STM Dari Turkiye “Semakin Pasti” Jadi Pilihan Program LMS Batch 2 TLDM
Sumber-sumber industri memberitahu Defence Security Asia (DSA) bahawa perolehan kapal LMS Batch 2 untuk keperluan TLDM merupakan di antara elemen utama Memorandum Persefahaman (MoU) Pertahana yang bakal dimeterai oleh Malaysia dan Turkiye tidak lama lagi.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat STM daripada Turkiye dilaporkan semakin pasti akan diberikan kepercayaan oleh kerajaan Malaysia untuk membina kapal-kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch 2 untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Sumber-sumber industri memberitahu Defence Security Asia (DSA) bahawa perolehan kapal LMS Batch 2 untuk keperluan TLDM merupakan di antara elemen utama Memorandum Persefahaman (MoU) Pertahana yang bakal dimeterai oleh Malaysia dan Turkiye tidak lama lagi.
Ia hanya mengesahkan bahawa cadangan perolehan kapal LMS Batch 2 itu secara G-to-G (Government-to-Government) masih berjalan dengan baik, walaupun terdapat spekulasi menyatakan bahawa perolehan kapal-kapal LMS Batch 2 itu akan dilakukan secara tender antarabangsa sebelum ini.

Pada pameran LIMA 2023 di Langkawi Mei lepas, spekulasi bahawa perolehan kapal LMS Batch 2 itu mungkin dilakukan secara tender terbuka antarabangsa muncul apabila beberapa syarikat pembuat kapal antarabangsa menawarkan kapal-kapal mereka untuk memenuhi keperluan kapal LMS Batch 2 TLDM.
Sumber juga membayangkan kepada DSA bahawa selain daripada kapal-kapal LMS Batch 2, terdapat perolehan aset lain juga akan dilakukan untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi MoU Pertahanan di antara Kuala Lumpur dan Ankara itu.
Selain itu MoU Pertahanan antara Turkiye dan Malaysia juga dijangka meliputi isu-isu berkenaan kerjasama industri pertahanan kedua-dua negara.
Bagaimanapun MoU Pertahanan itu berkemungkinan besar tidak akan membabitkan perolehan 18 unit meriam Self Propelled Howitzer (SPH) untuk tentera darat memandangkan perolehan aset itu akan dilakukan secara tender terbuka antarabangsa.
Syarikat Turkiye, MKE yang membangunkan sistem meriam SPH “Yavuz” 155mm dilaporkan adalah frontrunner untuk memenangi persaingan merebut kontrak itu.
Dalam satu sidang video dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Ogos lalu, Presiden Turkiye Recep Tayyep Edrogan menyuarakan hasratnya mahukan negaranya dan Malaysia memuktamadkan Memorandum Persefahaman berkenaan pertahanan secepat mungkin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Direktorat Komunikasi Presidensi dan dipetik agensi berita negara itu, Anadolu hari ini, memuktamadkan MoU itu adalah untuk memenuhi keperluan Malaysia di dalam bidang pertahanan dengan secepat mungkin.
Comments are closed.