Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Konflik Gaza: 5 Ribu Tentera Israel Sah Cedera, 2 Ribu Darinya Cacat Kekal

Akhbar berbahasa Hebrew dan terbesar daripada segi edaran serta jualan di Israel,  “Yediot Ahronoth” yang mendedahkan perkara itu berkata, 58 peratus daripada anggota tentera yang cedera itu mengalami kecederaan parah di bahagian tangan dan kaki sehingga memaksa bahagian-bahagian tubuh mereka dipotong (amputations).

0 34,536

(DEFENCE SECURITY ASIA) —  Sejak konflik di Semenanjung Gaza tercetus pada 7 Oktober lalu, lebih daripada 5,000 anggota tentera Israel disahkan mengalami kecederaan dengan 2,000 daripada mereka diperakui oleh Kementerian Pertahanan negara itu mengalami kecacatan kekal.

Menurut akhbar berbahasa Hebrew dan terbesar daripada segi edaran serta jualan di Israel,  “Yediot Ahronoth” yang mendedahkan perkara itu berkata, 58 peratus daripada anggota tentera yang cedera itu mengalami kecederaan parah di bahagian tangan dan kaki sehingga memaksa bahagian-bahagian tubuh mereka dipotong (amputations).

Akhbar Israel itu menyatakan bahawa apa yang dialami oleh tentera Israel itu tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Lebih daripada 5,000 anggota tentera yang cedera telah diterima oleh hospital-hospital di Israel. Lebih daripada 2,000 daripada mereka diperakui secara rasmi oleh Kementerian Pertahanan sebagai cacat,” menurut akhbar itu.

Timbalan Ketua Pengarah dan ketua Jabatan Rehabilitasi Kementerian Pertahanan Israel Limor Luria memberitahu akhbar terbabit bahawa mereka tidak pernah berhadapan dengan perkara yang sama seperti ini.

Tentera

“Kita tidak pernah mengalami seperti ini. Lebih daripada 58 peratus daripada yang cedera memiliki kecederaan yang parah di bahagian tangan dan kaki termasuk terpaksa dipotong.”

“Lebih daripada 12 peratus daripada kecederaan melibatkan organ dalaman seperti limpa, buah pinggang dan kecederaan di bahagian organ yang lain,” menurut beliau.

Beliau juga berkata bahawa lebih daripada 7 peratus daripada anggota tentera yang cedera juga mengalami masalah psikologi, di mana beliau menjangkakan bilangan itu meningkat dengan mendadak selepas ini.

Dalam satu temuramah bulan lepas, pengarah di Tanah Perkuburan Tentera Mount Herzl, David Oren Baruch mendedahkan bahawa seorang anggota tentera Israel dikuburkan di antara setiap satu jam dan satu jam setengah.

 Bercakap pada 19 November lalu, beliau berkata, “Kita sedang berhadapan dengan fasa dimana pengebumian berlaku setiap jam dan sejam setengah selepas itu satu lagi majlis pengebumian berlaku.”

“Di Tanah Perkuburan Tentera Mount Herzl sahaja, kita mengebumikan 50 anggota tentera di dalam tempoh 48 jam,” kata beliau.

Israel

Sementara itu koresponden tentera bagi akhbar Haaretz, Yaniv Kubovits pula berkata bahawa komander tentera Israel melaporkan bahawa terdapat empat battalion Hamas di Khan Yunis.

Komander tentera Israel itu katanya, menekankan bahawa kemampuan Hamas melancarkan serangan terhadap tentera Israel itu kekal tidak terjejas.

Menurut Kementerian Pertahanan Israel, sejak bermulanya konflik bersenjata dengan pejuang-pejuang Palestin di Semenanjung Gaza pada 7 Oktober lalu, seramai 420 anggota tentera negara itu disahkan telah terbunuh.

Bilangan anggota tentera Israel yang terbunuh dan tercedera dijangka akan meningkat selagi operasi darat tentera Israel di Semenanjung Gaza itu berterusan.

Sementara itu, bilangan kematian penduduk Palestin sejak bermulanya konflik dengan Israel semakin menghampiri 18,000 orang dengan lebih daripada 70 peratus kematian adalah golongan wanita dan kanak-kanak tidak bersalah. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact: lulwabyadah@gmail.com

 

Comments
Loading...