Tentera Darat Amerika Syarikat Sifatkan Dron MQ-1C Gray Eagle “Sudah Lapuk, Ketinggalan Zaman”
Pada 1 Mei lalu,Ketua Staf Tentera Darat Amerika Syarikat Jeneral Randy George dan Setiausaha Tentera Darat Amerika Syarikat Dan Driscoll telah mengeluarkan memo bersama yang seolah-oleh menamatkan riwayat dron MQ-1C Gray Eagle.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Walaupun masih dianggap sebagai dron yang canggih, namun bagi Tentera Darat Amerika Syarikat — ia menyifatkan dron MQ-1C Gray Eagle dibangunkan oleh General Atomics sebagai sebuah dron yang “sudah lapuk, ketinggalan zaman” dan memutuskan untuk menghentikan pembeliaannya.
Pada 1 Mei lalu,Ketua Staf Tentera Darat Amerika Syarikat Jeneral Randy George dan Setiausaha Tentera Darat Amerika Syarikat Dan Driscoll telah mengeluarkan memo bersama yang seolah-oleh menamatkan riwayat dron MQ-1C Gray Eagle.
“Kita akan membatalkan perolehan pesawat berpemandu seperti helikopter penyerang Apache AH-64D dan juga dron-dron yang telah usang seperti (MQ-1C) Gray Eagle,” menurut memo bersama yang dikeluarkan itu.
“Tentera Darat kita akan berubah kepada angkatan yang lebih berkuasa dengan memasukkan teknologi, meninggalkan teknologi yang sudah lapok dan mengurangkan halangan yang mengalahkan musuh-musuh di medan peperangan yang sentiasa berubah.”
Selain dron MQ-1C Gray Eagle, Tentera Darat Amerika Syarikat juga mensasarkan beberapa platform lain untuk ditamatkan perkhidmatannya termasuk kenderaan Humvee yang telah lama berkhidmat dengan tentera Amerika Syarikat serta Joint Light Tactical Vehicle (JLTV) dan juga helikopter penyerang Apache AH-64D.
Keputusan untuk menamatkan pembelian dron tersebut adalah sebahagian daripada inisiatif reformasi Tentera Darat Amerika Syarikat yang dikenali sebagai Inisiatif Transformasi Tentera Darat (ATI), yang turut diumumkan pada 1 Mei 2025.
ATI merupakan satu strategi menyeluruh yang dirangka bagi memodenkan dan merombak semula struktur Tentera Darat Amerika Syarikat sebagai reaksi balas terhadap ancaman global yang semakin kompleks serta kemajuan teknologi yang pesat.

Inisiatif ini diterajui oleh Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Pete Hegseth, dan selari dengan satu memo yang dikeluarkan oleh beliau pada 30 April lalu, yang menggesa agar Tentera Darat Amerika Syarikat menamatkan program-program yang “lapuk, bertindih dan tidak efisien” demi memberi keutamaan kepada bidang baharu seperti pertahanan udara dan peluru berpandu serta bom berketepatan tinggi jarak jauh.
Tanpa menamakan mana-mana platform secara khusus, memo tersebut turut menyeru agar perolehan sistem yang dianggap “usang” dihentikan, termasuk “dron-dron lama yang tidak lagi relevan.”
MQ-1C Gray Eagle merupakan antara dron taktikal paling berkeupayaan yang digunakan oleh Tentera Darat Amerika Syarikat, dibangunkan oleh syarikat General Atomics Aeronautical Systems sebagai platform tanpa pemandu berperanan dalam operasi risikan, pengawasan, peninjauan (ISR) dan serangan jarak jauh.
Dron bersaiz besar ini mampu terbang selama lebih 27 jam secara berterusan, dengan altitud operasi sehingga 29,000 kaki dan kelajuan maksimum sekitar 280 km/j, menjadikannya sesuai untuk operasi kawalan sempadan, misi antikeganasan serta operasi ketenteraan konvensional dan tidak konvensional.
Gray Eagle dilengkapi dengan pelbagai sistem penderiaan canggih seperti kamera elektro-optikal/infrared (EO/IR), radar Synthetic Aperture Radar (SAR), serta sistem komunikasi satelit yang membolehkannya menjejak, mengenal pasti dan menyerang sasaran secara autonomi dari jarak jauh.
Dari segi persenjataan, MQ-1C mampu membawa sehingga empat peluru berpandu Hellfire AGM-114, menjadikannya bukan sahaja alat pemantauan tetapi juga platform serangan tepat terhadap sasaran bernilai tinggi seperti kenderaan berperisai ringan, struktur pertahanan musuh, serta individu sasaran khas.

Salah satu kelebihan utama Gray Eagle ialah keupayaannya untuk diintegrasikan terus dengan formasi taktikal darat, memberikan sokongan udara berterusan kepada pasukan infantri dan perisai dalam medan perang yang dinamik serta meminimumkan risiko kepada anggota di barisan hadapan.
Dron ini juga boleh dikendalikan dari jauh atau secara separa autonomi melalui stesen kawalan darat mudah alih, dan keupayaan data link yang stabil membolehkan perkongsian maklumat secara langsung dengan sistem medan tempur yang lain termasuk helikopter Apache dan pesawat tanpa pemandu lain.
Sejak diperkenalkan dalam operasi ketenteraan di Timur Tengah, MQ-1C Gray Eagle telah membuktikan keberkesanannya dalam misi pengintipan, penjejak sasaran dan serangan ketepatan tinggi dalam pelbagai situasi konflik, menjadikannya komponen penting dalam sistem peperangan moden Amerika Syarikat.
Pegawai tentera darat Amerika Syarikat melihat MQ-1C Gray Eagle sebagai aset yang telah terbukti berkesan dalam misi-misi sebenar di Iraq, Syria, dan Afghanistan, khususnya dalam operasi ISR (Intelligence, Surveillance, Reconnaissance) dan serangan ketepatan terhadap sasaran bernilai tinggi.
Gray Eagle telah pun berjaya diintegrasikan dengan helikopter serang AH-64E Apache Guardian dalam konsep “Manned-Unmanned Teaming (MUM-T)”, membolehkan kedua-dua platform berkongsi data sasaran dan video secara langsung. Ia meningkatkan keberkesanan tembakan dan pengesanan sasaran dalam medan tempur.
Terdapat kebimbangan bahawa menamatkan pengoperasian MQ-1C tanpa pengganti yang benar-benar bersedia secara operasi akan mencipta “capability gap” dalam komponen ISR dan sokongan serangan jarak jauh, terutamanya dalam teater konflik berskala sederhana dan rendah.
