Tidak Boleh Digugur Dari Udara Kerana Terlalu Berat, Amerika Batal Program “Kereta Kebal Ringan” M10 Booker
“Pada 42 tan, kereta kebal ringan M10 Booker tidak boleh digugurkan daripada udara menggunakan pesawat pengangkut C-130 sebagaimana yang dikehendaki oleh perancang-perancang di Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat ketika mereka mula membangunkannya (M10 Booker),” menurut penganalisis tentera.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Disebabkan beratnya yang keterlaluan sebagai sebuah “kereta kebal ringan”, Tentera Darat Amerika Syarikat telah mengambil keputusan untuk membatalkan lebih banyak perolehan “kereta kebal ringan” M10 Booker.
Pada berat keseluruhannya yang mencecah 42 tan, M10 Booker bukanlah sebuah kereta kebal ringan walaupun ia seringkali dipanggil sebagai kereta kebal ringan oleh industri pertahanan dan pegawai-pegawai kanan tentera darat Amerika Syarikat.
“Pada 42 tan, kereta kebal ringan M10 Booker tidak boleh digugurkan daripada udara menggunakan pesawat pengangkut C-130 sebagaimana yang dikehendaki oleh perancang-perancang di Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat ketika mereka mula membangunkannya (M10 Booker),” menurut penganalisis tentera.
Keputusan untuk membatalkan perolehan kira-kira 500 buah “kereta kebal ringan” M10 Booker itu telah diumumkan oleh Setiausaha Tentera Darat Amerika Syarikat Dan Driscoll dalam satu perbincangan meja bulan Jabatan Pertahanan negara itu baru-baru ini.
Beliau memetik salah urus dan ketidakberkesanan sehingga menyebabkan M10 Booker menjadi terlalu mahal dan tidak sesuai dengan tugasan yang sepatut ia lakukan, walaupun pihak pembuat kenderaan itu, General Dynamics telah menghantar 80 buah daripada “kereta kebal ringan”itu kepada Tentera Darat Amerika Syarikat.
Driscoll menyifatkannya sebagai “contoh klasik kesilapan pelaburan yang sia-sia dan keputusan salah oleh pihak tentera.”
M10 Booker pada asalnya dibangunkan sebagai kenderaan serangan ringan yang boleh digugurkan dari udara, namun akhirnya ia mempunyai berat yang mencecah 42 tan, sekali gus menjadikannya tidak sesuai untuk misi yang dirancang termasuk dihantar melalui udara menggunakan pesawat C-130.


Setiausaha Tentera Darat Amerika Syarikat mengakui kelemahan itu dengan menyatakan, “Kita dapat sebuah kereta kebal berat,” sambil menekankan ketidakpadanan antara rekaan kenderaan tersebut dengan keperluan operasi sebenar.
Beliau mengkritik Tentera Darat Amerika Syarikat dengan menyatakan bahawa mereka sepatutnya mengenalpasti masalah itu dengan cepat dan memperbetulkannya tetapi tidak berbuat demikian.
Pembatalan program perolehan M10 Booker merupakan sebahagian daripada inisiatif lebih besar oleh Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Pete Hegseth, bagi merombak keseluruhan proses perolehan Tentera Darat Amerika Syarikat.
Inisiatif ini bertujuan untuk memberi tumpuan kepada sistem persenjataan yang lebih pantas, fleksibel dan berteknologi tinggi seperti penggunaan dron tanpa pemandu, serta menghentikan program-program lama yang tidak lagi relevan atau bertindih.
Isu mengenai berat “kereta kebal ringan” M10 Booker itu menjadi lebih kritikal selepas beberapa sumber mendedahkan tentang apa yang berlaju di Fort Campbell.
Fort Campbell, sebuah pangkalan penting Tentera Darat Amerika Syarikat yang terletak di sempadan Kentucky-Tennessee, dilaporkan mengalami kejadian jambatan runtuh akibat gagal menampung berat “kereta kebal ringan” M10 Booker, sekaligus menimbulkan kebimbangan yang serius tentang program itu.
Menurut sumber kejuruteraan tentera yang mengetahui insiden tersebut, sekurang-kurangnya dua jambatan kecil dalam rangkaian latihan dan pergerakan taktikal di Fort Campbell telah runtuh semasa latihan melibatkan M10 Booker yang memiliki seberat 42 tan — jauh melebihi jangkaan berat asal bagi kenderaan tersebut.

