melihat pesawat pejuang itu dilengkapi dengan sistem kawalan penerbangan yang lebih berkuasa bagi membolehkan ia dilengkapi dengan peluru berpandu hypersonic dan peluru-peluru berpandu yang lain.
Dibawah program menaiktaraf itu, pesawat-pesawat Su-30MKI India itu juga akan dilengkapi dengan Mission Computer yang baru, kokpit dengan paparan skrin sentuh yang lebih besar serta pakej sistem persenjataan yang baru.
Program itu mensasaran kira-kira 25 buah Su-30MKI akan dinaiktaraf setiap tahun, dengan kesemua pesawat itu selesai dinaiktaraf pada 2034. — DSA
Comments
Loading...