Tentera Darat Malaysia dan Amerika Syarikat Lancar Roket-Roket ASTROS II, HIMARS Dalam Eks Lembing Sakti
Eksesais Lembing Sakti 2025 merupakan eksesais tembakan roket hidup berskala besar yang melibatkan roket SS-30 dan SS-40 Artillery Saturation Rocket System (ASTROS) daripada Briged Artileri Roket serta sistem persenjataan HIMARS dari Tentera Darat Amerika Syarikat.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Tentera Darat Malaysia telah melaksanakan Eksesais Lembing Sakti 2025 yang menyaksikan pelancaran roket-roket Artillery Saturation Rocket System II (ASTROS II) daripada Briged Artileri Roket, Tentera Darat Malaysia dan M142 High Mobility Artillery Rocket System (HIMARS) Tentera Darat Amerika Syarikat.
Ia dipercayai kali pertama pelancaran roket HIMARS milik Tentera Darat Amerika Syarikat di Malaysia.

Eksesais Lembing Sakti 2025 di berlangsung di Lapang Sasar Tanjung Hantu, Hutan Simpan Segari Melintang dan disaksikan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah danRaja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.
Turut menyaksikan eksesais itu adalah Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia Edgard D.Kagan dan Timbalan Komander Tentera Darat Amerika Syarikat di Pasifik (USARPAC DCG) Mejar Jeneral Reginald Neal.
Menurut kenyataan media sosial Tentera Darat Malaysia, Eksesais Lembing Sakti 2025 merupakan eksesais tembakan roket hidup berskala besar yang melibatkan roket SS-30 dan SS-40 Artillery Saturation Rocket System (ASTROS) daripada Briged Artileri Roket serta sistem persenjataan HIMARS dari Tentera Darat Amerika Syarikat.
“Eksesais ini turut melibatkan kerjasama antara pelbagai agensi pertahanan dan keselamatan seperti TLDM, TUDM, APMM dan Polis Gerakan Marin. “
“Selain menguji kesiapsiagaan dan keberkesanan sistem senjata, eksesais ini juga menyaksikan pelaksanaan Complete Round Proof (CRP) roket SS-30 dan SS-40 dengan kerjasama Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE).”
“Eksesais ini bukan sahaja memperkukuh keupayaan tempur dan kesediaan anggota Tentera Darat Malaysia, malah mengukuhkan hubungan pertahanan dua hala dengan negara sahabat. Latihan bersama seumpama ini memberi nilai tambah kepada pengoperasian peluru berpandu artileri moden dan memperkasakan koordinasi antara domain darat, laut dan udara dalam menghadapi ancaman masa hadapan,” menurut Tentera Darat Malaysia.
Tentera Darat Malaysia memperolehi ASTROS II daripada firma Avibras, Brazil.

Ia telah ditauliahkan dalam Rejimen Artileri sejak tahun 2002 dengan kekuatan satu rejimen dan pembentukan rejimen kedua ASTROS beberapa tahun kemudian menjadikan jumlah sistem artileri roket berganda itu dalam tentera darat meningkat kepada 36 buah kenderaan pelancar.
Sistem artileri ini memberikan Tentera Darat Malaysia keupayaan serangan strategik yang mampu menjangkau jarak dari sembilan kilometer (km) sehingga 90km dengan pelancar yang boleh menggunakan roket pelbagai kaliber.
Kesemua roket menggunakan kepala peledak High Explosive (HE) yang mana Tiub pelancar roket pada sistem ASTROS II ini boleh ditukar ganti bersesuaian dengan roket yang digunakan.
Sistem ASTROS II direka untuk menyokong pelbagai jenis roket dengan kaliber dan jarak berbeza, menjadikannya antara sistem pelancar roket paling fleksibel dan berkeupayaan tinggi di pasaran.
Antara peluru yang boleh dilancarkan termasuk roket SS‑09TS berkaliber 70mm dengan jarak antara 4 hingga 10 kilometer, serta roket SS‑30 berkaliber 127mm yang mampu mencapai sasaran sejauh 30 kilometer.
Bagi misi yang memerlukan ketepatan tinggi, ASTROS II boleh melancakan roket-roket SS‑40 dan SS‑40G berpandukan GPS sejauh 40 kilometer.
Untuk sasaran jarak sederhana hingga jauh, sistem ini boleh melancarkan roket SS‑60 dan SS‑80/SS‑80G berkaliber 300mm dengan sehingga sejauh 90 kilometer, manakala roket SS‑150 berkaliber 450mm yang berpandukan GPS mampu menyerang sasaran pada jarak sehingga 150 kilometer.

