Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Tejas” Mengaku Kalah Dalam Persaingan Di Malaysia?

“Kita tidak tidak menerima apa-apa dalam hitam dan putih, tetapi kami mendengar bahawa (syarikat) Korea Selatan akan menerima pesanan (daripada kerajaan Malaysia)” -- pegawai kanan syarikat Hindustan Aeronautics Ltd (HAL).

0 10,988

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat Hindustan Aeronautics Ltd (HAL) telah secara tidak langsung mengakui bahawa pesawat pejuang ringan “Tejas” yang dibangunkannya, telah “kalah” dalam persaingan dengan syarikat Korea Selatan untuk merebut kontrak di Malaysia.

Perkara itu disahkan sendiri oleh pengerusi dan pengarah urusan HAL, C B Ananthakrishnan dalam satu laporan berita oleh agensi berita Reuters ketika menghadiri Aero India di Bengaluru.

Beliau mengakui bahawa HAL berhadapan “rintangan kecil” (slight setback) dalam persaingan yang sengit dengan syarikat Korea Selatan dalam persaingan di Malaysia.

“Kita tidak tidak menerima apa-apa dalam hitam dan putih, tetapi kami mendengar bahawa (syarikat) Korea Selatan akan menerima pesanan (daripada kerajaan Malaysia).”

“Walaupun begitu, kita masih berusaha untuk menonjolkan produk kami (Tejas),” kata Ananthakrishnan.

Tejas
Aksi pesawat “Tejas” pada Singapore Air Show 2022.

 

Dalam persaingan untuk membekalkan 18 buah pesawat pejuang ringan (Light Combat Aircraft) kepada Malaysia, syarikat Korea Selatan, Korea Aerospace Industries (KAI) menampilkan pesawat FA-50.

Walaupun secara tidak langsung telah mengaku kalah dalam persaingan di Malaysia, Ananthakrishnan mengaku bahawa beberapa negara lain berminat dengan pesawat pejuang ringan Tejas yang dibangunkan oleh syarikat India itu.

Selain Malaysia yang menunjukkan minat terhadap Tejas, negara-negara lain yang turut menunjukkan minat terhadap pesawat itu adalah Argentina, Mesir dan Botswana.

Bagaimanapun laporan-laporan media pertahanan antarabangsa baru-baru ini mengatakan bahawa Mesir bakal memilih pesawat FA-50 buatan KAI, manakala Argentina pula telah menangguhkan sebarang pembelian pesawat pejuang walaupun Amerika bercadang menawarkan F-16 untuk mengelak Buenos Aires memperolehi JF-17 buatan China. 

Selain pesawat pejuang ringan Tejas, HAL turut mengadakan perbincangan dengan Filipina untuk menjual helikopter tempur ringan.

 

“Terdapat minat yang meluas terhadap pasaran aeroangkasa antarabangsa. Cepat atau lambat, kita akan berjaya menembusi pasaran,” katanya.

Pada 2021, kerajaan India menganugerahkan kontrak bernilai US$6 bilion (RM24 bilion) kepada HAL untuk perolehan 83 buah pesawat Tejas bagi tempoh penghantaran bermula pada tahun ini.

FA-50
Pesawat FA-50 yang dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI).

 

Ia adalah pesanan pertama bagi pesawat Tejas sejak rekabentuk pesawat itu mula dibangunkan pada 1983.

Sejak mula dibangunkan, pesawat Tejas berhadapan dengan pelbagai masalah termasuk berkenaan rekabentuknya dan pernah ditolak oleh Tentera Laut India.

Anantakrishnan juga berkata bahawa HAL merancang menggunakan enjin buatan General Electric untuk varian seterusnya pesawat Tejas serta membuat enjin-enjin itu di India.   

Pengarah Operasi HAL Jayadeva EP berkata kepada Reuters bahawa syarikat mensasarkan jualan berjumlah US$300 juta di dalam beberapa tahun. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

 

Comments
Loading...