Tentera Darat Malaysia Tembak MLRS “ASTROS II” Dalam Eks Lembing Sakti
Eksesais “Lembing Sakti” ini merupakan latihan tahunan Briged Artileri Roket, Tentera Darat yang dilaksanakan sejak tahun 2003 berkonsepkan pertahanan pantai dan perlaksanaan ujian tembakan Complete Round Proof (CRP) bagi Roket SS 40 dan tembakan Roket SS 40., Roket SS 30, peluru meriam Base Bleed dan lain-lain.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Darat Malaysia (TDM) telah melaksanakan latihan tembakan Sistem Roket Lancar Berganda (SRLB) ASTROS II dalam Eksesais “Lembing Sakti” di Tanjung Hantu, Lumut pada 30 Mei 2024.
Eksesais itu telah disaksikan oleh Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan pegawai-pegawai kanan Tentera Darat Malaysia yang lain.
Eksesais “Lembing Sakti” ini merupakan latihan tahunan Briged Artileri Roket, Tentera Darat yang dilaksanakan sejak tahun 2003 berkonsepkan pertahanan pantai dan perlaksanaan ujian tembakan Complete Round Proof (CRP) bagi Roket SS 40 dan tembakan Roket SS 40.
Selain itu ia juga menyaksikan penembakan Roket SS 30, dan tembakan menggunakan Base Bleed dari Meriam 155 mm G5 MK III serta melaksanakan penjejakan ke atas tembakan roket di tapak menembak Tanjung Hantu dengan Radar ATHUR dari 61 RAD.
Eksesais “Lembing Sakti” itu juga menguji dan menilai kompetensi pegawai serta anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dalam melaksanakan tembakan roket hidup.
Ia juga menguji tahap kesiagaan pasukan yang mana turut dibantu oleh Tentera Laut Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia dan agensi penguatkuasaan awam setempat dalam keselamatan latihan.
Sebaik ketibaan PTD, beliau disambut dan menerima ucapan aluan oleh Panglima Briged Artilleri Roket Brig Jen Mohd Tawil Hj Daud kemudian diteruskan dengan taklimat latihan oleh Pegawai Memerintah Rejimen Ke-51 Artileri Diraja (51 RAD), Lt Kol Rasman Ramlai seterusnya menyaksikan latihan tembakan SRLB ASTROS II dan Meriam 155 mm G5 MK.
Acara diteruskan lagi dengan sesi tembakan dari tetamu jemputan bagi merasai sendiri pengalaman melaksanakan tembakan Roket SS-30 dan diakhiri dengan tembakan Meriam 155 mm G5 MK III.
Sebanyak tujuh butir peluru 155 mm yang terdiri daripada tiga peluru ILLUM dan empat peluru Smoke ditembak di mana tembakan ini dilaksanakan untuk menguji keupayaan Base Bleed yang telah berada di dalam inventori Tentera Darat (TD) sejak tahun 2001.
Ini adalah kali pertama ianya ditembak.
Base Bleed adalah sistem pada peluru artilleri yang dapat meningkatkan jarak tembakan kepada 30 hingga 35 peratus.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato Pahlawan Hj Muhammad Huzaimi Sabri dan Ketua Staf TD, Lt Jen Dato’ Zaidan Atan.
Tentera Darat memperolehi SRLB ASTROS II daripada firma Avibras, Brazil.
Ia telah ditauliahkan dalam Rejimen Artileri sejak tahun 2002 dengan kekuatan satu rejimen dan pembentukan rejimen kedua SRLB ASTROS beberapa tahun kemudian menjadikan jumlah sistem artileri roket berganda itu dalam tentera darat meningkat kepada 36 buah kenderaan pelancar.
Sistem artileri ini memberikan TD keupayaan serangan strategik yang mampu menjangkau jarak dari sembilan kilometer (km) sehingga 90km dengan pelancar yang boleh menggunakan roket pelbagai kaliber.
Pada masa sama, sistem lancaran roket berganda ini mampu menyebabkan kemusnahan skala besar pada kawasan sasaran yang dikehendaki seiring dengan nama ASTROS yang bermaksud Artillery Saturation Rocket System.
Kesemua roket menggunakan kepala peledak High Explosive (HE) yang mana Tiub pelancar roket pada sistem ASTROS II ini boleh ditukar ganti bersesuaian dengan roket yang digunakan.
Turut dilaporkan, syarikat Brazil, Avibras dikatakan telah membangunkan keupayaan melancarkan peluru berpandu menerusi sistem pelancar ASTROS 2020 dengan jangkauan jarak sehingga 300km.
Dipanggil ASTROS 2020 atau MK6, sistem akan diintergrasikan dengan peluru berpandu kruis “AVMT-300” yang mampu membedil sasaran sejauh 300km, sama seperti MGM-140 Army Tactical Missile System (ATACMS) yang dilancarkan oleh HIMARS yang dibangunkan oleh firma Lockheed, Amerika Syarikat.
Selain diintergrasikan dengan peluru berpandu kruis, sistem ASTROS 2020 juga akan dilengkapi dengan roket-roket yang baru dibangunkan termasuk SS-AV-40G yang merupakan roket berkaliber 180mm dipandu dengan sistem Global Positioning System (GPS).
Roket SS-AV-40G ini mampu membedil sasaran sejauh 40km.
Selain itu, sistem ASTROS 2020 itu juga akan dilengkapi dengan roket baru dipanggil SS-150 yang mampu membedil sasaran sejauh 150km.
Peluru berpandu kruis “AVMT-300” juga digelar “Matador” dikatakan adalah alternatif murah kepada peluru berpandu Tomahawk.
“Matador” dilengkapi dengan sistem computer yang digabungkan dengan giroskop laser yang dijaring dengan dengan alat navigasi GPS bagi membolehkan peluru berpandu kruis itu dibekalkan dengan maklumat tepat tentang koordinat dan kedudukan sasaran.
Peluru berpandu kruis yang dilancarkan daripada kenderaan pelancar ASTROS 2020 itu dilengkapi dengan kepala peledak seberat 200kg atau peluru cluster
Setiap “Matador” mampu membawa 64 buah submunitions yang operasi anti-personnel atau anti-kereta kebal. — DSA
Comments are closed.