Keupayaan paling strategik terletak pada peluru berpandu AV‑TM 300, sejenis peluru berpandu jelajah (cruise missile) sehingga sejauh 300 kilometer, memberikan dimensi serangan mendalam terhadap sasaran bernilai tinggi jauh dari medan tempur.
Satu sistem ASTROS II yang lengkap terdiri daripada pelbagai kenderaan khusus yang membentuk satu bateri atau batalion artileri roket mobil sepenuhnya.
Komponen utama termasuk AV-VCC, iaitu kenderaan komando peringkat batalion (4×4), dan AV-PCC, kenderaan komando bagi peringkat bateri (4×4), yang mengkoordinasikan operasi tembakan secara menyeluruh.
Sistem turut dilengkapi AV-UCF, kenderaan radar kawalan tembakan (6×6) yang memainkan peranan kritikal dalam pengesanan dan pengiraan data balistik untuk ketepatan serangan.
Unsur utama sistem ialah AV-LMU, iaitu kenderaan pelancar roket (6×6), dengan bilangan lazimnya sebanyak enam unit dalam setiap bateri operasi.
Bagi memastikan kesinambungan tembakan, sistem ini turut disokong oleh AV-RMD, kenderaan bekalan peluru (6×6) yang membawa peluru berpandu pelbagai kaliber bagi tujuan pengisian semula segera di medan operasi.
Komponen penyelenggaraan medan diwakili oleh AV-OFVE, kenderaan bengkel bergerak, manakala AV-MET, stesen cuaca bergerak (4×4), menyediakan data meteorologi penting bagi mengoptimumkan ketepatan tembakan.
Kesemua aset ini direka bentuk untuk mobiliti strategik tinggi dan boleh dipindahkan menggunakan pesawat pengangkut C-130 Hercules, menjadikan ASTROS II antara sistem artileri roket yang paling mudah digerakkan dan dikerahkan dalam sebarang bentuk operasi tempur.
Sistem ASTROS II adalah platform peluru berpandu saturasi strategik yang sangat berkuasa dan fleksibel.
Ia mampu menembak pelbagai jenis roket pada pelbagai jarak, memberikan keupayaan taktikal berkesan untuk sasaran besar atau kawasan luas.
HIMARS ialah singkatan bagi High Mobility Artillery Rocket System, iaitu sistem pelancar roket pelbagai (MLRS) mobil tinggi yang dibangunkan oleh Lockheed Martin untuk kegunaan Angkatan Tentera Amerika Syarikat dan sekutu.
Direka untuk menyampaikan tembakan artileri ketepatan tinggi dari pelantar yang ringan dan mudah digerakkan, HIMARS telah terbukti sebagai aset taktikal yang sangat efektif dalam pelbagai medan konflik termasuk di Ukraine dan Timur Tengah.
HIMARS dipasang pada casis trak FMTV 6×6 (Family of Medium Tactical Vehicles), menjadikannya jauh lebih ringan dan pantas berbanding sistem MLRS tradisional M270 yang menggunakan casis berantai.
Sistem ini boleh diangkut dengan pesawat C-130 Hercules, membolehkan ia dikerahkan secara pantas ke kawasan operasi jauh atau terpencil.
Setiap sistem HIMARS membawa 1 pod peluru berpandu, berbanding M270 yang membawa 2 pod.
Pod tersebut boleh dimuatkan dengan:
- 6 roket kaliber 227mm (GMLRS – Guided Multiple Launch Rocket System)
- atau 1 peluru berpandu taktikal jarak jauh ATACMS (Army Tactical Missile System)
- atau versi lebih baharu seperti PrSM (Precision Strike Missile) dengan jarak yang lebih jauh dan ketepatan lebih tinggi.
Sistem HIMARS menyokong pelbagai jenis roket dan antaranya:
- GMLRS (Guided MLRS) – Julat sekitar 70–85 km, dengan ketepatan tinggi menggunakan pemanduan inersia dan GPS.
- ATACMS (Block I/IA) – Peluru berpandu balistik taktikal dengan julat antara 165 hingga 300 km.
- PrSM (Precision Strike Missile) – Generasi baharu ATACMS, dengan sasaran julat sehingga 500+ km, dijangka menjadi standard mulai 2025–2026.
Peluru berpandu ini direka untuk menghentam sasaran bernilai tinggi seperti pusat kawalan, pertahanan udara, lapangan terbang, dan simpul logistik musuh.
HIMARS menggunakan sistem pemanduan canggih GPS/INS yang membolehkan peluru berpandu menyerang sasaran dengan margin kesilapan kurang daripada 10 meter, walaupun pada jarak maksimum.
Kemampuan ini memberikan kelebihan strategik dalam menyerang sasaran musuh dari jauh tanpa perlu menghampiri kawasan berisiko tinggi.
HIMARS mula beroperasi secara rasmi dalam Angkatan Tentera Amerika Syarikat pada tahun 2005 dan telah digunakan secara meluas dalam operasi di Iraq, Syria, dan Afghanistan.
Sejak konflik Rusia–Ukraine, HIMARS memainkan peranan utama dalam serangan tepat terhadap depot senjata, jambatan, dan pusat kawalan tentera Rusia, sekaligus meningkatkan permintaan global terhadap sistem ini.
