Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Thailand Perketat Kawalan Sempadan Dengan Malaysia, Elak Penularan COVID-19

Media tempatan Thailand melaporkan langkah itu bagi mengekang penularan Covid-19.

0 985

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Pasukan keselamatan di wilayah Narathiwat akan memperketat kawalan sempadan untuk memastikan tiada individu dari Malaysia memasuki Thailand.

Media tempatan Thailand melaporkan langkah itu bagi mengekang penularan Covid-19.

Arahan berkenaan susulan pengumuman kerajaan Malaysia untuk menguatkuasakan Sekatan Pergerakan Penuh, mulai esok.

Komander Divisyen Infantri Ke-5, Mejar Jeneral Santi Sakuntanak berkata, askar, renjer dan polis sempadan akan memperhebat rondaan untuk mengelak individu menyeludup masuk ke negara itu.

Beliau dilaporkan berkata, tentera akan memfokuskan rondaan di kawasan Waeng, Sungai Golok dan Tak Bai, yang bersempadan dengan Malaysia.

Thailand

Selepas mengesan Covid-19 varian Afrika Selatan membabitkan penularan tempatan di selatan Thailand awal bulan ini, pihak berkuasa meningkatkan langkah keselamatan di sepanjang sempadan Thailand-Malaysia yang hanya dipisahkan oleh Sungai Golok.

Tinjauan Bernama mendapati pasukan keselamatan memasang kawat berduri dan mendirikan pusat pemeriksaan, manakala anggota keselamatan ditempatkan di beberapa kampung di Koh Sathon di Tak Bai, Narathiwat.

Kes varian Afrika Selatan atau B.1.351 dilaporkan di Koh Sathon, selatan Thailand membabitkan lelaki tempatan berusia 32 tahun, yang isterinya warga Malaysia, anak dan ibu mentua menyeberang sempadan secara sah dari Malaysia. Kesemua mereka tidak menjalani kuarantin wajib.

Setakat ini 83 orang dari kluster berkenaan disahkan positif dan 11 dijangkiti varian Afrika Selatan.

Pihak berkuasa tempatan melaksanakan kawalan pergerakan penuh di sekurang-kurangnya 11 kampung di tiga daerah – Tak Bai, Sungai Padi dan Bacho dari 4 hingga 22 Mei. Namun, dilanjutkan sehingga keadaan bertambah baik.

Malaysia

Sementara itu, penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata, kerajaan telah mengarahkan pihak berkuasa berkaitan memperketat kawalan sempadan bagi mencegah penyeberangan haram di sempadan untuk membendung penularan varian.

“Polis Peronda Sempadan akan meningkatkan kekerapan rondaan di sepanjang sempadan, menambah penggunaan peralatan teknikal termasuk dron dan mendirikan lebih banyak pusat pemeriksaan.

“Kementerian Dalam Negeri akan meningkatkan langkah keselamatan di wilayah sempadan dan memperkuat usaha menghalang migran haram dan pemerdagangan manusia,” katanya

Setiausaha Tetap Kementerian Dalam Negeri Chatchai Promlert mendesak semua pihak terlibat dalam pengawasan untuk mencegah penyeberangan sempadan secara haram.

“Penglibatan pelbagai pihak termasuk orang awam akan membantu operasi pegawai tentera dan polis, mengekang kemasukan secara haram melalui sempadan dan melaksanakan langkah-langkah kawalan penyakit,” katanya.

DEFENCE SECURITY ASIA

 

 

 

 

 

 

 

 

Comments
Loading...