Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Panglima TUDM Tinjau Kemudahan Pembuatan Pesawat LCA “Tejas”

Ketika berada di India, beliau turut diberi kesempatan melawat ke kilang pembuatan pesawat Hindustan Aeronautics Limited (HAL) di selatan India pada 15 Feb 2023 dan melihat dengan lebih dekat pembuatan pesawat tempur ringan (LCA) Tejas HAL di Bangalore.

0 5,786

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan telah menghadiri Aero India 2023 yang berlangsung di Stesen Tentera Udara di Yelahanka, Bangalore, India.

Menurut kenyataan TUDM menerusi media sosial, Panglima TUDM dan delegasi menghadiri Majlis pembukaan rasmi Aero India pada 13 Feb 23 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri India Narendra Modi.

 Aero India 2023 menjadi platform terbaik bagi Panglima TUDM untuk memanfaatkan peluang bertemu rakan sejawatan serta mengeratkan hubungan kerjasama pertahanan di peringkat antarabangsa.

Ketika berada di India, beliau turut diberi kesempatan melawat ke kilang pembuatan pesawat Hindustan Aeronautics Limited (HAL) di selatan India pada 15 Feb 2023.

Panglima TUDM telah dibawa melawat lokasi pembuatan pesawat tempur ringan (LCA) Tejas HAL di Bangalore.

Tejas
(TUDM)

 

Pegawai HAL turut menyampaikan taklimat mengenai kompleks tersebut serta kemudahan pengeluarannya.

Panglima TUDM turut menaiki kokpit Tejas untuk melihat lebih dekat peralatan yang terdapat di dalam pesawat pejuang itu.

Sehari sebelum itu, beliau telah mengadakan perbincangan dengan pegawai HAL mengenai perkhidmatan penyelenggaraan jet pejuang Sukhoi Su-30MKM buatan Rusia yang digunakan oleh Malaysia.

HAL telah membina pesawat SU-30 MKI yang digunakan oleh Tentera Udara India menggunakan lesen daripada United Aircraft Corporation (UAC) Rusia.

Dua hari lepas,pengerusi dan pengarah urusan HAL, C B Ananthakrishnan dalam satu laporan berita oleh agensi berita Reuters ketika menghadiri Aero India di Bengaluru berkata, syarikat itu berhadapan “rintangan kecil” (slight setback) dalam persaingan sengit dengan syarikat Korea Selatan untuk merebut kontrak membekalkan 18 buah pesawat Light Combat Aircraft (LCA) bagi memenuhi keperluan TUDM.

Tejas
(TUDM)

 

“Kita tidak menerima apa-apa dalam hitam dan putih, tetapi kami mendengar bahawa (syarikat) Korea Selatan akan menerima pesanan (daripada kerajaan Malaysia).”

“Walaupun begitu, kita masih berusaha untuk menonjolkan produk kami (Tejas),” kata Ananthakrishnan.

Ketika di Aero India, Panglima TUDM juga telah mengadakan pertemuan dengan Naib Ketua Turus Angkatan Pertahanan Udara Jepun, Leftenan Jeneral Takuto Ogasawara.

Selain itu, Panglima TUDM turut membuat kunjungan hormat, antaranya kepada rakan sejawatan beliau iaitu Air Chief Marshal Vivek Ram Chaudhari (VR Chaudhari).

Dalam pertemuan tersebut, antara perkara yang dibincangkan adalah berkenaan pengukuhan hubungan dua hala antara kedua-dua angkatan udara dari segi latihan dan kepakaran.

Tejas
TUDM

 

Dalam kesempatan di pertemuan tersebut juga, Panglima Tentera Udara turut menjemput Air Chief Marshal VR Chaudhari bagi menghadiri Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 dan juga Indian Air Force (IAF) untuk menyertai LIMA ’23. 

Selain daripada itu, Panglima TUDM turut mengunjungi beberapa booth-booth pempamer yang terlibat.

Beliau dan delegasi turut mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pemain utama industri pertahanan antarabangsa, antaranya Rosoboronexport yang merupakan syarikat pensenjataan negara Rusia bersama United Aircraft Corporation (UAC) dan Syarikat Aerospace Technology Systems Corporation Sdn Bhd (ATSC).

Tejas
(TUDM)

 

Beliau turut mempelawa syarikat tersebut untuk menyertai LIMA ’23 selain mengadakan perbincangan berkenaan penyelenggaraan pesawat Sukhoi.

Panglima Tentera Udara turut mengadakan pertemuan bersama Syarikat Lockheed Martin Corporation iaitu sebuah syarikat penerbangan aeroangkasa, pertahanan, keselamatan dan teknologi global Amerika Syarikat serta beberapa booth pempamer yang lain. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...