M10 Booker pada mulanya dibangunkan sebagai kenderaan perisai ringan yang boleh digugurkan dari udara bagi menyokong pasukan infantri dalam operasi berkelajuan tinggi, tetapi kini semakin dipersoalkan, bukan sahaja dari segi peranannya secara strategik, tetapi juga kesan fizikalnya terhadap persekitaran operasi.
“Jambatan-jambatan yang dibina pada era 1960-an dan 1970-an sememangnya tidak direka untuk menampung tekanan berulang daripada platform seberat ini,” kata seorang jurutera kanan Tentera Darat, sambil menjelaskan bahawa pasukan pembaikan kecemasan terpaksa dikerahkan selepas kejadian bagi memulihkan akses ke kawasan-kawasan penting dalam pangkalan tersebut.
Kegagalan struktur secara mengejut itu telah mencetuskan semakan dalaman terhadap keadaan infrastruktur di pangkalan-pangkalan tentera di seluruh negara, khususnya di kemudahan yang dirancang untuk menempatkan M10 Booker, berikutan kebimbangan bahawa lebih banyak kejadian seumpama ini boleh menjejaskan jadual latihan dan keselamatan anggota.
Perkembangan ini menambah satu lagi kegagalan dalam siri masalah yang membelenggu program M10 Booker.
Penganalisis memberi amaran bahawa kejadian jambatan runtuh ini boleh terus melemahkan keyakinan terhadap platform tersebut, sekali gus mencetuskan gesaan agar Pentagon menilai semula bukan sahaja keberkesanan kenderaan itu, tetapi juga tahap kesiapsiagaan infrastruktur domestik dalam menyokong sistem perisai moden.
M10 Booker, yang sebelum ini dikenali sebagai Mobile Protected Firepower (MPF), merupakan kenderaan tempur baharu Tentera Darat Amerika Syarikat yang dibangunkan oleh General Dynamics Land Systems (GDLS) untuk memberikan sokongan tembakan berat kepada unit infantri ringan di medan tempur.
Walaupun direka sebagai kenderaan “ringan”, M10 Booker mempunyai berat tempur sekitar 42 tan, menjadikannya lebih berat daripada kenderaan infantri tradisional dan hampir menyamai berat beberapa kereta kebal utama (main battle tank).

Dari segi persenjataan utama, M10 Booker dilengkapi dengan meriam 105mm rifled cannon, yang mampu memberikan tembakan langsung terhadap sasaran armor, kubu pertahanan, dan ancaman darat lain. Meriam ini dipasangkan dengan sistem pemuatan separa automatik dan menggunakan pelbagai jenis peluru standard NATO.
Senjata sampingan termasuk mesingan coaxial 7.62mm serta mesingan berat 12.7mm (0.50 cal) yang dipasang pada turet, menjadikan M10 sesuai untuk menghadapi ancaman infantri dan pesawat rendah.
Dari aspek perlindungan, kenderaan ini menggunakan armor modular yang boleh ditingkatkan mengikut keperluan misi. Ia direka untuk menahan tembakan senjata ringan, serpihan artileri, serta serangan IED tahap sederhana.
M10 Booker digerakkan oleh enjin diesel 800 kuasa kuda, membolehkan ia mencapai kelajuan maksimum sekitar 72 km/jam di jalan raya dan beroperasi dalam pelbagai medan kasar. Sistem gantungan laras (hydropneumatic suspension) memberikan kestabilan tinggi ketika tembakan bergerak dan semasa pergerakan pantas di medan tidak rata.
Kenderaan ini juga dilengkapi dengan sistem penglihatan dan sasaran generasi terkini, termasuk penderia inframerah, pengesan laser, dan sistem pengurusan medan tempur digital yang membolehkannya beroperasi secara rangkaian bersama unit lain.
Walaupun pada asalnya dimaksudkan untuk boleh diterbangkan menggunakan pesawat pengangkut C-130 Hercules, berat akhirnya menyebabkan M10 tidak sesuai untuk airdrop atau pengangkutan segera oleh platform tersebut. Ia kini lebih sesuai digunakan bersama pesawat lebih besar seperti C-17 Globemaster III.
— DEFENCE SECURITY ASIA