Tentera Amerika Syarikat Akan Terus Bertapak Di Filipina
Perjanjian VFA itu membenarkan penempatan ribuan anggota tentera Amerika Syarikat di Filipina (secara rotation) untuk tujuan latihan tentera bersama dan kerjasama teknikal.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Presiden Filipina Rodrigo Duterte telah memutuskan untuk melanjutkan lagi perjanjian ketenteraan dengan Amerika Syarikat dipanggil “Visiting Forces Agreement” (VFA) pada ketika negara Asia Tenggara itu bertelagah dengan China tentang soal Laut China Selatan.
Perjanjian VFA itu membenarkan penempatan ribuan anggota tentera Amerika Syarikat di Filipina (secara rotation) untuk tujuan latihan tentera bersama dan kerjasama teknikal.
Pada tahun lepas, Presiden Filipina itu menyatakan akan membatalkan perjanjian VFA tetapi kemudian memutuskan untuk melanjutkannya sehingga Disember ini.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden Duterte kerana mengembalikan semula perjanjian itu,” kata setiausaha pertahanan Amerika Syarikat Lloyd Austin pada sidang media bersama dengan rakan sejawatannya daripada Filipina, Delfin Lorezana di Manila, sebentar tadi.
Katanya, keputusan Duterte itu memberikan kepastikan kepada Amerika Syarikat untuk merancang program-program pada masa akan datang.
Dibawah perjanjian VFA itu menurut setiausaha pertahanan Amerika Syarikat itu, negara itu telah menghantar anggota tenteranya ke Mindanao, di selatan Filipina untuk membantu negara itu menangani masalah insurgensi/keganasan.
Anggota komando dan penasihat-penasihat teknikal Amerika Syarikat diketahui berada di Mindanao untuk membantu tentera Filipina menangani masalah keselamatan di selatan negara itu.
Setiausaha pertahanan Filipina itu pula berkata, beliau tidak pasti mengapa Duterte mengubah pendiriannya tetapi ia berlaku selepas pertemuan dengan setiausaha pertahanan Amerika Syarikat itu.
Bagaimanapun beliau berkata perjanjian VFA dengan Amerika Syarikat itu amat penting “untuk keselamatan dan kestabilan serta kemakmuran di Indo-Pasifik.”
Bagi Amerika Syarikat, perjanjian VFA yang membenarkan ia untuk menempatkan anggota tentera di Filipina itu adalah amat penting bukan sahaja untuk mempertahankan negara Asia Tenggara itu daripada ancaman luar tetapi juga penting untuk menangani sikap agresif China di Laut China Selatan.
Sama seperti yang dihadapi oleh negara-negara littoral Laut China Selatan termasuk Malaysia, Beijing telah menghantar kapal-kapal pengawal pantainya serta bot-bot nelayan militia maritimnya kepada perairan negara terbabit dengan alasan perairan itu adalah miliknya.
Itulah yang dihadapi oleh kita di kawasan perairan sekitar Beting Patinggi Ali yang kaya dengan minyak dan gas.
Dalam kejadian terbaru, China telah menghantar ratusan bot-bot nelayan ke Whitsun Reef yang terletak di dalam perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Filipina di Laut China Selatan.
Selalunya, kehadiran ratusan bot-bot nelayan “militia maritim” China itu akan diiringi oleh kapal-kapal pengawal pantai negara itu.
Comments are closed.